Sunday, September 19, 2010

DAP: Penafian Ku Nan buktikan Umno, BN masih sokong Perkasa

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Pendirian terbaru seolah-olah Umno ‘menyerah’ manakala akhbar miliknya Utusan Malaysia secara terbuka mempertahankan Perkasa menunjukkan mentaliti pertubuhan bukan kerajaan itu dalam Barisan Nasional (BN) manakala konsep 1Malaysia hanya satu slogan kosong semata-mata untuk memikat undi, dakwa DAP hari ini.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata, partinya tidak terkejut dengan kenyataan terbaru rakan sejawatannya dari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menafikan BN pernah mengambil keputusan untuk menyisihkan Perkasa. 

“Lebih-lebih lagi, Tengku Adnan tiada pilihan kecuali untuk menyokong kenyataan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak semalam (kelmarin) bahawa Umno tidak mahu mencetuskan konflik dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan seperti Perkasa,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. 

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Tengku Adnan menafikan rakan-rakannya dari BN pernah mengambil keputusan awal bulan ini untuk menjauhkan diri daripada Perkasa atas alasan pertubuhan bukan kerajaan itu menghakis sokongan mereka. 

Penafian beliau itu muncul sehari selepas kenyataan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, kelmarin bahawa Umno tidak mahu mencetuskan konflik dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan meskipun pemimpin-pemimpin Umno termasuk beliau menolak Perkasa.

Lim juga menambah, kenyataan terbaru itu menunjukkan Umno sudah lama beradad di belakang kewujudan Perkasa. 

Malah, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, apa yang mengejutkan ialah sokongan ini dan mentaliti Perkasa kelihatan ‘menjangkiti’ kalangan komponen BN. 

Kata Lim, adalah jelas kesemua parti komponen seperti MCA hanya bermain sandiwara dalam menentang tindak tanduk Perkasa, sedangkan dalam mesyuarat mereka hanya berdiam diri. 

“Jelas, kesemua parti komponen BN seperti MCA hanya bermain sandiwara besar mementang Perkasa di luar, tetapi mereka berdiam diri dan menyokong bulat-bulat kedudukan pro-Perkasa yang dibawa Umno. 

“Mentaliti Perkasa ini dalam BN adalah berbahaya kerana ia membawa kepada tindakan merendah-rendahkan kaum minoriti Malaysia secara terbuka dan jelas,” katanya. 

Kata beliau, mentaliti Perkasa ini menyebabkan mereka yang membuat kenyataan rasis terlepas daripada tindakan undang-undang. 

“Apabila pegawai khas Najib, Nasir Safar mengatakan bahawa orang India adalah peminta sedekah manakala wanita Cina pula menjual badan mereka, Nasir yang mengeluarkan kenyataan macam itu tidak dihukum dan hanya meletakkan jawatan; apabila seorang pengetua menyalahgunakan kedudukannya untuk mengeluarkan kenyataan rasis terhada pelajar India dan Cina, tiada tindakan diambil,” katanya. 

“Begitu juga tiada tindakan diambil terhadap pengetua sekolah di Kedah yang membuat kenyataan rasis terhadap pelajar Cina. 

“Seorang lagi guru di sebuah sekolah Bukit Jambul hanya diberikan memo atas tindakannya menggunakan kata-kata menghina,” kata Lim sambil menambah, tiada tindakan diambil terhadap kenyataan berbaur rasis dan ekstremis ekoran sokongan terbuka dan demonstrasi Perkasa terhadap Nasir dan pengetua-pengetua terbabit. 

Lim menambah, kebanyakan rakyat Malaysia tahu bahawa Perkasa adalah rasis dan ekstemis kerana mereka tidak mengecam, sebaliknya secara terbuka menyokong pengetua-pengetua sekolah terbabit dan juga kepada Nasir. 

“Lebih serius ialah apabila Umno dan BN terus-menerus sokong Perkasa meskipun Perkasa mengambil pendirian sedemikian,” katanya lagi. 

Lim yang juga Ahli Parlimen menambah, rakyat Malaysia seharusnya bersatu untuk menentang elemen rasis dan pelampau bukan sahaja yang dibawa oleh Perkasa, tetapi juga mereka yang menyokong Perkasa, antaranya Umno dan BN. 

Lebih seminggu lalu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN dilaporkan bahawa rakan-rakannya dalam BN telah bersetuju bahawa  menjauhkan perikatan itu daripada Perkasa adalah langkah terbaik untuk mengatasi sokongan bukan Melayu kepada BN yang didakwa semakin merosot. 

Sokongan itu antara lain merosot kerana bukan Melayu melihat Umno menjalin kerjasama dengan Perkasa. 

Tengku Adnan pernah menafikan Umno ada kerjasama dengan Perkasa ataupun menyokong perjuangan Perkasa. 

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider sebelum ini beliau juga memberitahu bahawa Umno tidak akan menyokong Perkasa dalam pilihan raya umum akan datang. 

Tengku Adnan menekankan bahawa BN tidak menjauhkan diri daripada Perkasa. 

Jelas Tengku Adnan, beliau hanya memberitahu bahawa tindakan Perkasa sejak kebelakangan
ini memperlekehkan peluang BN dalam pilihan raya umum akan datang dengan mensabotaj soal keharmonian kaum di kalagan komponen perikatan itu. 

Tengku Adnan juga menekankan tentang apa yang dikatakan oleh Najib sambil berkata, Umno dan BN tidak harus menjauhkan diri daripada mana-mana NGO tetapi sewajarnya membimbing mereka dengan dasar-dasar BN. 

Semalam di Kota Baru, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa tidak terlibat dengan politik tetapi menyuarakan hak rakyat melalui lunas-lunas perlembagaan.

No comments: