Monday, July 5, 2010

DAPSY gesa Pemuda UMNO: Tarik balik kenyataan dan minta maaf

Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Pemuda UMNO Malaysia segera mengarahkan Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi mereka, Hishamuddin Yahya supaya menarik balik kenyataannya yang mendakwa nisbah pengundi baru selepas pilihanraya umum ke-12 ialah 1 Melayu kepada 40 bukan Melayu.  Pemuda UMNO juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat kerana kenyataan tersebut bukan sahaja palsu dan menggelirukan, ia juga menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Kenyataan yang berbaur perkauman tersebut terbukti palsu selepas Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar kiri) menjelaskan kepada Malaysiakini semalam bahawa nisbah yang sebenarnya ialah 2:1, iaitu setiap dua orang Melayu yang mendaftar, hanya seorang bukan Melayu yang turut mendaftar.

Menurut statistik SPR, angka yang sebenar yang telah didaftar oleh SPR sejak PRU ke-12 ialah seramai 569,137 orang di mana 355,805 (62.2%) dari kaum Melayu, 131,046 (23.03%) dari kaum Cina manakala 27,823 (4.89%) adalah dari kaum India.  Angka ini melambangkan demografi yang lebih mirip kepada pecahan kaum di Malaysia dan amat jauh berbeza dari nisbah yang didakwa oleh Hishamuddin Yahya.  Ternyata kenyataan dan dakwaan tersebut mempunyai agenda politik yang sempit dan ingin mengeliru dan menakutkan masyarakat Melayu bahawa kedudukan politik mereka semakin terancam.

Kenyataan Pemuda UMNO tersebut telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian dalam muka surat depan mereka pada 28 Jun 2010 dan disusuli dengan topik yang sama pada 29 Jun 2010.  Namun, selepas Pengerusi SPR menjelaskan angka yang sebenarnya semalam, Berita Harian langsung tidak melaporkan fakta yang sebenarnya hari ini.  Apakah ini melambangkan tahap professionalisme Berita Harian?

Namun, agenda yang lebih penting yang harus diperjuangkan oleh semua pihak selepas insiden ini ialah pertimbangan yang sewajarnya harus diberikan kepada cadangan pendaftaran pengundi secara automatik. 

Setiap warganegara Malaysia yang mencapai umur yang layak harus menjadi pengundi yang sah tanpa perlu mendaftarkan diri dengan SPR.  Ini bukan sahaja akan memudahkan urusan SPR dan menjimatkan sumber, malah kebimbangan bahawa kedudukan politik mana-mana kaum akan terancam tidak akan timbul sama sekali kerana setiap warganegara Malaysia berhak untuk menentukan barisan pimpinan negara.

DAP dan Pakatan Rakyat menyokong penuh cadangan pendaftaran pengundi secara automatik kerana ia telah dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam tahun lepas.  Persoalan sekarang ialah sama ada UMNO dan Barisan Nasional mempunyai keinginan politik untuk melaksanakannya?

*Kenyataan Media oleh Anthony Loke Siew Fook, selaku Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) merangkap Ahli Parlimen Rasah, Negeri Sembilan.

No comments: