Friday, June 24, 2011

Kit Siang dakwa kes trio Datuk T salah guna kuasa mahkamah

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata prosiding kes melibatkan trio Datuk T di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi seolah-olah menunjukkan wujud salah guna proses mahkamah sehingga menggambarkan urusan kehakiman negara menjadi “bahan lucu.”

Justeru, Lim juga menyoal sama ada salah guna proses mahkamah itu sebahagian daripada konspirasi melibatkan Peguam Negara dan polis sehingga kes itu sudah lewat tiga bulan untuk dibawa ke mahkamah.

“Misalnya, juga didakwa bahawa ada keterangan pakar bahawa lelaki dalam video seks itu 99.99 peratus adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.


Lim juga menyoal tentang nilai dan kredibiliti bukti pakar sedangkan ia tidak dicabar atau diperiksa dengan keterangan-keterangan pakar lain, membawa kepada status akaun satu sebelah tidak lebih daripada dengar cakap.

“Banyak persoalan bangkit daripada prosiding yang melucukan di Mahkamah Majistret pagi ini, di mana trio Datuk T menjustifikasikan jenayah mereka demi kepentingan negara,” katanya.

“Adakah Peguam Negara akan bersetuju bahawa sesuatu yang relevan untuk mengurangkan hukuman ke atas kesalahan yang dilakukan oleh sesiapa, sama ada mencuri dokumen atau melanggar Akta Rahsia Rasmi, jika jenayah itu dilakukan dengan tujuan murni mendedahkan rasuah besar melibatkan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan?” kata beliau.

“Soalan yang saya hendak kemukakan sama ada Peguam Negara dan polis sebahagian daripada konspirasi dalam salah guna kuasa proses mahkamah trio Datuk T, menyebabkan kelewatan tiga bulan dalam mendakwa mereka.

“Jika begitu, kedua-dua Peguam Negara dan Ketua Polis Negara harus menjelaskan mengapa mereka kompromi dalam kebebasan, profesionalisme dan integriti pejabat mereka untuk melibatkan dalam permainan politik trio Datuk T dan ketua-ketua mereka dalam Umno?” kata Lim.

Tengah hari tadi, trio Datuk T menegaskan walaupun dijatuhkan hukuman kerana menayangkan bahan lucah, namun mereka menyifatkan ia “satu kejayaan” apabila dapat menyampaikan kepada rakyat identiti sebenar Anwar.

Ketiga-tiga Datuk T itu diijatuhkan didenda RM5,500 atas kesalahan menayangkan rakaman video seks yang si pelakunya didakwa mirip Anwar.

Ketika prosiding pagi tadi, kesemua mereka iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong kes yang merupakan satu hipokrasi, walaupun saya tidak berapa gembira dengan hukuman (dikenakan), tapi demi rakyat kami sedia berkorban.

“Hipokrasi yang berlaku ini harus dihapuskan dan kami yakin Anwar Ibrahim sebagai orang dalam video seks itu dan telah melakukan kemaksiatan,” kata Abdul Rahim pada sidang media ringkas di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini.

Tegas beliau, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat Majistret Aizatul Akmal Maharani sambil menegaskan Anwar adalah pelaku dalam rakaman video seks itu.

“Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrasi ini tidak layak untuk menjadi perdana menteri dan kami berharap selepas ini, rakyat dapat menghakimi perkara yang sebenar.

“Tiada lagi kenyataan mirip-mirip Anwar... yang ada hanya Anwar Ibrahim,” katanya.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, telah menafikan bahawa beliau adalah si pelaku dalam rakaman video seks itu selain telah membuat laporan polis.

Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara.

Sementara Abdul Rahim pula secara berasingan didakwa bersubahat dengan Shazryl dan Shuib.-MalaysianInsider

No comments: