KUALA LUMPUR, 22 Ogos — DAP akan melancarkan kempen nasional bagi menggalakan orang ramai mendaftar sebagai pengundi terutamanya orang muda, kata Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.
“DAP dan sekutunya melancarkan kempen nasional untuk menggalakkan orang mendaftar untuk mengundi,” kata Loke dalam sebuah sidang akhbar di pejabat DAP hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Rasah itu, jumlah yang masih belum mendaftar sangat tinggi iaitu seramai 3.3 juta orang atau 20.5 peratus dari 16.2 juta warga yang layak mengundi.
Pengundi baru mendaftar akan menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya umum ke 13 yang akan berlangsung selewat-lewatnya April tahun hadapan.
Loke berkata, warga yang layak mengundi perlu mendaftar selewat-lewatnya 15 September 2012 untuk berpeluang mengundi jika pilihan raya berlangsung pada Januari 2013.
“Pada pilihan raya 2008, Barisan Nasional memperoleh 4.08 juta undi, lebih 280,000 undi berbanding dengan Pakatan Rakyat dengan 3.79 undi.
“Untuk menggalakkan pengundi baru mendaftar, kempen ini akan dilancarkan dalam masa tiga minggu dari sekarang."
“Terdapat lebih dari 40 tempat akan disediakan untuk menjadi pusat pendaftaran, antaranya di kompleks membeli belah, pasar pagi, pasar malam dan pusat perkhidmatan kami di seluruh negara."
“Untuk keterangan lanjut bolehlah melayari laman web Reg2Vote.com dan pertanyaan di email kami di info@reg2vote.com,” katanya dalam sidang medianya hari ini.
DAP juga melancarkan kempen pendaftaran melalui Youtube dalam video “Alamak! Kena Register!” pada hari Sabtu yang lalu dan ditonton sebanyak 7,000 pelawat setakat ini.
Menurut Loke lagi, mereka juga akan melancarkan kempen ini melalui blog, Twitter dan Facebook, di mana DAP mempunyai 450,000 orang mengikuti laman Facebook rasmi parti tersebut.
Mereka juga berharap melalui kempen ini mereka dapat mendaftarkan lebih ramai pengundi baru sebelum 15 September 2012 untuk memastikan mereka dapat mengundi sekiranya pilihan raya berlangsung pada Januari 2013.
No comments:
Post a Comment