Saya berdiri memberikan sokongan penuh bagi pihak DAP dan Pakatan
Rakyat terhadap usul di hadapan Dewan yang mulia ini dan mengecam
sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas Wilayah Palestin di
Gaza serta menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
membuat ketetapan supaya Israel menghentikan dengan serta-merta
serangan ketenteraannya ke atas Wilayah Palestin di Gaza melalui
gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menguatkuasakan gencatan senjata
tersebut.
Satu kemungkaran yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan sedang
berlaku di Gaza, Palestin. Sejak hari Rabu yang lepas, rejim Israel
telah melancarkan serangan udara secara bertubi-tubi ke atas rakyat
Palestin di Gaza.
Yang lebih jahatnya, serangan-serangan terbaru bertumpu kepada
kawasan-kawasan padat penduduk. Antara mangsa-mangsa yang terkorban
termasuk kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah.
Angka kematian kian meningkat, dengan kematian 109 nyawa termasuk
pemimpin Hamas Ahmed Al-Jabari, sementara 840 orang lain mengalami
kecederaan (termasuk 225 kanak-kanak). Separuh daripada jumlah yang
terkorban merupakan orang awam.
Keadaan ini sungguh mendukacitakan. Rakyat Palestin selama ini
ditindas oleh rejim Israel di tanah sendiri dan lagi teruknya
dianaktirikan oleh kuasa-kuasa besar yang sampai hari ini masih tidak
menghormati kedaulatan wilayah tersebut. Kini, mereka sekali lagi
menjadi mangsa dasar luar negeri Israel serta tindakan zalim Pasukan
Pertahanan Israel (Israeli Defense Force) atau IDF yang tidak
teragak-agak untuk menyasarkan serangan ke atas orang awam.
Sikap rakus kepimpinan rejim Israel yang suka menggunakan taktik
kekerasan dan keganasan ke atas rakyat Palestin harus dikutuk dengan
sekeras-kerasnya. Lagi-lagilah apabila Israel mempunyai kelebihan
ketenteraan yang jauh lebih dasyat. Oleh itu, sebarang tindakan
keganasan oleh Israel secara lazimnya akan mengakibatkan kematian dan
kerosakan yang keterlaluan, seperti yang jelas kelihatan dalam
serangan-serangan yang sedang berlaku.
Adakah dunia sanggup melihat lagi pengorbanan insan yang tidak
bersalah dan pencetusan perang secara besar-besaran di Timur Tengah?
Sekiranya keganasan rejim Israel tidak dibendung, perang akan menjadi
satu kepastian. Malah, mengikut laporan-laporan berita, tentera Israel
sudah pun bersedia dan telah dihantar kepada sempadan Gaza.
DAP dan Pakatan Rakyat menyuarakan sokongan kami dalam semangat
kesetiakawanan bersama rakyat Palestin. Kami juga menyokong jalan
penyelesaian multilateral malalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Sungguhpun begitu, kami amat kecewa dengan tindakan Presiden Amerika
Syarikat Barack Obama yang lekas membela rejim Israel dengan mengatakan
bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada serangan
roket daripada militan Palestin. Bagaimana pula dengan hak rakyat
Palestin untuk mempertahankan diri daripada penindasan sistematik dan
keganasan tajaan rejim Israel yang membawa kematian dan kerosakan skala
besar?
Pada masa yang sama, Presiden Obama berkata bahawa "violence is not
the answer", ataupun "keganasan itu bukan penyelesaian". Apakah serangan
udara oleh rejim Israel itu bukan keganasan? Pendirian lidah bercabang
dua ini tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat Palestin.
Justeru, kami menggesa Wisma Putra agar membuat bantahan diplomatik
dan menyampaikan pesanan yang tegas kepada pihak-pihak berkuasa seperti
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hendaklah mengeluarkan ketetapan
melalui Majlis Keselamatan untuk mengutuk keganasan yang sedang berlaku
serta segera menghentikan keganasan oleh rejim Israel. Pada masa yang
sama, Amerika Syarikat harus lebih bertanggungjawab dan memberi tekanan
yang kuat kepada rejim Israel dan bukan hanya beromong kosong.
Sekiranya komuniti antarabangsa hanya membiarkan sahaja keganasan
dan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin,
maka kita semua akan berkongsi dosa. Kekejaman rejim Israel adalah amat
terkutuk dan wajib dihentikan dengan serta merta.
No comments:
Post a Comment