Sunday, May 1, 2011

Malaysia harus belajar daripada Korea Selatan

Malaysia harus belajar daripada Korea Selatan yang GDPnya hanya 1/3 Keluaran Kasar Negara atau GDP Malaysia sebelum tahun 1970, kini 3 kali ganda GDP Malaysia.  GDP per capita sekarang pun lebih dua kali ganda Malaysia kerana penduduknya 49 juta jauh melebihi 27 juta rakyat Malaysia.  Malaysia tidak boleh bergantung kepada alasan mudah kegagalan menandingi Korea Selatan adalah kerana penduduk Malaysia jauh lebih besar.
Salah satu punca utama kebangkitan ekonomi Korea Selatan adalah penekanan dan tumpuan kepada bakat-bakat dan pembangunan sumber manusia.  Inilah perkara yang cuba ditutup bahawa kegagalan dasar ekonomi adalah kegagalan satu dasar pelaksanaan dasar sumber manusia yang mementingkan pekerja dan produktiviti.  Kegunaan pekerja asing dengan kadar gaji yang murah mencacatkan kenaikan gaji selaras dengan peningkatan produktiviti dan penyelidekan dalam teknologi tinggi.  Lagipun latihan semula diberikan bukan kepada pekerja tempatan tetapi pekerja asing yang merugikan negara.



Kesannya, para pekerja, sama ada kolar biru atau kolar putih, terpaksa menanggung beban kesan negatif ekonomi seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan, kedudukan gaji tidak berganjak serta masalah-masalah sosial yang berlaku akibat keadaan semasa.  Laporan terbaru Bank Dunia mengenai Malaysia mengesahkan aliran keluar negara cerdik pandai atau "brain drain" menunjukkan Malaysia kehilangan bakat dan pakar yang mampu meningkatkan kemajuan ekonomi, taraf hidup dan kemakmuran rakyat.  Adalah dianggarkan 2 juta rakyat Malaysia telah berhijrah ke Negara lain sejak Merdeka kerana tidak dapat peluang yang sama rata.
DAP kecewa dengan reaksi Perdana Menteri Najib Razak yang menolak laporan Bank Dunia dengan mendakwa "brain drain" bukan punca masalah ekonomi dan pelaburan negara; malah beliau dengan bangga mengatakan aliran masuk pelaburan telah meningkat enam kali ganda tahun lalu berbanding 2009.  Menurut Laporan Bank Dunia, "One out of 10 Malaysians with a tertiary degree migrated in 2000 to an OECD (the club of rich countries, but which does not include Singapore) country – this is twice the world average and including Singapore would make this two out of 10.  In other words, it is very likely that 20% of our best graduates end up in other countries.  The reasons why they leave are also instructive: 66% cited career prospects, 60% social injustice and 54% compensation."
Sungguhpun ketidakadilan social dan dasar-dasar diskriminasi membawa kerugian kepada Negara, tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak kerajaan BN.  Lihatlah negeri Sabah dan Sarawak yang merupakan fixed deposit atau simpanan tetap BN yang paling miskin dan susah sekali.  Sabah memiliki 42.9% daripada kadar kemiskinan Negara diikuti oleh Sarawak sebanyak 12%.
Dengan kehilangan 20% daripada golongan pintar kita, sebaliknya Malaysia mendapat lebih 2 juta warga asing yang bekerja di negara ini, di mana 60% hanya kelulusan sekolah rendah dan tentunya tidak mempunyai kemahiran tinggi.  Dengan kata lain, tidak hairan mengapa Malaysia tidak dapat mengecapi kemajuan ekonomi yang cergas berbanding dengan Negara jiran, bila Malaysia kehilangan 2 juta rakyatnya berkemahiran tinggi yang digantikan dengan pekerja asing yang 60% adalah berpendidikan rendah.
Keadaan yang tidak seimbang ini memberi kesan negatif  kepada rakyat Malaysia.  Tetapi kerajaan BN lebih berkemahiran main politik perkauman daripada menarik balik aliran bakat atau pintar ini.
Yang menghairankan, jika begitu hebat kejayaan ekonomi Malaysia, mengapa inflasi dan tekanan kos kehidupan semakin meningkat?  Semua orang tahu hari ini harga ikan, ayam, daging, sayur, the tarik, nasi lemak, roti canai, susu tepung dan sebagainya melambung berbanding satu atau dua tahun yang lalu.
Malah, apabila nilai Ringgit semakin kukuh - yang bererti Malaysia sepatutnya dapat mengurangkan daya saing industri eksport dan mengurangkan kadar inflasi kerana barangan import menjadi lebih murah - tidak nampak pula sebarang tanda harga barang dan perkhidmatan turun.
Kerajaan Pusat mengumumkan kadar inflasi negara sejak tiga bulan lalu berada pada tahap 2.8% tetapi setiap rakyat Malaysia yang gigih berusaha mencari nafkah untuk keluarga sedar bahawa harga barang bukan sahaja tidak turun, malah semakin melambung tinggi.  Yang sekali lagi menghairankan kita semua, di mana perginya wang hasil pelaburan yang dikatakan meningkat enam kali ganda itu?  Sudah tentu ada yang tidak kena.
DAP telah banyak kali menyuarakan usaha supaya gaji dan pendapatan pekerja diberi keutamaan dalam dasar kerajaan.  Malah bersama dengan PAS dan PKR melalui Pakatan Rakyat, DAP telah berikrar untuk melaksanakan dasar gaji minimum yang adil mengikut keperluan dan kemampuan ekonomi negara bagi melonjakkan keluar para pekerja yang berada di bawah garis kemiskinan.
BN pun mengaku mahu melaksanakan dasar itu tetapi sampai hari ini, ia masih di peringkat kajian. Tidak pasti sampai bila para pekerja perlu menunggu hasil kajian itu. Sehubungan dengan itu, DAP merayu kepada semua pekerja di Malaysia tanpa mengira sektor, kaum, agama dan jantina supaya berada bersama dengan Pakatan Rakyat untuk mengirak langkah "ubah" bagi memulihkan kembali ekonomi negara yang telah dicacatkan oleh BN.
Melalui Pakatan Rakyat, kita mampu untuk mengembalikan maruah ekonomi negara melalui usaha meningkatkan taraf hidup pekerja, berkongsi kemakmuran negara dan hidup aman harmoni dalam suasana yang stabil dan selesa.
*Perutusan Hari Pekerja 2011 oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha Agung DAP.

No comments: