Friday, January 20, 2012

Hata Wahari sertai DAP

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Hata Wahari, wartawan yang dipecat Utusan Malaysia tahun lepas kerana mengkritik akhbar milik Umno itu hari ini mengumumkan menyertai DAP.

Wartawan kanan, yang juga merupakan bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), berkata memilih menyertai DAP selepas merasakan parti itu paling kerap dikritik berbanding rakan komponen Pakatan Rakyat.

“DAP, rasanya, iebih kerap dijadikan sasaran (kritikan),” katanya pada sidang media yang dipengerusikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. “DAP merupakan parti yang paling menghadapi kesukaran menjelaskan kepada rakyat tentang segala fitnah dan tuduhan-tuduhan yang disiarkan dalam media arus perdana.
“Saya rasa DAP perlu dipertahankan.”

Hata (gambar), meletakkan jawatan sebagai presiden NUJ, bertugas di Utusan Malaysia sejak 1995 sehingga dipecat pada 21 April kerana mengkritik pengurusan akhbar berbahasa Malaysia.

Apabila ditanya sama ada DAP akan melantik Hata memegang mana-mana jawatan dalam parti itu, Lim berkata bekas wartawan Utusan Malaysia tidak meletakkan sebarang syarat sebelum menyertai DAP.

“Seperti apa yang Hata katakan, beliau menyertai DAP setelah menimbangkan prinsipnya dan tiada alasan lain. Saya rasa beliau melakukannya dengan hati terbuka, jadi biar kami menyambut keanggotaannya. Mengenai perkara lain kami akan umumkan kemudian,” katanya.

Hata memberitahu pemberita selepas itu bahawa beliau telah menimbangkan keputusan itu dengan hati-hati sebelum memutuskan menyertai DAP dan menegaskan  hanya mahu meneruskan perjuangannya menuntut kebebasan maklumat dan media.

“Saya perlukan DAP untuk menjadi platform saya,” katanya.

Beliau berkata tidak mempunyai sebarang hasrat untuk memegang jawatan dalam DAP atau bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Tetapi Hata berkata beliau dimaklumkan kepimpinan parti bahawa hasratnya untuk membantu parti itu meraih sokongan orang Melayu terutamanya di kubu kuat Umno di Johor.

“Saya akan membawa balik borang keahlian untuk ahli keluarga saya juga,” katanya menambah mempunyai kira-kira 15 ahli keluarga.

Wartawan berumur 43 tahun ini berkata DAP selalu dikritik dalam media arus perdana menyebabkan parti itu dilabelkan parti Cina.

“Itu tidak benar dan saya mahu maklumkan perkara sebenar,” katanya.

No comments: