KUALA LUMPUR, 18 Julai — Sambil menyifatkan keputusan kerajaan negeri Kedah sebagai penyelesaian “menang-menang”, DAP negeri mencadangkan agar diadakan sebuah badan pemantau khas bagi memastikan pusat-pusat hiburan tidak dikunjungi umat Islam sepanjang Ramadan.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi, Pengerusi DAP Kedah Lee Guan Aik (gambar kanan)berkata langkah kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu yang dipimpin Datuk Seri Azizan Abdul Razak menarik balik larangan pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan adalah satu tindakan bijak.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Kedah kerana menarik balik penguatkuasaan larangan ke atas pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan dan saya rasa ia adalah satu keputusan yang bijak dan bagus.
“Seperti yang kita maklum pengusaha pusat hiburan ini adalah orang bukan Islam. Kalau ditutup sepanjang Ramadan, habislah mata pencarian mereka terjejas, lagipun dalam Islam juga ada mengatakan hak orang bukan Islam juga harus dijaga dan saya harap perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Datuk Aman ini memberitahu, kerajaan negeri harus mewujudkan satu badan pemantau sekiranya mahu memastikan orang Islam tidak memasuki pusat hiburan seiring dengan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.
Lee berkata badan pemantau itu boleh ditubuhkan di bawah agensi agama negeri seperti pasukan pencegah maksiat.
“Undang-undang boleh dilaksanakan, tapi kalau tidak buat penguatkuasaan atau pemantauan macam mana? Kita juga tidak mahu orang Islam masuk pusat hiburan dan kita juga mahu orang Islam sendiri menghormati agama mereka.
“Saya percaya kalau ada pemantauan mungkin pengusaha pusat hiburan boleh bekerjasama dengan pihak pentadbiran untuk pastikan orang Islam tidak memasuki pusat hiburan,” katanya.
Semalan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pusat hiburan di Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan, namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.
Jelas Presiden PAS, kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.
Ini kerana kata beliau, kerajaan negeri Kedah pimpinan Azizan hanya melaksanakan undang-undang yang digubal oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Sebelum ini Azizan berkata pihaknya memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya tahun ini.
Azizan berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.
Kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.
Tambah Azizan, di bawah enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.-MalaysianInsider
No comments:
Post a Comment