Friday, January 23, 2009

Keadilan dan Kesaksamaan, Impian Bagi Seluruh Rakyat Malaysia – YB Lim Kit Siang


Kuala Terengganu - Penasihat Parti DAP, Encik Lim Kit Siang mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa bersatupadu bersama Pakatan Rakyat bagi memenuhi impian seluruh rakyat yang mahukan keadilan dan kesaksamaan

“Jika Pakatan Rakyat mahu berjaya kita perlu menerangkan kepada rakyat satu impian rakyat Malaysia. Semua rakyat tidak kira bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya boleh berkongsi satu impian rakyat Malaysia.

“Kita (rakyat) semua boleh bersatupadu, kita hentikan dasar-dasar kezaliman yang selama 50 tahun Umno-Barisan Nasional memerintah gagal dan kita (Pakatan Rakyat) akan mengembalikan demokrasi secara adil dan saksama,” ucapnya dalam Ceramah Perdana Sempena Kemenangan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata kemenangan pilihan raya kecil Kuala Terengganu bukan hanya bagi rakyat negeri Terengganu tetapi lebih penting di peringkat nasional.

Katanya, PAS, KeADILan (PKR) dan DAP perlu mendapat kepercayaan rakyat jelata di seluruh negara supaya mereka yakin Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik bagi menggantikan Barisan Nasional.


“Kemenangan pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini penting bukan untuk negeri Terengganu sahaja tetapi lebih penting untuk nasional dan tukar kerajaan Barisan Nasional.

“Jadi untuk kita tukar kerajaan, kita tidak boleh bergantung kepada UMNO/BN sahaja tetapi lebih mustahak kita perlu mendapat kepercayaan rakyat jelata di Terengganu dan di seluruh negara bahawa mereka yakin Pakatan Rakyat ialah alternative dan pilihan terbaik sekali menggantikan BN,” jelasnya dihadapan 30,000 hadirin.


Beliau yang juga Anggota Parlimen Ipoh Timur menjelaskan dalam Pakatan Rakyat terdapat tiga buah parti PAS, PKR dan DAP yang mempunyai dasar masing-masing.


Walaupun berlainan dasar, katanya, Pakatan Rakyat mempunyai satu matlamat untuk menentang kezaliman dan mengembalikan keadilan kepada rakyat.

“Pakatan Rakyat sekarang ada tiga parti (PAS, PKR dan DAP) yang mempunyai dasar masing-masing dan kita tidak menyetujui dengan semua perkara.

“Tetapi apa yang mustahak kita berpakat dalam Pakatan Rakyat untuk isu-isu yang mustahak untuk mengembalikan keadilan dan menentang kezaliman,” ujarnya.


Katanya, dalam perkara-perkara yang tidak dipersetujui bersama itu akan diketepikan terlebih dahulu dan hanya menumpukan terhadap isu-isu yang ada persamaan.

Beliau menegaskan parti-parti pembangkang tidak mungkin boleh menjatuhkan UMNO/BN tanpa bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.


Justeru katanya, kemenangan PAS di Kuala Terengganu adalah harapan yang akan menjadi tapak permulaan bagi Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional di Putrajaya.

No comments: