Monday, March 4, 2013

Kit Siang cadang tubuh majlis semua pihak urus krisis di Sabah

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencadangkan majlis semua pihak ditubuhkan membabitkan wakil daripada parti pemerintah dan oposisi untuk membantu menguruskan pencerobohan tentera Sulu di Sabah.

Katanya, selain itu ia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan politik, kaum, agama atau kawasan, bersatu dalam memelihara kedaulatan negara dan keselamatan rakyatnya.

“Saya mengutarakan dua cadangan berkenaan bagi menyokong anggota polis dan tentera yang berada di barisan hadapan mempertahankan kedaulatan negara dengan nyawa mereka

“Selain itu satu sidang tergempar Parlimen sepatutnya diadakan minggu ini, walaupun pada 8 Mac 2013 menandakan ulangtahun kelima Pilihan Raya Umum 2008 untuk memberitahu dunia walaupun negara berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), rakyat Malaysia tidak mengira politik, kaum, agama dan kawasan, bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan Media mengenai Pengiraan Detik 39 Hari ke PRU-13, di sini, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga perlu melawat segera Sabah bagi meredakan kebimbangan dan keresahan rakyat Sabah terhadap pelbagai insiden pencerobohan dan keselamatan rakyat di negeri itu.

Menurutnya, ketika rakyat Malaysia masih berkabung untuk kematian dua wira negara, Komando Polis, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Sabaruddin Daud, 46, yang terbunuh dalam insiden tembak menembak dengan penceroboh bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pagi Jumaat lalu dan tiga lagi komando cedera serta pagi ini dikejutkan pula dengan berita dua lagi anggota polis maut di Semporna, malam semalam.

“Pagi ini rakyat Malaysia dimaklumkan dengan berita sedih bahawa “Polis terbunuh ketika bertempur dengan militan Filipino di Semporna” tetapi menjelang tengah hari, polis mengesahkan dua pegawai polis terbunuh dalam serang hendap di Kampung Seri Jaya Siminul, sebuah perkampungan atas air, di Semporna, kira-kira jam 6.30 petang semalam, termasuk yang  sedang bertarung nyawa di hospital awam di Semporna.

“Namun yang lebih buruk bakal terjadi, apabila mendapati sidang akhbar bersama pertama polis dan tentera di Felda Sahabat Residence, Lahad Datu selepas tiga minggu stand-off dengan penceroboh bersenjata Sulu di Kampung Toudou, seperti yang dilaporkan bahawa lima anggota polis terbunuh di Semporna dan lebih ramai penceroboh mendarat di Sabah serta dakwaan penceroboh mempunyai kemahiran serta terdapat satu lagi pendaratan penceroboh di Kunak,” katanya.

Menurut Kit Siang, pihak berkuasa sepatutnya sedar bahawa era maklumat dan komunikasi serba pantas ini, terdapat keperluan untuk melihat kembali dan memodenkan dasar dan amalan era pra-informasi mereka bagi memastikan kewibawaan mereka kerana maklumat rasmi krisis Sulu di Sabah menimbulkan tanda tanya.

Beliau berkata, ramai rakyat pertikai kerana pengurusan stand-off penceroboh bersenjata Sulu di Lahad Datu membiarkan sehingga tiga minggu hingga mengorbankan nyawa pasukan keselamatan.

Katanya, kejadian sepatutnya boleh dielak jika situasi itu ditangani dengan betul sejak awal lagi.-Roketkini.com

No comments: