Tuesday, June 18, 2013

Perbezaan antara IPCMC dan EAIC adalah penting

Hujah kerajaan Najib kedengaran munasabah apabila jurucakap media kerajaan yang baru, iaitu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mengatakan bahawa yang diperlukan dalam soal kematian dalam tahanan dan salah guna kuasa adalah “tindakan tegas” dan bukan agensi mana yang menangani masalah tersebut – sama ada IPCMC atau EAIC.

Menurut beliau, rakyat mahukan “tindakan tegas”, tidak kira oleh Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) atau oleh mana-mana agensi lain.

Beliau menegaskan bahawa jika Suruhanjaya Integriti Agensi-agensi Penguatkuasaan (EAIC) diperkukuh sehingga mampu menjalankan penyiasatan dengan cepat dan teliti ke atas kematian dalam tahanan dan salah guna kuasa, maka ia sudah memadai.

Kepetahan Khairy dan hujahnya yang licik bagi membela kecenderungan kerajaan terhadap EAIC dan bukannya IPCMC boleh diterima jika kes kematian dalam tahanan polis baru saja timbul dan bukan merupakan masalah yang telah berlanjutan selama lebih sepuluh tahun, atau jika kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan baru dan bukannya kerajaan yang telah masuk tahun kelima dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak!

Atau apakah Khairy sedang mengakui bahawa sejak empat tahun lalu walaupun Perdana Menteri bersungguh-sungguh mendakwa Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah dilaksanakan dengan cukup jaya, Najib dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Daruk Seri Hishammuddin Hussein, telah gagal sama sekali menangani dan menyelesaikan isu kematian dalam tahanan polis?

Khairy mahu pun mana-mana jurucakap kerajaan yang lain tidak boleh menafikan atau mengenepikan kenyataan bahawa IPCMC telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Penyiasatan Diraja Polis yang diketuai oleh Tun Dzaiddin khusus untuk menangani masalah kadar kematian dalam tahanan polis yang terlalu tinggi, manakala EAIC pula telah ditubuhkan khusus untuk merencatkan penubuhan IPCMC dan menghindari tuntutan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pasukan polis.

Suruhanjaya Penyiasatan Diraja Polis dalam laporan yang dikemukakannya pada Mei 2005 menyebut perangkaan polis menunjukkan bahawa dalam tempoh lima tahun, dari Januari 2000 hingga Disember 2004, terdapat sebanyak 80 kematian dalam tahanan polis, iaitu pada kadar 16 kematian setahun dalam jangkamasa lima tahun.

Sejak tahun 2000 hingga sekarang, berlaku 222 kematian dalam tahanan polis, bererti sejak Januari 2005 hingga Jun 2015 telah ada 142 kes kematian. Ini menunjukkan bahawa kadar purata tahunan kematian dalam tahanan telah meningkat sejak 8 ½ tahun yang lalu, iaitu 16.7 kematian setiap tahun.
Hujah yang dikemukakan Khairy – iaitu bahawa yang diperlukan untuk menangani masalah kematian dalam tahanan dan salah guna kuasa adalah “tindakan tegas” dan bukan agensi mana yang menangani masalah tersebut, sama ada IPCMC atau EAIC – boleh diterima pada tahun 2005 ketika negara ini masih sedang mempertimbangkan penubuhan IPCMC. Hujah ini sama sekali tidak lagi boleh diterima, memandangkan setelah lebih lapan tahun kadar purata kematian dalam tahanan polis semakin meningkat dan dalam tempoh empat tahun penubuhan EAIC ia telah gagal sama sekali untuk menangani masalah kematian dalam tahanan polis sehingga menimbulkan kegemparan di seluruh negara.

Atas sebab ini, Kabinet tidak cuba berlengah-lengah dengan tujuan mengelak daripada mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah kematian dalam tahanan polis. Ia juga perlu bertindak selari dengan jenama “Transformasi” dengan mengambil keputusan esok untuk menubuhkan IPCMC dalam sidang pertama Parlimen ke-13 yang akan bermula pada Isnin depan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah

Sunday, June 16, 2013

Seruan terhadap Najib untuk menjadikan perang terhadap jenayah sebagai agenda terpenting mesyuarat Kabinet hari Rabu ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengisytiharkan “Perang terhadap Jenayah” ketika beliau melancarkan Hari Bersatu Menentang Jenayah di bawah anjuran Pemandu di Taman KLCC, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu, 8 Jun yang lalu. Tetapi ternyata minggu itu juga menjadi mimpi ngeri bagi rakyat Malaysia apabila kegiatan para penjenayah semakin menjadi-jadi, termasuk dengan melakukan rompakan secara beramai-ramai ke atas para pemilik dan pelanggan beberapa buah kedai makan.

Tajuk-tajuk gah seperti “Criminals beware: Its War” dan “All-out fight against crime” (Akhbar Star, Ahad 9.6.2013) yang dipaparkan oleh media yang dimiliki/dikawal BN seperti menjadi abu apabila ternyata para penjenayah yang mengisytiharkan perang minggu lalu, bermula dengan sekumpulan 10 orang penjenayah berparang yang merompak pemilik dan pelanggan yang sedang makan lewat malam di restoran Simmei Seafood and Steamboat di Taman Taynton View, Cheras. Para penjenayah terbabit berkaya melarikan diri bersama wang tunai dan barangan berharga bernilai RM20,000.
Fenomena jenayah baru ini muncul lagi minggu lalu apabila jenayah kumpulan bersenjata yang hampir sama dilakukan ke atas para pelanggan dan pemilik kedai makan jenis terbuka di Kepong, Cheras, Kajang, dan Petaling Jaya, menyebabkan orang ramai di seluruh negara merasakan tidak lagi selamat untuk keluar makan di restoran.

Semalam saya menulis kenyataan berjudul “Police should not be super-efficient to arrest peaceful Malaysians, including women and child while utterly helpless at worsening crime situation with new fear among Malaysians – not safe eating out in restaurants and public eateries”. Berikut antara komen-komen (terjemahan) yang ditulis oleh para pembaca dalam blog saya:
“Jenayah dalam negara nampaknya semakin jauh meningkat selepas PRU dan telah mencapai tahap yang membimbangkan.”
“Saya rasa polis tidak menetapkan keutamaan yang betul dengan memberikan terlalu banyak perhatian terhadap perhimpunan awam yang dianjurkan Pembangkang dan pihak lain.”
“Dalam akhbar Sin Chew Daily hari ini, dalam ruangan berita nasional sahaja (tidak termasuk berita negeri), 8 kes jenayah berat dilaporkan, termasuk (i) dua perompak memasuki kawasan sekolah di siang hari untuk merompak seorang guru; (ii) di Kuala Kurau, Perak, empat perompak bersenjata telah merompak beberapa orang kampung dan salah seorang daripada penduduk berkenaan telah ditembak sehingga cedera parah; (iii) di Senai, Johor, 5 lelaki menyamar sebagai penebang pokok telah merompak sebuah rumah dan melarikan barang berharga bernilai RM10,000; (iv) di Kota Tinggi, Johor, 4 perompak bersenjata telah merompak sebuah kedai emas dan melarikan barang kemas bernilai RM1 juta; (v) di Kuantan, 5 pencuri telah mencuri sebuah lori dan kemudian gagal untuk melarikan sebuah mesin ATM milik BSN dengan menggunakan lori curi tersebut; (vii) 8 perompak berparang telah merompak 3 pengunjung kedai makan dan melarikan barang berharga bernilai RM5,100 di jalan Lapangan Terbang Lama; (viii) di Petaling Jaya, 2 perompak telah cuba merompak sebuah kedai aksesori kereta dan menembak salah seorang pekerja kedai.”
“Star hanya melaporkan dua berita rompakan hari ini. Kalau anda membaca Star, anda mungkin merasa keadaan serba aman belaka.”
“Saudara ipar saya telah diragut rantai emasnya oleh seorang peragut awal pagi ini. Bari saja semalam kami berbual tentang peningkatan jenayah kebelakangan ini.”

Sebenarnya, salah seorang pengulas di atas yang memakai nama samaran “tuahpekkong” telah terlepas pandang satu lagi laporan dalam Sin Chew kelmarin (halaman 2) yang melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 10 deejay sebuah saluran televisyen tempatan telah dirompak.
Mengapa setelah empat tahun melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) baru Najib melancarkan “perang menentang jenayah”, sedangkan program tersebut menetapkan usaha memerangi jenayah sebagai salah satu bidang pencapaiannya (NKRA) yang terpenting, terutama setelah kerajaan mendakwa yang ia telah berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 26.8% sejak fasa pertama GTP dilaksanakan pada tahun 2009?

Sebabnya amat mudah – jurang antara dakwaan polis tentang kejayaannya mengurangkan kadar jenayah dan persepsi orang ramai tentang jenayah semakin lebar, bukan saja kerana mengalami jenayah secara langsung atau tidak langsung, tetapi kerana kerajaan gagal meyakinkan orang ramai bahawa polis mampu memelihara keselamatan rakyat, pelancong dan pelabur.

Negara hari ini memerlukan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara baru yang kedua-duanya memberikan perhatian sepenuhnya terhadap usaha memenangi perang terhadap jenayah, menjadikan Malaysia selamat untuk rakyatnya, para pelancong, dan para pelabur, selain menghapuskan kebimbangan yang telah menghantui rakyat Malaysia selama lebih sedekad.

Namun, yang kita dapat hari ini ialah Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang terang-terang, menerusi tindakan mereka, menunjukkan bahawa perkara paling utama bagi mereka bukanlah memerangi jenayah, sebaliknya memerangi para pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis sosial untuk memelihara agenda Umno/Barisan Nasional yang ingin menggunakan polis untuk melindungi rejim mereka dan bukannya memelihara nyawa, tubuh badan dan harta-benda rakyat biasa!

Kerajaan dan pasukan polis jelas telah hilang arah dalam menunaikan tugas paling asasi mereka sebagai kerajaan, iaitu untuk melindungi rakyat daripada jenayah, apabila mereka mengupah syarikat perunding antarabangsa Frost and Sullivan untuk menjalankan kajian terhadap tahap kepuasan orang ramai berkaitan keberkesanan perkhidmatan polis serta sejauh mana mereka berasa selamat dalam negara ini.

Pemimpin kerajaan dan polis yang memerlukan perunding, tidak kira perunding tempatan atau antarabangsa, bagi memberitahu mereka cara-cara untuk menjalankan tugas asasi melindungi nyawa dan harta benda rakyat, pelancong, dan pelabur di negara ini, adalah tidak layak untuk memegang jawatan mereka.

Saya menyeru Najib untuk menjadikan perang terhadap jenayah sebagai agenda terpenting mesyuarat Kabinet hari Rabu ini bagi mengupayakan polis untuk menangani jenayah yang menjadi-jadi kebelakangan ini, termasuk kes rompakan bersenjata terhadap pemilik dan pelanggan restoran.
Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah
 

Friday, June 14, 2013

Mengapa Menteri Pengangkutan mendiamkan diri tentang skandal KLIA2 yang melibatkan RM4 bilion?

Kita ingin bertanya mengapa Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berdiam seribu bahasa tentang pembinaan KLIA2 oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang kosnya telah mencecah RM4 bilion?

Kontrak pembinaan lapangan terbang KLIA2 menyebut tarikh siap pada September 2011 tetapi penyiapannya telah ditangguhkan sekurang-kurangnya 7 kali tanpa ada tarikh akhir yang mutlak.
MAHB mendakwa penyiapan KLIA2 telah tertangguh kerana ada bahagian-bahagian projek yang gagal disempurnakan oleh para kontraktor, mendorong MAHB mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengenakan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) ke atas pihak yang berkenaan.
Tidak mengejutkan, kontraktor-kontraktor utama projek ini bersuara menafikan mereka adalah punca kelengahan dan sebaliknya menyalahkan sepenuhnya MAHB sebagai pemilik projek kerana membuat pesanan yang berlainan daripada yang disebutkan dalam kontrak asal.

Kita tidak berpeluang untuk menyemak perincian pertikaian yang kita memicu tindakan tuding-menuding di antara pelbagai pihak, namun persoalan yang perlu dibangkitkan ialah mengapa setelah hampir dua tahun tertangguh, MAHB hanya baru-baru ini buat kali pertama menyalahkan para kontraktor? Kalau benar para kontraktor yang bersalah, mengapa mereka tidak dikenakan LAD sejak September 2011?

Sebagai Menteri Pengangkutan yang berkuasa ke atas MAHB, Datuk Seri Hishammuddin perlu segera masuk campur untuk merungkai skandal yang berlarutan ini dan mempertanggungjawabkan pihak yang terbabit mengaibkan negara dan membazirkan dana awam.

Lebih menghairankan, Kementerian Pengangkutan selama ini tidak mengendalikan keadaan dengan baik sedangkan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Seri Long See Wool, adalah Ahli Lembaga Pengarah MAHB. Datuk Seri Long telah menjadi Pengarah sejak 9 September 2008 dan beliau juga menganggotai Jawatankuasa Pemerolehan Lembaga dan Jawatankuasa Pengurusan Lembaga dalam MAHB.

Kementerian Pengangkutan tidak boleh menafikan keterlibatannya dalam masalah ini, melainkan jika Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan sendiri memutuskan untuk mengatakan bahawa beliau tidak tahu-menahu sama sekali tentang masalah KLIA2.

Peningkatan kos secara drastik telah memaksa MAHB meningkatkan nilai bon kepada RM3.1 bilion setakat ini, manakala RM1 bilion lagi dijangka akan ditambah dalam masa terdekat, menyebabkan MAHB terpaksa menanggung hutang yang sepatutnya tidak perlu wujud.

Bagaimanapun, pihak sebenar yang perlu menanggung kerugian adalah rakyat Malaysia yang menjadi pengguna lapangan terbang “kos rendah”, kerana mereka akan terpaksa membayar cukai lapangan terbang yang lebih tinggi untuk membolehkan MAHB membayar hutangnya. Perkara ini akan turut memberi dampak terhadap daya saing Malaysia sebagai hub pengangkutan kos rendah di benua Asia.

Teka-teki hutang yang tinggi ini turut akan menghasilkan pertembungan kepentingan di pihak Datuk Seri Long dan Kementerian. Persoalan akan muncul sama ada sebagai Ahli Lembaga Pengarah MAHB, Datuk Seri Long akan menyokong kenaikan cukai lapangan terbang untuk membantu MAHB melunaskan hutang dan meningkatkan keuntungannya, atau sama ada ia akan memainkan peranan sebagai pengawas yang mengekang kenaikan cukai bagi melindungi kepentingan rakyat Malaysia dan juga daya saing negara ini sebagai hub pengangkutan kos rendah serantau?

Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga perlu mendedahkan mengapa kontrak untuk Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad yang telah menerajui syarikat itu sejak 9 tahun lalu disambung setahun lagi, bermula pada 6 Jun 2013, sedangkan ia sepatutnya telah berakhir pada 7 Jun 2013. Jelas bahawa Tan Sri Bashir telah gagal untuk menguruskan projek terbesar MAHB sepanjang beliau memegang jawatan dan kontraknya tidak sepatutnya diperbaharui. Kegagalan dan skandal KLIA2 tidak boleh dimaafkan. Rakyat Malaysia sekali lagi menjadi mangsa ketidakupayaan Barisan Nasional apabila pihak yang mengecewakan rakyat terus diperbaharui kontraknya entah untuk yang keberapa kali.

Akhir sekali, kita juga meminta Menteri Pengangkutan untuk menyambut seruan CEO Air Asia Aireen Omar supaya ditubuhkan badan bebas untuk menyiasat kelengahan penyiapan KLIA2 sebagai lapangan terbang kos rendah yang baru. Menurut Aireen, “melainkan punca sebenar kelengahan diketahui, AirAsia merasa lebih banyak tuding-menuding akan berlaku (terhadap AirAsia atau para kontraktor) dan perkara ini tidak akan membawa kepada penyiapan projek.”

Datuk Seri Hishammuddin yang belum menjawab permintaan Pakatan Rakyat untuk bertemu membincangkan isu ini perlu segera memberi respons terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan menangani krisis yang mungkin berlarutan ini bagi memastikan maslahat rakyat Malaysia terpelihara.

Tony Pua Kiam Wee Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara