Saturday, February 5, 2011

Krisis Mesir: Najib digesa tunjuk bukti, tidak dakwa ADUN Sri Muda

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Datuk Seri Najib Razak sewajarnya tidak mengenakan tuduhan hasutan ke atas ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafie Isnin ini jika pentadbirannya benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat dan belajar daripada krisis Mesir, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib memberikan rakyat Malaysia jaminan bahawa pentadbirannya akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu, dengan merujuk kepada perkembangan di Mesir sebagai pengajaran.

“Beliau berkata dalam sistem demokrasi kita harus memberi keutamaan kepada rakyat, yang diperkayakan menerusi proses globalisasi dan ICT,” kata penasihat DAP ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.


Katanya, Najib yang juga presiden Umno dan Menteri Kewangan seharusnya membuktikan pentadbirannya cukup berupaya untuk belajar daripada krisis Mesir dengan mengetepikan penindasan politik di negara ini.

“... ini boleh dilakukan dengan menarik balik tuduhan hasutan ke atas Shuhaimi, yang akan dikenakan dakwaan Isnin ini,” kata beliau lagi.

Lim (gambar) berkata satu pengajaran penting Najib harus belajar daripada krisis Mesir ialah memberi keutamaaan ke atas usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan, bebas, berkecuali dan profesionalisme institusi-institusi utama negara ini.

Katanya, tindakan ke atas Shuhaimi adalah gambaran terbaru Jabatan Peguam Negara terus bertindak sebagai alat politik Putrajaya, bukannya demi kepentingan jangka panjang rakyat Malaysia.

“Peguam Negara terbukti bertindak cepat dalam aduan polis yang dibuat terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat seperti dalam kes Karpal Singh yang dibebaskan Jun lalu tetapi masih berhadapan dengan rayuan Jabatan Peguam Negara tetapi tidak mempedulikan laporan ke atas personaliti-personaliti BN,” kata Lim.

Oleh itu kata beliau, jika pentadbiran Najib mahu belajar daripada krisis Mesir ada banyak perkara yang perlu dilakukan oleh pihaknya.

“Tetapi biar ia bermula dengan menarik balik tuduhan hasutan ke atas Shuhaimi bagi membuktikan pentadbirannya mahu belajar daripada krisis Mesir,” kata ahli Parlimen ini.

Semalam, kerajaan negeri Selangor berkata pihaknya kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang memutuskan untuk mengenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan ke atas Shuhaimi.

Shuhaimi akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua PKR cabang Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan dalam blognya pada 30 Disember lalu yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Beliau menafikan kenyataannya itu bertujuan untuk menghasut rakyat dan menghina Sultan.

Kenyataan Pejabat Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada Suhaimi dalam menghadapi kes tersebut.

No comments: