Wednesday, April 18, 2012

Lagu tema pilihanraya DAP dilancarkan


KUALA LUMPUR, 18 April – Satu lembaran baru dicatatkan DAP apabila parti ini menganjurkan satu konsert mini bagi melancarkan lagu tema rasmi parti tersebut untuk Pilihan Raya Umum 13.

Acara yang bermula pada jam 8 malam itu menyaksikan 2000 orang awam membanjiri Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor bagi memberikan sokongan.

Acara berlangsung dalam suasana yang meriah ini mencatatkan sejarah baru bagi DAP kerana mini konsert sebegini adalah yang pertama bagi DAP dan buat kali pertama juga acara DAP disiarkan secara langsung di internet.

Antara yang hadir pada malam tersebut dan memberikan ucapan adalah pemimpin-pemimpin DAP yang terdiri daripada Pengerusi Kebangsaan Karpal Singh, Ketua Parlimen Lim Kit Siang, Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Naib Pengerusi Tunku Abdul Aziz, Ketua Pemuda Anthony Loke serta Naib Presiden PKR Nurul Izzah dan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Khalid Samad.

Menurut Tunku Aziz, “Inilah (PRU 13) peluang terbaik kita untuk melakukan satu perubahan yang bermakna untuk negara kita. Bukan untuk satu kaum, tetapi untuk masa depan lebih baik untuk setiap seorang rakyat Malaysia.”

Anthony Loke pula berkata, “Kita mahu membawa mesej ‘ubah’. Kita akan meyebarkan mesej ini ke seluruh Malaysia bermula di Kuala Lumpur.”

Ahli Parlimen Rasah itu turut mempromosi laman web kempen DAP, iaitu www.ubah.my dan juga rancangan mingguan terbitan DAP di internet bertajuk “Fokus PRU 13”.

MP Shah Alam Khalid Samad pula dalam pidato beliau berkata bahawa hubungan DAP dan PAS sangat baik dan akrab meskipun cuba diretakkan oleh BN.

“Mereka kata DAP ini chauvanis, anti-Islam, komunis, tetapi apabila kita bekerjasama dalam Pakatan Rakyat kita dapati bahawa ini adalah tidak benar sama sekali.

Semakin lama hubungan PAS dan DAP cuba direnggangkan oleh BN. Bukan sahaja hubungan kita tidak retak, malah hubungan kita bertambah erat lagi.”

Acara tersebut tamat kira jam 11.30 malam diakhiri dengan acara menandatangani album Ubah dan cenderamata oleh pemimpin-pemimpin tertinggi DAP.

Video muzik “Ubah” boleh ditonton di laman www.ubah.my ataupun dapmalaysia.org

No comments: