KUALA LUMPUR 23 Mac – MCA kesal terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam satu temu bual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina semalam yang didakwa tidak bertanggungjawab dan bongkak.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Nazri dalam laporan yang disiarkan hari ini menyifatkan MCA ketika ini umpama isteri yang tidak mempunyai suami.
Malah, dakwa Tiong Lai, Nazri turut membuat cabaran kepada MCA agar keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika tidak bersetuju dengan gabungan itu.
“Kenyataan itu amat tidak bertanggungjawab tetapi kami faham bahawa itu hanya pandangan peribadi beliau dan tidak melibatkan UMNO secara keseluruhan.
“Apa pun kami akan membawa perkara ini kepada mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang. Terpulang kepada BN untuk mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Turut hadir, dua Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Datuk Chor Chee Heung di samping Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong serta Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Yen Yen dalam pada itu mendakwa perkara tersebut sudah dibawa ke pengetahuan Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan apa yang dinyatakan Nazri itu adalah pandangan peribadi beliau.-Utusan Online
No comments:
Post a Comment