Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata menteri kabinet yang menyokong tindakan membeku pinjaman siswa di universiti bawah kerajaan Selangor sepatutnya mengambil iktibar daripada buku panduan moral 1Malaysia yang baru dilancarkan kerajaan.

"Sanggupkah timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri pengajian tinggi Datuk Seri Khaled Nordin memohon maaf atas taktik membuli dan pecah amanah sepertimana yang dilihat dalam pembekuan pinjaman PTPTN kepada penuntut-penuntut Unisel dan Kuis yang amat kejam?," soalnya.

Katanya, menteri berkenaan perlu berbuat demikian dengan mencontohi nilai yang diuar-uarkan dalam buku panduan tersebut.

"Ataupun adakah panduan nilai-nilai murni 1Malaysia kepunyaan Rais ini adalah tidak aktif seperti gimik 1Malaysia yang lain atau adakah menteri dan pemimpin BN yang lain dikecualikan daripada 21 nilai murni ini kerana ianya hanyalah untuk kegunaan orang awam?"

Lim mengulas kenyataan timbalan perdana menteri yang menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.

"Bagaimana Muhyiddin dan Khaled mampu berkelakuan sebegini dan membelanjakan peruntukan dana awam seperti PTPTN seperti harta pusaka mereka sendiri?," soal Lim lagi.

Katanya, tindakan itu menganiaya siswa berkenaan yang dilayan seperti "kambing hitam" dalam keadaan Umno dan BN "terdesak" untuk merampas semula pentadbiran Selangor.

PTPTN yang menyatakan bahawa pembekuan pinjaman berkenaan sebagai ujian ke atas dasar pendidikan percuma kerajaan Pakatan Rakyat semalam menarik semula tindakan tersebut.

Lim seterusnya mengaitkan episod tersebut dengan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Umno kekurangan pemimpin yang cekap kerana menolak bakat baru.

"Agak jelas, Malaysia bukan sahaja mempunyai barisan kabinet yang nyanyuk di bawah pimpinan Najib, bahkan juga timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran serta menteri pengajian tinggi yang nyanyuk (kerana) terlibat dalam penerbitan sandiwara PTPTN dan Unisel," katanya.