Walaupun sudah lebih 50 tahun mentadbir negara, UMNO/Barisan Nasional
(BN) hingga ke hari ini masih belum mampu memperkasakan wanita, malah
mengabaikan peranan mereka dalam pelbagai sektor.
Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, kewujudan Kementerian
Wanita bermula pada 2001 juga tidak memberi sebarang manfaat kepada
dasar dan hala tuju untuk mencapai kesaksamaan gender.
Menurut beliau, ini terbukti berdasarkan kedudukan Malaysia yang masih berada
di tempat ketiga terbawah di kalangan negara berpendapatan sederhana di Asia dan rantau pasifik.
“Kementerian Wanita ditubuhkan secara rasminya pada Januari 2001
dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertindak sebagai Menteri
pertama. Selepas Shahrizat meletakkan jawatan pada April tahun lalu,
Najib pula mengambul alih peranan Menteri Pembangunan Wanita.
“Najib dan Shahrizat sepatutnya malu dengan ketidakcekapan mereka
dalam merapatkan jurang gender serta memperkasakan wanita. Negara yang
berdaya saing adalah negara yang mengiktiraf pembangunan rakyat tanpa
mengira gender.
“BN ternyata gagal memahami bahawa kesaksamaan gender dalam
pembangunan negara kerana mengetepikan wanita dalam bidang kemahiran dan
tenaga kerja. Jadi bagaimana wanita di seluruh negara boleh
mengharapkan esok yang lebih baik jika BN terus memerintah?,” tegas
beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP pada
sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Berdasarkan laporan Global Gender Gap Index tahun lalu, Malaysia
menduduki tempat ke 100 daripada 136 negara dengan memperoleh skor
sebanyak 0,6539.
Bagaimanapun, dalam laporan terbaru 2013 yang diterbitkan World
Economic Forum, Malaysia menunjukkan perubahan skor negatif iaitu -0021
dan menurun ke tangga 102.
Global Gender Gap pertama kali diterbitkan pada 2006 bertujuan
mewujudkan indeks pariti gender menyeluruh yang dapat mengesan jurang
dari masa ke semasa dengan menyediakan maklumat mengenai kemajuan negara
berdasarkan penyertaan wanita.
“Dari 2006 dan 2013, 95 negara menunjukkan kemajuan positif dalam
tempoh lapan tahun, tapi Malaysia merupakan antara negara yang
merekodkan kemajuan paling perlahan sedangkan sebahagian besar negara
jiran seperti Singapura, Filipina, Kemboja, Thailand dan Indonesia jauh
mengatasi kita,” ujarnya. –Roketkini.com
No comments:
Post a Comment