Wednesday, November 7, 2012

DAP harus bersatu menentang tindakan-tindakan terdesak oleh media arus perdana

Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dalam mesyuaratnya pada hari Isnin, 5.11.2012 telah bersetuju dengan sebulat suara bahawa persoalan sama ada seseorang calon itu bertanding kerusi Parlimen dan DUN secara serentak akan ditentukan mengikut keadaan kerana ia melibatkan strategi politik dan kebolehan untuk menang. Semua ahli digesa untuk tidak menghebahkan mekanisme dalaman parti kepada media arus perdana yang berniat untuk menggambarkan DAP secara negatif.


Gambaran negatif yang disensasikan adalah taktik untuk mengalih perhatian daripada dasar-dasar gagal, fitnah dan budaya kroni yang diamalkan BN. Selain daripada isu pemasangan 831 kamera 1Malaysia di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang menguntungkan syarikat-syarikat swasta melalui komisyen daripada setiap saman yang dikeluarkan, BN juga terperangkap dalam skandal-skandal kewangan dan salah laku oleh pemimpin-pemimpinnya.

Kerana tidak berupaya untuk menjelaskan salah laku pemimpin-pemimpin BN, media arus perdana terpaksa memutar belit kenyataan-kenyataan pemimpin PR sehingga memainkan sentimen perkauman dan agama. Cubaan oleh Utusan Malaysia untuk melaga-lagakan orang Islam dengan bukan Islam dengan melabel DAP sebagai "kafir harbi" telah gagal apabila Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan fatwa yang menggelarkan orang bukan Islam sebagai "kafir harbi".

Dalam jawapannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, Jamil Khir telah berkata bahawa apa-apa kenyataan yang menggelarkan orang bukan Islam sebagai "kafir harbi" atau "kafir zimmi" hanya pendapat peribadi dan orang Islam tidak terikat dengan pendirian tersebut. Utusan telah membezakan DAP sebagai "kafir harbi" berbanding MCA atau MIC sebagai "kafir zimmi" yang telah menerima negara Islam dan hudud.

Dari segi sejarah, frasa "kafir harbi" telah digunakan untuk merujuk kepada orang bukan Islam yang memusuhi Islam, di mana kematian mereka dibolehkan atau diwajarkan dalam suasana perang kerana mereka dilihat mencuba untuk membunuh orang Islam. Dalam erti kata lain, maksud tersirat Utusan adalah untuk menyarankan keganasan terhadap pemimpin-pemimpin DAP, walaupun DAP tidak pernah membunuh atau mencederakan walaupun seorang Islam atau Melayu.

Sepertimana DAP, PAS juga tidak pernah membunuh walaupun seorang bukan Islam atau bukan Melayu, tetapi masih lagi dijadikan momok yang mengancam keselamatan bukan Melayu. Sebaliknya, DAP telah kehilangan ahli seperti Teoh Beng Hock yang ditemui mati di perkarangan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sementara ahli-ahli PAS telah dibunuh dalam insiden Kampung Memali 1985.

Walaupun difitnah Utusan, tiada tindakan diambil terhadap akhbar tersebut. Pemimpin-pemimpin DAP harus bersatu menentang tindakan-tindakan terdesak oleh media arus perdana untuk memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

No comments: