Saturday, August 20, 2011

Mahu tanding Dun Bandar

KUALA TERENGGANU – DAP Terengganu berhasrat meletakkan calon di Dun Bandar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi merampas satu-satunya kerusi MCA di negeri ini.

Pengerusinya, Ng Chai Heng berkata, pihaknya telah pun menghantar permohonan tersebut kepada pucuk pimpinan DAP dan pimpinan Pas Terengganu untuk mempertimbangkan perkara itu.

Beliau berkata, ia adalah strategi yang dilihat berkesan untuk menawan Dun Bandar, kawasan yang ramai dihuni kaum Cina, yang selama ini dipegang Barisan Nasional (BN) melalui parti komponennya, MCA.

“Melalui permohonan yang dihantar kepada DAP Pusat, mereka mengarahkan kita supaya memohon kepada Pas negeri untuk memaklumkan hasrat DAP bagi meminta kerusi Dun Bandar.

“Kita sudah menghantar permohonan tersebut kepada pucuk pimpinan Pas Negeri yang ketika itu dipimpin Datuk Harun Taib iaitu sebelum Muktamar Pas, Jun lalu. Terpulang kepada Pas untuk memperhalusi cadangan itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Chai Heng berkata, jika calon Cina diletakkan di Dun Bandar bagi melawan calon Cina dari MCA, beliau yakin potensi kemenangan di pihak Pakatan Rakyat (PR) lebih tinggi.

Beliau bagaimanapun tidak memperlekehkan potensi yang ada pada calon Melayu daripada Pas atau PKR, namun menganggap ia strategi yang wajar untuk menumbangkan BN di kawasan itu.

Lebih-lebih lagi katanya, hanya Dun Bandar sahaja yang mempunyai calon tunggal bukan Melayu di negeri ini.

“Kebanyakan rakyat Cina di Dun Bandar akan memberi sokongan kepada calon Cina kerana menganggap calon tersebut mampu membawa suara mereka ke sidang Dun.

“Jadi, kalau Melayu lawan Cina, sudah tentu masyarakat di kawasan itu memberi undian kepada Cina kerana mereka tiada pilihan. Atas alasan ini jugalah kita melihat bahawa perlunya calon Cina dari PR untuk melawan calon Cina dari BN supaya rakyat mempunyai pilihan. Kalau calon MCA kalah, mereka masih ada calon Cina dari DAP,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin peratus kemenangan PR di kawasan itu boleh mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus jika calon Cina diletakkan di situ.

Sebelum ini, Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw memberitahu namanya telah pun diumumkan MCA Pusat sebagai calon Dun Bandar pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

No comments: