Wednesday, July 13, 2011

Bersih 2.0: Umno, Utusan penderhaka sebenar, kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dengan tegas menyokong tuntutan Bersih 2.0, Lim Kit Siang hari ini menyifatkan Utusan Malaysia dan Umno adalah “penderhaka kepada Sultan” kerana cuba menghalang perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ke Istana Negara.

Penasihat DAP (gambar) menegaskan tuduhan yang dilemparkan terhadap pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat bahawa tidak akur perintah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah tidak bertanggungjawab.

“Ia tuduhan yang tidak bertanggungjawab, tidak benar dan liar dilakukan Utusan Malaysia yang menuduh Pakatan Rakyat Selangor tidak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor kerana bertindak meneruskan sokongan terhadap Himpunan Bersih 2.0.


“Utusan Malaysia adalah suara kepada pemimpin Umno. Adakah Utusan dan pemimpin Umno menganggap 50,000 rakyat Malaysia yang terpaksa berdepan dengan risiko ditangkap, dicederakan, ditembak dengan gas pemedih mata dan meriam air kerana menuntut pilihan raya bersih dan adil adalah tidak setia dan pengkhianat kepada Sultan dan negara,” tegas Lim dalam satu kenyataan.

Sebaliknya tegas beliau, Utusan Malaysia dan pemimpin Umno yang “tidak setia dan pengkhianat kepada Sultan dan negara.”

“Jika mereka amat tidak bertanggungjawab dan bertindak melulu kerana membuat tuduhan liar terhadap peserta Himpunan Bersih 2.0 sebagai tidak setia dan menderhaka kerana memberikan sokongan - mereka (Utusan Malaysia dan Umno) yang bertanggungjawab memutarbelitkan keadaan supaya rakyat menderhaka.

“Ini kerana Utusan Malaysia ketinggalan zaman, mereka tidak faham atau berasa empati terhadap insiden yang berlaku dalam perhimpunan itu,” katanya.

Justeru tegas Lim, tuduhan yang dilemparkan Utusan Malaysia jelas membuktikan bahawa apa yang dikatakan profesor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin adalah benar.
Kelmarin Shamsul Amri berkata, pentadbiran Najib tidak lagi boleh menggunakan taktik era Perang Dingin dalam berhadapan dengan bangkangan dan menguruskan aspek sekuriti negara.

Ini kerana jelas beliau, musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat.

Oleh demikian Shamsul Amri mencadangkan agar Putrajaya perlu beralih daripada pendekatan tradisional kepada bukan traditional, yang menurutnya mempunyai lima komponen iaitu tenaga atau kuasa, air, makanan, kesihatan dn pendidikan.

“Shamsul Amri telah mengingatkan BN bahawa musuh mereka bukan lagi komunis yang berperang dalam hutan tetapi adalah pergerakan awam yang melibatkan politik kelas pertengahan yang membawa isu-isu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ‘perang ugutan’ yang dilakukan akan memberikan kesan kerana rakyat Malaysia sudah tidak takut kepada pasukan keselamatan,” kata Lim.
Susulan Bersih pertama tahun 2007, perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara di sebalik tahap keselamatan ketat.

Penganjur Bersih 2.0 mendakwa telah dapat menghimpunkan 50,000 orang, tetapi angka ini dinafikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengatakan hanya sekitar 6,000.

Seminggu sebelum itu Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 yang dianggotai 62 pertubuhan bukan kerajaan sebagai satu badan haram manakala segala lambang dan barang terbitan membawa mesej Bersih 2.0 juga diumumkan sebagai haram.

Berkaitan dengan Himpunan Bersih 2.0,  enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput ditahan di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan cuba menghidupkan kembali fahaman komunis.

Dalam kenyataan itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata beliau akan memakai pakaian berwarna kuning pada setiap Sabtu sebagai tanda sokongan terhadap lapan tuntutan Bersih 2.0.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“Bermula dari minggu ini saya akan memakai pakaian kuning pada setiap hari Sabtu sehingga enam ahli PSM yang ditahan dibawah Ordinan Darurat dilepaskan, pengharaman Bersih ditarik balik dan lapan tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan,” kata Lim.

Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan ahli-ahli politik kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ditahan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

No comments: