Thursday, August 11, 2011

Tujuh negeri umum bonus, Pulau Pinang beri minimum RM600

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kerajaan Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor serta Pulau Pinang merupakan tujuh kerajaan negeri setakat ini mengumumkan keputusan – mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam bulan ini.


“Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam,” kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said di Kuala Terengganu, lapor Bernama Online.
Katanya ia melibatkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun.

Ahmad berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM10 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) juga mengumumkan bahawa pentadbirannya akan memberi bonus setengah bulan atau minimum RM600 kepada kakitangan kerajaan negeri.

Kadar minimum itu tambahan RM100 berbanding minimum RM500 diumumkan kerajaan pusat.
Lim berkata guru-guru Kafa pula akan menerima RM300.

“Bonus ini akan membantu kakitangan awam membuat persiapan menyambut  Hari Raya,” katanya kepada pemberita.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembayaran bonus di Pahang melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.

Kerajaan negeri Kelantan akan turut membayar bonus setengah bulan gaji kepada 6,000 penjawat awamnya serta bayaran khas RM500 untuk para pesara.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata kerajaan Kelantan akan menanggung kos RM5 juta bagi membiayai pembayaran itu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Perak juga mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin.

Beliau berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM6.5 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada 4,800 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Katanya pemberian bonus itu menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan belanja sebanyak RM4.8 juta.

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan kerajaan negeri itu akan mengikut langkah kerajaan Persekutuan untuk memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada kakitangannya pada tahun ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan hanya pembayaran bonus RM500 kepada kakitangannya.

Wednesday, August 3, 2011

Isu MyPR-MyKad: DAP juga duga PRU-13 paling buruk dalam sejarah

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — DAP, satu lagi Pakatan Rakyat melahirkan kebimbangan sambil mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftar pekerja-pekerja asing dan pemastautin tetap sebagai pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan selepas Aidilfitri.

Perikatan itu mendakwa mereka mempunyai bukti menunjukkan pemastautin tetap sudah muka diberi taraf kewarganegaraan dalam usaha mendaftar mereka sebagai pengundi.

Kepimpinan Pakatan Rakyat akan mengadakan sidang media petang ini bagi membuat pendedahan terbuka.
Dalam laporan The Malaysian Insider awal pagi ini, PAS mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar status kewarganegaraan dalam kadar yang cepat sambil menyifatkan ia dilakukan oleh “sindiket” yang dilindungi BN demi mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.

Monday, August 1, 2011

Kontrak: Lim anggap MCA berfahaman sempit

BUTTERWORTH, 31 Julai: Tindakan Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang mempertikai kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, kerana didakwa memberi kontrak Jabatan Pengaliran dan Saliran Pulau Pinang kepada kontraktor Bumiputera dan India Muslim dianggap sebagai tidak matang dan berfahaman sempit.

Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh MCA tidak jauh bezanya dengan Umno yang menjadi rakan karib dalam BN.

"Jika kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu, MCA akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat bukan Melayu. Sekiranya kita membantu masyarakat bukan Melayu, Umno pula akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat Melayu.

"Sekiranya pemikiran dan sikap begini masih lagi menjadi ikutan dan amalan, maka pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang hidup harmoni, tanpa prejudis tidak akan tercapai.

"Oleh kerana itulah, apabila Umno seolah-olah gila talak kerana hilang kuasa, maka MCA juga kempunan untuk mengikut rakannya dengan menyalak tanpa hala tuju yang positif," ujarnya pada perasmian Jalan P Patto di Mak Mandin pagi tadi.

Sehubungan itu katanya, seandainya kuasa diberikan kepada BN, tidak mustahil banyak perpecahan dalam hubungan antara kaum akan terus berlaku, apabila perjuangan bangsa seperti yang diamalkan oleh komponen BN menjadi amalan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan, turut menyeru MCA supaya menyedari hakikat bahawa mereka bersama-sama dengan MIC dan Gerakan, sudah tidak mampu lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terhadap perjuangan mereka bagi membela nasib rakyat di Pulau Pinang.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh dan barisan exco serta kepimpinan kerajaan negeri. - Harakahdaily