Wednesday, April 10, 2013

BN hairan bila orang FELDA terima baik calon DAP


BENTONG, 10 APR: Lebih 50 peratus pengundi Melayu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut dijangka mencetuskan perubahan bersejarah apabila mereka bersedia memberi sokongan kepada DAP dan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.

Calon DAP kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack berkata, hasil kajian DAP selama ini antara lain menyifatkan usaha keras DAP memperbetulkan persepsi orang Melayu kepada parti itu berjaya membuahkan hasil memberangsangkan.

“Kehadiran jentera pilihan raya DAP mendapat sambutan baik masyarakat Melayu termasuk di kawasan FELDA. Kita sudah berjaya menembusi kawasan kubu kuat UMNO-BN dan ini mencemaskan mereka,” ujar beliau ketika ditemui wartawan The Rocket hari ini.

Menurut beliau, jika dulu DAP begitu sukar memasuki kawasan FELDA, kini tidak lagi apabila mendapat kerjasama kuat daripada PAS Bentong.

“Setakat ini maklum balas penduduk FELDA adalah positif. Contohnya, di FELDA Kampung Sertik, DAP dan PR sudah dua kali menganjurkan ceramah di sana.

“Kami berjaya mendampingi masyarakat Melayu FELDA secara terus seperti di kawasan FELDA Membaga dan FELDA Kampung Sertik. Ini adalah satu fenomena positif untuk DAP,” kata beliau.
Pada masa sama, Wong Tack tidak menafikan masih ada sebilangan masyarakat Melayu yang segan dan takut menghadiri program atau ceramah anjuran PR.

“Mereka bimbang akan dipantau dan diugut pihak tertentu jika menghadiri program kita. Bagaimanapun kita tetap meneruskan program yang disusun seperti pengedaran risalah dan ceramah berkelompok,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini, DAP dan PR sedang berusaha keras untuk menyampaikan matlumat yang tepat kepada seramai mungkin pengundi di kawasan itu.

“Kita juga sedang dalam usaha kempen agar anak Bentong yang merantau untuk kembali mengundi pada hari pengundian 5 Mei ini.

Pada PRU-12 lalu, DAP hanya memperolehi 30 peratus undi masyarakat Melayu di DUN Bilut yang terletak dalam Parlimen Bentong.

Untuk keseluruhan Parlimen Bentong, Wong Tack meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 30 hingga 35 peratus undi masyarakat Melayu dan meletakkan sasaran undi masyarakat Cina sebanyak 75 hingga 80 peratus.

“Kita cuma perlu teruskan usaha mengikut perancangan dan berdasarkan pemerhatian dan mood masyarakat di sini, saya yakin Bentong mampu mencatatkan sejarah,” katanya.-Roketkini.com

Tuesday, April 9, 2013

DAP gesa SPR kaji semula arahan wajibkan 240,000 petugas PRU undi pos


KUALA LUMPUR, 9 APR: Apa akan jadi dengan 240,000 kertas undi kakitangan kerajaan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewajibkan mereka mendaftar sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Keresahan ini timbul apabila undi pos sering dihantui isu manipulasi dan ketelusan tambahan pula ia lebih mudah dikesan dan memberi ‘risiko’ kepada pengundi berkenaan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata perkara itu dimaklumkan seorang guru yang menghadiri taklimat SPR yang diadakan di Bangi, 7 Januari lalu.

“Kakitangan yang menjadi petugas pilihan raya kini wajib menjadi pengundi pos. Perkara itu menimbulkan keraguan sebab pada PRU 2008, mereka dibenarkan keluar mengundi di kawasan masing-masing.

“Mereka juga boleh keluar makan dan menunaikan sembahyang bagi petugas beragama Islam,” ujar Teo pada satu sidang media.

Penyandang Parlimen Serdang itu menggesa SPR membenarkan petugasnya untuk mengundi lebih awal kerana ia lebih dipercayai dan boleh dipantau ejen parti politik.

“Kita harap SPR dapat mendengar dan prihatin dengan keresahan yang timbul itu,” kata beliau.
Satu daripada tuntutan Pakatan Rakyat (PR) dan Bersih untuk pilihan raya yang adil, bersih dan telus adalah pemansuhan undi pos.

Antara manipulasi dan penipuan yang boleh berlaku dalam undi pos ialah kerana pengundi mempunyai risiko untuk diugut dan pertindihan nama yang mana pengundi boleh mengundi secara pos dan pada masa yang sama boleh mengundi seperti biasa. –Roketkini.com

Saturday, April 6, 2013

Saya pilih Jumaat, penghulu segala hari – Lim Guan Eng



PETALING JAYA, 4 APR: “Saya pilih esok untuk membubarkan DUN Pulau Pinang kerana esok hari Jumaat, penghulu segala hari.

Itulah alasan yang digunakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika memilih hari esok Jumaat untuk membubarkan DUN Pulau Pinang, lapor Harakahdaily.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas ketua-ketua kerajaan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR petang tadi.

Semua menteri besar dan ketua menteri Pakatan Rakyat iaitu Tuan Guru Datuk Nik Aziz (MB Kelantan) dan Datuk Seri Azizan Razak (MB Kedah) menyertai sidang media itu kecuali Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sedang menyertai majlis membubarkan DUN Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

Pagi tadi Lim Guan Eng menghadap TYT Pulau Pinang bagi memohon pembubaran DUN Pulau Pinang.

Beliau mencadangkan agar esok dipilih sebagai hari pembubaran dan diterima oleh TYT Pulau Pinang itu. – Roketkini.com

Tuesday, April 2, 2013

Kit Siang jemput Mahathir bertanding di Gelang Patah


JOHOR JAYA, 2 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang akan bertanding di Gelang Patah mempelawa bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bertanding di kerusi Parlimen itu bagi menentukan samada karier politik beliau atau Mahathir yang berkubur.

Beliau berkata, ini kerana Mahathir ketika membantu kempen UMNO/Barisan Nasional (BN) di Johor meminta rakyat negeri itu menamatkan karier politiknya di Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Selain itu, Mahathir juga menganggap tindakan Kit Siang bertanding di kubu kuat UMNO di Johor sebagai tidak masuk akal dan bodoh sebaliknya boleh menerima jika pemimpin veteran DAP itu bertanding di Pulau Pinang, Melaka atau Perak.

Bekas Perdana Menteri paling lama memerintah iaitu 22 tahun juga meminta rakyat Johor memastikan Kit Siang kalah di Gelang Patah antara Parlimen yang menjadikan negeri itu kekal sebagai ‘deposit tetap’ BN.

“Mahathir tidak mahu rakyat Johor ubah dan tukar kerajaan yang diterjaui BN sekarang, sebaliknya mengalahkan pemimpin veteran DAP itu di Gelang Patah.

“Mengikut Mahathir BN sudah tukar enam Perdana Menteri sejak merdeka, tetapi Kit Siang masih tidak berubah dan sepatut patut beri peluang kepada anak cucu beliau,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu ketika melawat Taman Molek, di sini, semalam.

Menurut Kit Siang, Mahathir sebenarnya belum bersara daripada politik sebaliknya sekarang dia lebih berkuasa daripada sebelumnya sehingga mampu memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan BN kalah teruk pada PRU 2008.

Katanya, Mahathir juga baru-baru ini secara terbuka mengancam untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri jika BN gagal mencatat kemenangan lebih baik pada PRU-13 nanti.

“Tidak keterlaluan kalau saya katakan Mahathir adalah sebenarnya “de facto” Perdana Menteri, yang ditakuti Najib kerana boleh menentukan nasib politik Najib,” katanya.

Menurut Kit Siang, berdasarkan pengaruhnya yang kuat dalam UMNO, beliau mencabar Mahathir bertanding di Gelang Patah supaya rakyat Johor memutuskan samada beliau atau Mahathir akan dikuburkan.

“Saya bersedia menyerahkan karier politik saya kepada pengundi Gelang Patah, yang terdiri daripada 53 peratus pengundi Cina, 33 peratus pengundi Melayu dan selebihnya 12 peratus pengundi India.

“Sanggupkah Mahathir menamatkan karier politiknya untuk ditentukan pengundi Gelang Patah yang mendakwa menjadi kubu kuat BN setelah memenangi dengan majoriti 9,000 undi pada PRU 2008 dan lebih 31,000 undi pada PRU 2004,” tambahnya. – Roketkini.com