Thursday, March 14, 2013

UMNO bohongi rakyat dakwa Malaysia boleh bankrap di bawah PR -Tony Pua


KUALA LUMPUR, 14 MAC: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpendapat Malaysia tidak boleh bankrap jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara ini sekaligus menafi dakwaan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang mempolitikkan isu berkenaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, momokan Malaysia akan bankrap di bawah PR sekadar modal politik murahan untuk menakutkan rakyat dan mengekalkan kuasa mereka.
“Kejayaan mentadbir kerajaan negeri PR membuktikan kenyataan Musa itu bersandarkan rasional dan fakta tanpa mempolitikkannya,” kata Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu memberikan contoh kejayaan yang dicapai negeri yang ditadbir PR adalah membanggakan malah lebih cemerlang berbanding negeri yang ditadbir BN.
“Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor terbukti dapat meningkatkan rizab kewangan negeri dengan banyak dan mengurangkan hutangnya dengan Kerajaan Persekutuan.

“Bagi DAP perkara paling penting adalah dasar ekonomi yang mampu bersaing secara sihat. Maksudnya, semua perolehan atau pelaksanaan projek adalah telus, bermutu dan menjimatkan kos,” jelas beliau.

Tambahnya, melalui dasar itu sahaja, ia dapat menjimatkan berbilion wang negara dan boleh diguna untuk menurunkan harga kenderaan, menghapuskan tol, pendidikan percuma dan sebagainya seperti yang diumumkan dalam Manifesto Rakyat.

“Dasar berkenaan, tidak mungkin akan membankrapkan negara,” katanya.

Semalam, Musa menganggap dakwaan Malaysia akan bankrap jika ditadbir PR semata-mata kenyataan bermotif politik.

Musa menyatakan bahawa jika pihak oposisi berjaya mengambil alih Putrajaya, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara supaya berkembang dengan baik.
“Jika pembangkang memerintah, mereka tidak akan membuatkan pelabur dari luar negara lari. Mereka tidak akan berbuat demikian dan menjadikan ekonomi bankrap,” kata beliau. – Roketkini.com

Tuesday, March 12, 2013

BN masuk zon kerajaan tak-rasmi; Najib bukan lagi PM sah


SHAH ALAM, 11 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Datuk Seri Najib Razak mengadakan segera Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana mulai 9 Mac lalu jawatan Najib sebagai Perdana Menteri tidak lagi sah.

Beliau berkata, tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada sudah genap lima tahun pada 8 Mac lalu dan kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan tak rasmi.

“9 Mac adalah tarikh mustahak kerana mulai hari itu Malaysia mempunyai Perdana Menteri yang tidak sah,” kata Lim ketika berucap pada majlis sambutan lima tahun pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mendakwa, Najib kini menjadi Perdana Menteri tanpa mandat rakyat kerana beliau tidak mengadakan pilihan raya umum untuk mendapat mandat baru selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, semua Perdana Menteri sebelum Najib mengadakan pilihan raya umum dalam masa enam bulan ke setahun selepas memegang jawatan itu.

“Sekarang ini Najib menjadi Perdana Menteri yang paling lama tidak dipilih di Malaysia. Beliau tiada mandat daripada rakyat, takut mengadakan pilihan raya, dan takut membubar parlimen,” katanya.
Tindakan Najib, kata Lim, menyebabkan rakyat Malaysia berada dalam ‘mod’ pilihan raya sejak empat tahun lalu.

“Datuk Seri Najib catat rekod baru, bukan saja untuk diri sendiri tetapi Malaysia sudah masuk dalam Guiness Book of Record. Mana ada negara di dunia dalam mod pilihan raya selama empat tahun.
“Ini memalukan buat Malaysia,” kata Lim disambut sorakan gemuruh daripada kira-kira 5,000 hadirin.

Pilihan Raya Umum terakhir diadakan pada 8 Mac 2008, di mana BN tewas di lima negeri.
Abdullah setahun kemudian meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri – satu tindakan yang diistilahkan sebagai ‘peralihan kuasa’ pada masa itu – dan Najib selaku Timbalan Perdana Menteri menggantikan beliau bermula 4 April 2009.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.
Berikut adalah lima ssenarai apa yang tidak boleh dibuat oleh kerajaan tidak rasmi:

* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar kecuali dalam hal yang amat penting serta perlu berbincang dengan pihak oposisi;
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membuat pelantikan pegawai tinggi kecuali untuk jangka pendek saja;
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membuat atau mengadakan sebarang kontrak atau tender projek besar;
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh mengadakan rundingan antarabangsa atau membuat lawatan rasmi ke luar negara; dan
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membenarkan perkhidmatan awam terbabit dalam aktiviti pilihan raya kerana ia perlu bersikap neutral dan hanya menjadi penasihat kepada kerajaan, dan bukannya parti politik.-Roketkini.com

Sunday, March 10, 2013

DAP Ikrar Bantu Pakatan Pertahan KT, Rampas DUN Bandar

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/jentera%20DAP%20KT.jpgKUALA TERENGGANU - Parti Tindakan Demokratik (DAP) menegaskan, walau pun tidak bertanding mana-mana kerusi di negeri Terengganu, parti itu berikrar memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat mengekalkan kemenangan PAS di Kuala Terengganu dan ‘merampas’ kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar.

Justeru, Pengerusi DAP Terengganu Ng Chai Hing mengajak pengundi Tionghua khasnya dan rakyat Terengganu umumnya, menolak persepsi bahawa kerusi MCA di DUN Bandar adalah kekal kepada BN.

“meski pun DAP tidak bertanding walau pun satu kerusi di Terengganu, kita (DAP menyatakan) komitmen untuk kekalkan Parlimen Kuala Terengganu kepada PAS dan kita juga akan tolong Pakatan Rakyat untuk menang dan ‘rampas’ kerusi Dun Bandar dari tangan MCA-Barisan Nasional.

“Persepsi rakyat dan pengundi Tionghua (Cina) perlu diubah bahawa Dun Bandar ini mesti untuk MCA, wakil orang Cina dan kita (DAP) mahu (kerusi) Parlimen dan Dun (Bandar) diberi kepada Pakatan Rakyat,”tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Jentera DAP bagi PRU13 untuk Parlimen Kuala Terengganu di Kampung Tiong, dekat sini, pada Khamis 7 Mac.

Beliau yakin, parti-parti dalam Pakatan Rakyat, PAS, PKR dan DAP mampu menjaga kebajikan rakyat serta pengundi masyarakat tionghua lebih baik dari MCA.

Katanya, rakyat mempunyai pilihan baru dengan membuat perubahan, memilih calon Pakatan Rakyat sama ada PAS atau PKR di Terengganu selain MCA.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/cheong.jpgBeliau yang juga koordinator jentera PRU13 DAP Terengganu turut mengumumkan perlantikan Cheong Siow Foon sebagai pengarah pilihan raya DAP Kuala Terengganu.

Beliau berkata, Cheong merupakan anak jati Kampung Tiong yang pernah bertugas sebagai wartawan sebuah akhbar berbahasa Cina yang juga mantan Timbalan Ketua Pemuda DAP Selangor serta bekas Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Selangor.

Sehubungan itu, ketika diminta mengulas perlantikannya, Cheong (gambar bawah kiri) berkata, parti MCA dan Barisan Nasional tidak perlu lagi memainkan isu perkauman yang sempit seolah-olah Dun Bandar ini untuk orang Cina.

“Saya ingatkan para pengundi (Cina) dan rakyat supaya tidak terpedaya dengan MCA yang main isu perkauman. Jika wakil (calon) Cina (MCA) tidak menang (Dun) Bandar ini, maka tidak ada lagi orang Cina sebagai wakil (Adun).

“Saya cukup yakin dan percaya tanpa MCA, rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat seperti PAS dan PKR boleh membela nasib semua kaum Melayu, Cina dan India dalam negeri dan negara ini,” tegasnya.

Kata Cheong lagi, mana-mana pihak terdiri dari para dermawan boleh membantu meringankan beban kewangan jawatankuasa pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, DAP Terengganu sebuah parti ‘miskin’ yang memerlukan persiapan rapi bagi jentera PRU13.

“Kita (DAP) akan buat ceramah berkelompok di tempat-tempat ramai pengundi Cina seperti di Dun Bandar, Dun Ladang, Dun Batu Burok dan beberapa Dun yang lain.

“Kita (DAP) perlu bantuan orang ramai untuk penyediaan bilik gerakan operasi, kenderaan Hilux yang boleh dijadikan pentas bergerak dan petugas parti sepenuh masa,” ujarnya.

Monday, March 4, 2013

Kit Siang cadang tubuh majlis semua pihak urus krisis di Sabah

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencadangkan majlis semua pihak ditubuhkan membabitkan wakil daripada parti pemerintah dan oposisi untuk membantu menguruskan pencerobohan tentera Sulu di Sabah.

Katanya, selain itu ia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan politik, kaum, agama atau kawasan, bersatu dalam memelihara kedaulatan negara dan keselamatan rakyatnya.

“Saya mengutarakan dua cadangan berkenaan bagi menyokong anggota polis dan tentera yang berada di barisan hadapan mempertahankan kedaulatan negara dengan nyawa mereka

“Selain itu satu sidang tergempar Parlimen sepatutnya diadakan minggu ini, walaupun pada 8 Mac 2013 menandakan ulangtahun kelima Pilihan Raya Umum 2008 untuk memberitahu dunia walaupun negara berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), rakyat Malaysia tidak mengira politik, kaum, agama dan kawasan, bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan Media mengenai Pengiraan Detik 39 Hari ke PRU-13, di sini, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga perlu melawat segera Sabah bagi meredakan kebimbangan dan keresahan rakyat Sabah terhadap pelbagai insiden pencerobohan dan keselamatan rakyat di negeri itu.

Menurutnya, ketika rakyat Malaysia masih berkabung untuk kematian dua wira negara, Komando Polis, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Sabaruddin Daud, 46, yang terbunuh dalam insiden tembak menembak dengan penceroboh bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pagi Jumaat lalu dan tiga lagi komando cedera serta pagi ini dikejutkan pula dengan berita dua lagi anggota polis maut di Semporna, malam semalam.

“Pagi ini rakyat Malaysia dimaklumkan dengan berita sedih bahawa “Polis terbunuh ketika bertempur dengan militan Filipino di Semporna” tetapi menjelang tengah hari, polis mengesahkan dua pegawai polis terbunuh dalam serang hendap di Kampung Seri Jaya Siminul, sebuah perkampungan atas air, di Semporna, kira-kira jam 6.30 petang semalam, termasuk yang  sedang bertarung nyawa di hospital awam di Semporna.

“Namun yang lebih buruk bakal terjadi, apabila mendapati sidang akhbar bersama pertama polis dan tentera di Felda Sahabat Residence, Lahad Datu selepas tiga minggu stand-off dengan penceroboh bersenjata Sulu di Kampung Toudou, seperti yang dilaporkan bahawa lima anggota polis terbunuh di Semporna dan lebih ramai penceroboh mendarat di Sabah serta dakwaan penceroboh mempunyai kemahiran serta terdapat satu lagi pendaratan penceroboh di Kunak,” katanya.

Menurut Kit Siang, pihak berkuasa sepatutnya sedar bahawa era maklumat dan komunikasi serba pantas ini, terdapat keperluan untuk melihat kembali dan memodenkan dasar dan amalan era pra-informasi mereka bagi memastikan kewibawaan mereka kerana maklumat rasmi krisis Sulu di Sabah menimbulkan tanda tanya.

Beliau berkata, ramai rakyat pertikai kerana pengurusan stand-off penceroboh bersenjata Sulu di Lahad Datu membiarkan sehingga tiga minggu hingga mengorbankan nyawa pasukan keselamatan.

Katanya, kejadian sepatutnya boleh dielak jika situasi itu ditangani dengan betul sejak awal lagi.-Roketkini.com