Tuesday, May 8, 2012

BN tetap gaji minima di bawah paras garis kemiskinan

KUALA LUMPUR 8 MEI – Penetapan gaji minima oleh BN iaitu sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak bagi sektor swasta ‘bukan perkara yang betul’ untuk dilaksanakan kerana ia berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) untuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak berkenaan paras gaji minima sektor swasta tersebut sebagai tidak tepat kerana ia berada di bawah PGK.

Menurut Lim Guan Eng, walaupun DAP bersetuju dengan Najib untuk menjamin agar wujud imbangan yang sebenar antara pekerja yang layak dan keperluan majikan, BN mungkin kehilangan imbangannya sendiri untuk menetapkan gaji minimum bulanan di bawah PGK iaitu sebanyak RM830 sebulan bagi Sarawak dan RM960 sebulan bagi Sabah bersesuaian dengan Rancangan Malaysia ke-9.

“Najib sepatutnya memecat penasihat ekonomi kanannya sekiranya beliau masih percaya bahawa gaji minimum sebulan yang telah ditetapkan mengambil kira faktor-faktor yang dicadangkan oleh Bank Dunia seperti kos sara hidup, indeks garis kemiskinan dan kadar pengangguran.

“Dengan peningkatan produktiviti sebanyak 6.7 peratus setahun, tetapi perolehan gaji sebenar cuma 2.6 peratus setiap tahun, cadangan BN bagi gaji minimum terlalu rendah dan tidak mencukupi.”

Menurut Setiausaha Agung DAP itu lagi, ia lebih rendah dari cadangan Pakatan Rakyat iaitu sebanyak RM1,100 sebulan yang mana ia termasuk elaun tetap tetapi tidak termasuk bayaran lebih masa.

Katanya lagi, penetapan gaji minima RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak yang ditetapkan Kerajaan BN bukan sahaja tidak mencukupi dan mendiskriminasi pekerja tetapi juga menunjukkan BN tidak bersungguh-sungguh terhadap komitmen untuk mengurangi kemiskinan tegar apabila ia jauh dari paras kemiskinan untuk Malaysia Timur.

“Ini kerana kos sara hidup di Sabah dan Sarawak jauh lebih tinggi dari di Semenanjung yang menunjukkan PGK Cuma sebanyak RM720 sebulan. “Dalam kata lain, jika gaji minimum RM800 dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, ia masih jauh di bawah PGK sepertimana didefinisikan sendiri oleh Kerajaan Malaysia.”

Menurut beliau, Malaysia sedang menuju kepada negara penghutang di mana sesebuah keluarga berbelanja melebihi gaji yang mereka peroleh.

“Laporan Tahunan Bank Negara 2011 yang mendedahkan bahawa hutang isi rumah di Malaysia sehingga penghujung 2010 ialah RM581 billion atau 76 peratus dari KDNK, sekaligus telah memberi kita penghormatan kerana mempunyai tahap kedua tertinggi hutang isi rumah di asia selepas Korea Selatan”

Menurut beliau lagi, nisbah hutang isi rumah Malaysia berada pada tangga 47.8 peratus pada 2010. “Bermakna hampir separuh dari purata pendapatan keluarga digunakan untuk membayar hutang. Bahkan menurut Guan Eng, gaji minima tidak mencukupi tanpa pertimbangan untuk dua perkara.

“Pertama, gaji minima perlu diselaraskan dengan indeks Harga Pengguna yang mana boleh dilaraskan dnegan kadar inflasi. Ini akan memastikan taraf dan kualiti hidup dapat dilindungi dan dikekalkan.

“Kedua, peningkatan taraf hidup di Malaysia memerlukan satu strategi ekonomi bersifat holistik yang menyasarkan kepada pendapatan boleh guna (disposable income). “Dalam kata lain, kita perlu menambah wang dalam poket rakyat. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan dengan penetapan gaji minima.”

Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut menjelaskan, dalam gambaran yang lebih meluas, kita perlu mengenal pasti kesan gaji rendah akibat kemasukan pekerja asing tidak mahir, menaik taraf kemahiran dan produktiviti pekerja tempatan dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja dari kalangan wanita.

Katanya lagi, pada masa yang sama, kerajaan perlu melabur dalam sektor utama seperti pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan. Sekiranya kos hidup rendah, pendapatan boleh guna (disposable income) akan meningkat.

“Konsep ini sangat mudah – jika kos perjalanan, pembelian rumah dan perubatan dapat dikurangkan, setiap orang mempunyai wang lebih (untuk dibelanjakan).

“Bayangkan setiap rakyat Malaysia mempunyai lebihan RM10 setiap hari, kesan pengganda ekonomi (multiplier effect) akan menyebabkan edaran tambahan RM280 juta dalam ekonomi negara kita setiap hari. “

Katanya, ini bukan jumlah yang kecil. Sekiranya kuasa beli pengguna ditingkatkan terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah dengan gaji minima yang baik sebanyak RM1,100 tidak termasuk elaun, kita akan mampu untuk meningkatkan keperluan domestik dan membentuk ekonomi yang lebih sihat di kalangan rakyat Malaysia - roketkini.com

Saturday, May 5, 2012

DAP Terengganu Merakamkan Ucapan Terima Kasih kepada Petugas PAS Terengganu


DAP Terengganu mengucapkan terima kasih atas prihatin petugas PAS Terengganu yang memberikan ruang 'Rawat dan Rehat' kepada En. Lim Kit Siang Semasa Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28hb April lalu.

DAP Terengganu bangga dapat bersepakat dan bersetiakawan dengan PAS petugas PAS Terengganu yang membawa En. Lim Kit Siang keluar dari kawasan 'amukan polis' di hadapan Mahkamah dan Dataran Merdeka.

Petugas Terengganu telah membawa naik En. Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur ke tempat peninapan mereka serta memberikan salinan baju-T kepada En. Lim Kit Siang.

Sekali lagi, bagi pihak DAP Terengganu dan DAP Malaysia, kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Ng Chai Hing
Pengerusi DAP Kuala Terengganu
Merangkap Pengerusi Penaja DAP Terengganu



Friday, May 4, 2012

8 soalan untuk siasatan keganasan BERSIH

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengetuai kempen propaganda BN untuk kawalan kerosakan atau damage control - untuk mengurangkan ketidaksehaluan dalam penyahkendalian perhimpunan "duduk-bantah" Bersih 3.0 di Dataran Merdeka yang menuntut pilihan raya yang bebas dan adil - dengan tohmahan melulu bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan percubaan untuk menggulingkan kerajaan BN.

Hakikatnya, perhimpunan BERSIH 3.0 adalah kesedaran dan kebangkitan, keberdayaan dan kesepakatan antara rakyat Malaysia yang menjangkau kaum, agama, kelas, kawasan, jantina atau pun umur untuk menunjukkan cinta kepada negara yang menitikberat keperluan pilihanraya yang bersih, untuk Malaysia yang bersih.

Setiap hari berlalu, apa yang tidak boleh dinafikan BERSIH 3.0 suatu malapetaka dalam perhubungan awam Najib dan imejnya sebagai "reformis" dan "transformis".

Suhakam menyatakan bahawa berlaku"penindasan dan perlakuan sebarangan". Pihak polis menggunakan "kekerasan dan kuasa secara tidak wajar terhadap peserta perhimpunan serta rakan media" dalam perhimpunan BERSIH 3.0 - "kelakuan yang tidak boleh diterima".

Sementara Majlis Peguam menyatakan bahawa keganasan polis yang disaksikan semasa BERSIH 3.0 lebih buruk jika dibandingkan dengan kejadian dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lepas.

Sebelum ini, Suhakam mengumumkan penemuan mereka bahawa pihak polis mencabuli hak asasi manusia apabila menembak gas pemedih mata ke perkarangan kawasan kemudahan awam seperti Hospital Tung Shin, hospital bersalin Cina dan dan Stesen KL Sentral yang menyebabkan keselamatan orang awam tergugat.

Wajarkah wujud kesangsian terhadap hasil penyiasatan awam yang kredibel dalam pencabulan hak asasi manusia dan dengan keganasan pihak polis menggunakan kuasa tidak wajar dan keterlaluan sama ada berbentuk tembakan gas pemedih mata, semburan air bercampur bahan kimia, brutaliti polis dan keganasan terhadap peserta yang berhimpun secara aman, termasuklah wakil media?

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, beliau mahukan keadilan diberikan kepada semua pihak terlibat, termasuklah ahli media dan anggota polis yang tercedera.

Saya bersetuju dengan ketua polis negara yang berkata "hanya kerana beberapa yang berkelakuan seperti samseng, tidak bermakna kesemua anggota polis berperangai sebegitu".

Ini satu sebab mengapa penyiasatan penuh yang kredibel diperlukan untuk menegakkan keadilan bagi semua peserta BERSIH 3.0 yang menjadi mangsa keganasan - sama ada pihak polis, wakil media atau peserta sendiri.

Saya juga bersetuju bahawa pihak polis bertindak dengan terkawal dan profesional sehingga kira-kira pukul 3 petang pada Sabtu lepas atau setengah jam selepas pengumuman penganjur BERSIH 3.0 bahawa perhimpunan tamat dan peserta diminta bersurai.

Selepas jam 3 petang, kelihatan benteng pengawalan dan sikap profesionalisme pihak polis roboh dan keganasan polis bermula.

Lapan persoalan yang wajib dijawab melalui penyiasatan penuh dan kredibel dalam keganasan BERSIH 3.0 atau "428":

(1) Mengapa keganasan dan kekerasan polis wujud sama ada dengan menembak gas pemedih mata, penyemburan air dengan bahan kimia atau keganasan fizikal dan brutaliti terhadap perserta perhimpunan aman selepas jam 3 petang, yang berlanjutan untuk tempoh 5 jam pada hari itu?

(2) Bagi yang telah menembusi sekatan yang didirikan, mengapa pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan itu sahaja tetapi menghukum kesemua peserta yang lain yang berhimpun secara aman dan yang ingin bersurai secara aman?

(3) Mengapa ada beberapa kakitangan polis yang tiada nombor pengenalan ataupun tag nama pengenalan?

(4) Mengapa wakil media dan wakil akhbar disasarkan dan diserang oleh pihak polis dengan rampasan kad memori kamera mereka dan pemecahan kamera mereka?

(5) Mengapa beberapa stesen LRT diarahkan untuk ditutup selepas gas pemedih mata dan air yang dicampur bahan kimia mula ditembak? Adakah ini hasrat pihak polis untuk "mengepung" para peserta atau "memberi pengajaran" kepada mereka?

(6) Adakah benar transmisi sengaja disekat supaya apa-apa komunikasi dihalang yang akan menyebabkan lebih kekeliruan dalam keadaan yang sudah pun tegang dan genting pada masa itu?

(7) Siapa dari pihak polis atau dari Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab memberi kebenaran atau lampu hijau supaya berlaku pencabulan hak asasi manusia dan tidak menghiraukan prinsip dan garis panduan penggunanan kekerasan dan senjata api oleh kakitangan polis?

(8) Persoalan sama ada masa sudah sampai bagi pengimplimentasian penuh cadangan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Polis Dzaiddin untuk membentuk perkhidmatan polis yang bertaraf dunia yang efisien, profesional dan tidak berasuah - yang memfokus kepada tiga fungsi utama untuk mencegah jenayah dan memastikan kadar jenayah sentiasa rendah, membasmi korupsi dan menegakkan keadilan hak asasi manusia - dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Keganasan dan Penyalahgunaan Kuasa Pihak Polis?

Berdasarkan jadual waktu sesi parlimen, sesi berikut dijangka akan bersidang untuk 12 hari dari 11 Jun sehingga 28 Jun, sementara bajet Parlimen 2013 dijangka bermula pada 24 September dan akan berlangsung untuk tempoh 34 hari sehingga 27 November. Hari pengumuman belanjawan akan dilakukan pada hari Jumaat, 28 September 2012.

Najib perlu memberi kata putus dalam beberapa hari ini sama ada pilihan raya umum akan berlangsung pada bulan Jun atau pada tarikh yang lebih lambat.

LIM KIT SIANG ketua anggota parlimen DAP.