KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini bertemu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.
Beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan itu di Rumah Kelantan di ibu negara siang tadi sejurus Tuan Guru dan deligasi kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.
Nie Ching ketika ditemui selepas pertemuan 10 minit itu berkata, beliau gembira dapat bertemu Tuan Guru dan mendapat pandangan yang jelas dari Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu.
"Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid.
"Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi," katnya menjelaskan isi pertemuan.
Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno.
Menurutnya, Umno kini sangat terdesak sehingga sanggup menyempitkan isu tersebut sehingga memberi tanggapan salah bukan Islam kepada Islam.
"Dia juga memberitahu saya, di Malaysia ini, Umno guna Islam untuk takutkan orang bukan Islam dan menjadikan Islam itu agama eksklusif sedangkan Islam itu adalah untuk semua manusia," katanya lagi.
22 Ogos lalu, Nie Ching berkunjung ke Surau Al-Huda, Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut.
Beliau juga dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.
Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.
Nie Ching berkata, biarpun insiden tersebut dimainkan Umno, sehingga hari ini beliau masih berkunjung ke masjid dan surau yang menjemputnya.
"Saya masih menjalankan tugas saya sebagai ahli parlimen bila dijemput.
"Sejak insiden itu diperbesarkan, saya terus mendapat sokongan dari rakyat," katanya.
Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu surat permohonan maaf kepada Sultan Selangor telah disampaikan melalui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment