10 FEBRUARI – “Percayalah saya” – satu “perutusan” Datuk Seri Najib Razak sempena Thaipusam di Batu Caves Selasa lalu jelas memberi satu lagi petanda kebimbangan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Kita tidak tahu sama ada itu berbaur ugutan dari seorang pemimpin atau pun seorang pemimpin lemah yang cuba mengemis sokongan. Apa-apa hal pun, yang jelas adalah fakta bahawa tertimbulannya dua persoalan.
Yang pertama, perlukah masyarakat India menagih ehsan daripada seorang Perdana Menteri agar menerima ‘pertolongan’ tersebut? Dan yang kedua, bukankah tugas seorang Perdana Menteri memberi khidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira latar belakang mereka?
Sudahlah orang Melayu sudah ditanam dengan mentaliti pencacai di bawah UMNO, kini masyarakat India secara terang-terangan ditawarkan yang sama.
Mesej Najib adalah: jika masyarakat India mahukan pertolongan dan pembelaan daripada BN, maka mereka terpaksa mengundi BN dalam PRU akan datang. Jika tidak, masyarakat India tidak akan mendapat bantuan.
Jelas, ia lebih bersifat ugutan daripada rayuan. Dan nampak pula keangkuhannya kerana terlalu yakin bahawa UMNO-BN akan terus kekal berkuasa.
Selama lebih setengah abad, orang Melayu ditekan dan dibasuh pemikiran agar menerima mentaliti bergantung kepada UMNO. Kini Najib cuba memperluaskannya kepada masyarakat India (setelah masyarakat Cina memandang sepi tawaran/ugutan tolong-menolong ini).
Tuntutan sebenar rakyat
Apa yang dituntut oleh rakyat jelata adalah pemerkasaan, pengiktirafan, dan penghormatan. Rakyat tidak mahu lagi demokrasi terpimpin – amalan di mana hanya UMNO-BN yang lebih tahu apa yang baik untuk rakyat jelata yang dianggap sebagai kurang cerdik.
Sebenarnya, ugutan politik ini bukanlah perkara baru bagi UMNO-BN yang memang tidak ikhlas membela rakyat dan hanya mengutamakan panglima-panglima dalam parti.
Apa sudah jadi dengan royalti minyak di Kelantan di bawah perjanjian kerajaan negeri Kelantan dan Petronas? Terengganu yang suatu waktu dahulu menerima royalty minyak, kini hanya mampu bersyukur dengan ‘wang ehsan’.
Semuanya berlaku kerana rakyat di negeri-negeri tersebut telah memilih PAS. Malah apabila Terengganu dimenangi semula oleh BN, peruntukan royalti minyak tidak dikembalikan.