Monday, June 10, 2013

Dr. Mahathir perlu melihat ke dalam cermin

Sepanjang kerjaya Dr. Mahathir yang berliku-liku sebagai ahli politik, beliau sentiasa mencari ‘kambing hitam’ untuk mengalihkan perhatian orang daripada kekurangan beliau sendiri, kekurangan Umno dan juga Barisan Nasional. Nampaknya beliau sekali lagi melakukan perkara yang sama dengan menyalahkan kaum Cina dan juga DAP berikutan melebarnya jurang perkauman di Malaysia dan menuduh kedua-duanya sebagai ‘cauvinis’.

Kita hanya boleh meneka-neka sama ada serangan bertubi-tubi Dr Mahathir terhadap kaum Cina dan DAP pasca-PRU13 adalah didorong oleh prejudis buta beliau sendiri atau kerana beliau merasa bimbang kalau-kalau pencapaian beliau yang sebenar selama ini akan didedahkan di muka umum jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya, atau kerana usianya yang semakin lanjut atau barangkali kerana semua perkara di atas.

Yang kita tahu secara pasti ialah tuduhan beliau tentang DAP sebagai sebuah parti cauvinis yang memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan Cina daripada BN semuanya tidak lain adalah pembohongan yang amat jauh daripada kenyataan.

Dr. Mahathir mengatakan bahawa “Ketika ia (DAP) mengadakan pemilihan untuk Jawatankuasa Pusat parti tidak lama dulu, semua anggota yang terpilih adalah Cina, kecuali Karpal Singh.” Kenyataan ini menunjukkan betapa beliau mengabaikan sama sekali fakta dalam usahanya untuk melabel DAP sebagai sebuah parti ‘cauvinis’.[1] Sedangkan, cukup jika Dr. Mahathir menggunakan ‘google’ untuk mengetahui bahawa M. Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Timur sekarang), Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong sekarang) dan Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera sekarang) semuanya terpilih ke dalam Jawatankuasa Pusat. Rekod yang ada juga jelas menunjukkan bahawa sejak penubuhan DAP pada tahun 1966, sentiasa ada pemimpin India atau Melayu yang terpilih untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat pada setiap kali pemilihan parti.
Andai Dr. Mahathir meluangkan sedikit saja masa untuk menyemak senarai nama pemimpin DAP kini dalam laman web parti [2], beliau akan melihat ada Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan yang menjadi anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP. Dr. Mahathir tidak harus menuding telunjuk kepada DAP, beliau sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri berapa banyak pemimpin bukan-Melayu yang telah dipilih atau dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno untuk menjawab pertanyaan siapa sebenarnya rasis.

Memandangkan Dr. Mahathir nampaknya tidak mahir menggunakan internet untuk menyemak fakta, atau barangkali beliau kekurangan sumber untuk menggaji seorang pembantu penyelidik yang baik, biar saya bentangkan rekod DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum yang telah menyertai 11 pilihan raya umum sejak tahun 1969.

DAP telah meletakkan calon bukan-Cina dalam setiap pilihan raya umum sejak tahun 1969 di peringkat parlimen dan juga negeri (lihat Jadual 1 di bawah). Malah, dalam beberapa pilihan raya umum, calon Melayu DAP di peringkat parlimen (1995) dan negeri (1974, 1978, 1982) mengatasi jumlah calon India.

Kecuali pada pilihan raya tahun 1999, DAP sentiasa mempunyai sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen atau ADUN bukan-Cina. Sebelum PRU13, calon Melayu DAP berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum tahun 1969, 1974, 1982, 1986, dan 1990, di samping memenangi satu kerusi parlimen dalam pilihan raya umum tahun 1990.

Pada pilihan raya tahun 1969, Ibrahim bin Singgeh telah menewaskan calon Umno di N39 Tapah di Perak, manakala Haji Hassan bin Haji Ahmad telah menewaskan calon Umno di N14 Si Rusa, Negeri Sembilan.

Pada PRU tahun 1974, Daing Ibrahim bin Othman telah menewaskan calon MCA di N23 Pasir Puteh di Perak.

Pada PRU tahun 1982, Mohd Fadzlan bin Yahya telah mengalahkan calon MCA di N37 Pasir Bedamar di Perak. Beliau mengekalkan kerusinya pada PRU tahun 1986.

Pada PRU tahun 1990, Ahmad Nor menjadi Ahli Parlimen Melayu DAP yang pertama dengan menewaskan calon MCA di P47 Bayan Baru. Dalam pilihan raya umum yang sama, Fadzlan Yahya telah menewaskan calon MCA di N24 Lahat, Perak, manakala Mohd Asri menewaskan calon Gerakan di N19 Dermawan, juga di Perak.

Jadual 1: Bilangan calon bukan-Melayu yang diletakkan DAP sejak pilihan raya umum tahun 1969 hingga 2013


Parlimen


DUN

Tahun India* Melayu Lain-lain** Jumlah India* Melayu Lain-lain** Jumlah
1969 3 1
4 6 9
15
1974 7 5
12 15 31
46
1978 9 9
18 14 21
35
1982 9 8
17 15 19
34
1986 8 3
11 15 12
27
1990 7 4
11 15 5
20
1995 6 8
14 16 13
29
1999 8 4
12 16 3
19
2004 5 3
8 6 2
8
2008 8 2
10 16 1
17
2013 8 3 7 18 16 1 1 18
*Termasuk Serani ** Bumiputera Sabah dan Sarawak

DAP mengorak langkah pada tahun 2013 dengan meletakkan 7 orang calon parlimen dari kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malah, DAP telah meletakkan lebih banyak calon Bumiputera Sarawak (6) berbanding calon Cina (5) di Sarawak.

DAP juga telah mencatat pencapaian baru pada tahun 2013 dengan terpilihnya dua orang calon Melayu DAP sebagai Ahli Parlimen (Zairil Khir Johari di Bukit Bendera, Pulau Pinang, dan Mohd Ariff Sabri bin Abdul Aziz di Raub, Pahang), seorang ADUN Melayu (Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji di Mentakab, Pahang) dan seorang ADUN Kadazan (Dr. Edwin Bosi di Kepayan, Sabah).

DAP juga kini lebih berkemampuan untuk mewakili suara kaum India kerana parti ini kini mempunyai lebih banyak Ahli Parlimen berketurunan India (6) dan ADUN (14) berbanding MIC (4 Ahli Parlimen dan 5 ADUN).

Dr. Mahathir juga telah menuduh DAP meletakkan calon Cina sahaja di kawasan yang majoriti pengundinya adalah Cina. Sekali lagi beliau gagal menyemak fakta. DAP telah meletakkan 8 orang calon Cina di kerusi parlimen yang majoritinya bukan-Cina, termasuk P135 Alor Gajah yang 58% pengundinya adalah Melayu. Daripada semua kerusi campuran ini, DAP memenangi 7 kerusi, termasuk P128 Seremban yang pengundinya 44% Melayu, 41% Cina dan 14% India.

DAP juga telah meletakkan 12 calon Cina di kerusi DUN yang bukan majoriti Cina, termasuk N1 Titi Tinggi di Perlis yang 76% daripada pengundinya adalah Melayu dan N14 Kelebang, Melaka, yang 60% pengundinya adalah Melayu. DAP memenangi 10 daripada 12 kerusi DUN ini, termasuk N11 Derga di Kedah yang 56% pengundinya adalah Melayu dan N21 Duyong yang 50% pengundinya adalah Melayu.

Secara keseluruhan, DAP telah memenangi 9 kerusi parlimen dan 17 kerusi DUN di kawasan yang bukan majoriti Cina (pengundi Cina di bawah 50%), termasuk P80 Raub yang 50% pengundinya Melayu dan juga N30 Mentakab yang juga 50% pengundinya Melayu. Kedua-dua kerusi ini telah dimenangi oleh calon Melayu DAP.

Sebaliknya, daripada 73 kerusi parlimen yang dimenangi Umno di Semenanjung Malaysia, hanya 2 yang memiliki majoriti bukan-Melayu (Pasir Gudang dan Pulai di Johor) (Melayu kurang dari 50%). Daripada 210 kerusi DUN yang dimenangi oleh UMNO di Semenanjung Malaysia pula, hanya 3 kerusi yang majoriti pengundinya bukan-Melayu (N5 Tenang, N27 Layang Layang dan N49 Nusa Jaya) (Melayu kurang daripada 50%). Tiada satu pun kerusi yang majoriti pengundinya Cina dimenangi Umno). Jika Dr. Mahathir mahu menuduh calon Cina DAP bertanding hanya di kerusi majoriti Cina, barangkali elok jika beliau terlebih dahulu melihat kepada Umno dan bertanya mengapa Umno hanya bertanding di kerusi yang majoriti pengundinya Melayu. Malah, satu-satunya kawasan majoriti Cina yang ditandingi Umno ialah Gelang Patah, tempat saya bertanding, ketika parti itu ‘mengorbankan’ bekas Menteri Besar Johor Abdul Ghani Osman dengan menghantar beliau untuk bertanding di kawasan yang 52% pengundinya adalah Cina.

Kenyataan yang kononnya “tidak terbantahkan” yang disebut oleh Dr. Mahathir, iaitu bahawa “DAP telah berjaya memusnahkan kerjasama atau perkongsian di antara kaum-kaum yang berlainan seperti yang telah ditunjukkan menerusi pakatan Barisan Nasional” tidak lain adalah khayalan. Kenyataan yang sebenarnya tidak dapat dibantah ialah bahawa dalam BN tidak ada kerjasama sebenar, yang ada sebaliknya hanyalah dominasi Umno. Ini dapat dilihat pada PRU13 yang baru berlalu apabila MCA dipaksa untuk membrikan tiga kerusi parlimennya kepada Umno – Kuantan, Wangsa Maju dan Gelang Patah – semuanya jatuh di tangan Umno. Setiap kali Umno menyuruh parti-parti dalam BN melompat, mereka bertanya “setinggi mana?”. Dominasi oleh Umno ini akan semakin kukuh memandangkan ia telah hilang keyakinan terhadap rakan-rakannya dalam BN untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Dr. Mahathir ternyata semakin khayal apabila ia mengatakan “Pakatan bukan sebuah pakatan sebenar.” Di kalangan parti Pakatan, tidak ada parti yang dominan. PKR, DAP, dan PAS adalah rakan kongsi yang setaraf dalam Pakatan, tidak seperti parti-parti dalam BN. Tidak seperti dalam BN, rundingan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan adalah rundingan tulen. Pemilihan Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dibuat secara sebulat suara oleh parti-parti Pakatan walaupun PKR bukan parti yang paling banyak memenangi kerusi parlimen. PAS dan DAP menyokong Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor walaupun kedua-dua parti ini menang lebih banyak kerusi (setiap satu parti memenangi 15 kerusi) daripada PKR (14 kerusi). Ketiga-tiga parti Pakatan telah berjaya menambah bilangan kerusi dalam PRU13 dan kenyataan ini sengaja dilupakan oleh Dr. Mahathir. Tiada satu pun parti dalam Pakatan berhasrat untuk ‘mendominasi’ politik dalam Pakatan, apatah lagi di peringkat kebangsaan seperti yang didakwa oleh Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir sepatutnya menuding jari kepada dirinya sendiri dan kepada Umno serta BN kerana menyebabkan jurang kaum semakin lebar. Dr. Mahathir yang memainkan peranan di belakang tabir sebagai penasihat Perkasa bagi semua pemimpin Perkasa – Zulkifli Nordin dan Ibrahim Ali – yang bertanding sebagai calon de facto dalam PRU13. Utusan pula memainkan sentimen perkauman untuk menyemarakkan kebimbangan orang Melayu dengan mencipta pembohongan dan cerita rekaan tentang DAP. MCA pula telah menerbitkan iklan-iklan dalam akhbar Inggeris dan Cina, selain dalam stesen-stesen radio Cina untuk melebarkan jurang kaum di antara kaum Cina dan Muslim di Malaysia.

Hanya pada satu perkara saya dapat bersetuju dengan kenyataan Dr. Mahathir, iaitu bahawa “jurang perkauman telah menjadi semakin jelas” dan bahawa “ia akan menjadi lebih jelas di masa depan.” Kesalahan harus diletakkan sepenuhnya di bahu para pemimpin BN, termasuk para pemimpin di masa lalu seperti Dr. Mahathir. Satu-satunya cara untuk kita menghindari “polarisasi kaum” bukanlah dengan terus menyokong BN, sebaliknya dengan melihat kepada Pakatan sebagai harapan untuk masa depan dan melihat parti PKR, PAS, dan DAP sebagai parti berbilang kaum yang telah meletakkan calon yang berbilang kaum sewaktu PRU13 dan akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bahasa, agama dan latar belakang.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah

Saturday, June 8, 2013

Pilihanraya Kerajaan Tempatan – Abdul Rahman Dahlan jangan bertolak dalih

Kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan bahawa pelaksanaan pilihan raya peringkat kerajaan tempatan bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk meningkatkan prestasi pihak berkuasa kerajaan tempatan merupakan satu kenyataan regresif yang mencerminkan kekurangan komitment kerajaan BN pimpinan Najib Razak untuk melaksanakan transformasi.

Abdul Rahman Dahlan gagal memahami konsep “tiada percukaian tanpa perwakilan” atau “no taxation without representation” dalam sebuah masyarakat yang mengamal prinsip demokrasi.
Memang saya mengakui pilihanraya kerajaan tempatan tidak akan menyelesaikan masalah kerajaan tempatan dalam masa sekelip mata. Walaupun begitu, ianya ialah satu proses pendemokrasian yang sangat penting buat rakyat Malaysia di mana rakyat akan diberi peluang untuk memillih wakil rakyat mereka di peringkat kerajaan tempatan.

Kenyataan Abdul Rahman Dahlan seolah-olah menunjukan bahawa beliau masih percaya “kerajaan mengetahui segala-galanya” atau “government knows all” biarpun ianya sudah ketinggalan zaman pada masa sekarang.

Kerajaan boleh menetapkan syarat-syarat yang lebih ketat supaya ahli majlis atau YDP kerajaan tempatan mempunyai kelayakan yang lebih tinggi tetapi akhirnya rakyat yang akan menentukan siapa yang lebih layak untuk mewakili mereka di peringkat kerajaan tempatan dan bukannya ketua-ketua politik.

Lebih-lebih lagi, pilihanraya kerajaan tempatan merupakan sesuatu yang pernah berjalan di Malaysia dan ianya merupakan salah satu asas kepada kemerdekaan Malaya pada tahun 1957.
Suruhanjaya Siasatan DiRaja Mengenai Perjalanan Kerajaan-kerajaan Tempatan pada tahun 1970 yang diketuai mendiang Tan Sri Athi Nahappan telah mencadangkan agar kerajaan memulihkan pemilihan ahli-ahli majlis kerajaan tempatan melalui pilihanraya dan bukan melalui perlantikan.
Suruhanjaya tersebut juga mengatakan bahawa “democracy with efficiency is always more desirable and better than efficiency without democracy”. Ini bermaksud Suruhanjaya ini seawall tahun 1970 telahpun menjangkakan terdapat pihak yang akan membantah pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan dengan alasan yang dibentangkan oleh Abdul Rahman Dahlan, lalu Suruhanjaya ini menegaskan bahawa demokrasi dengan kecekapan selalunya lebih baik daripada kecekapan yang tiada demokrasi, sekaligus menggariskan kepentingan demokrasi dalam perjalanan kerajaan tempatan.

Lagipun, rakyat Malaysia sudah semakin matang dari segi politik di mana mereka tidak lagi memilih wakil rakyat mengikut kaum dan agama. Hakikat ini jelas dalam PRU13 ini di mana terdapat calon DAP berketurunan India mendapat sokongan daripada masyarakat Cina dan calon berketurunan Cina mendapat sokongan di kawasan Melayu.

Begitu juga dengan calon berketurunan Melayu dari Pas menang di kawasan masyarakat bukan Melayu. Kita juga tidak harus lupa fakta bahawa terdapat ramai pengundi bukan Cina yang mengundi di kawasan bandar manakala terdapat juga kawasan kaum India dan Cina di luar bandar. Demografi penduduk-penduduk sekarang telah menjadi semakin homogenius.

Abdul Rahman Dahlan juga mengambil peratusan mengundi yang rendah di luar Negara sebagai alasan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan tidak semestinya melibatkan seluruh rakyat. Perbandingan ini tidak dibuat atas tolok yang seimbang kerana negara-negara yang diambil beliau sebagai contoh ini seperti United Kingdom, New Zealand dan Belanda merupakan negara-negara yang mempunyai tahap kematangan demokrasi yang tinggi dan rakyat negara-negara ini sudah kehilangan keyakinan terhadap politik partisan. Bukan sahaja peraturan mengundi untuk pilihanraya kerajaan tempatanya rendah, malahan peratusan mengundi untuk pilihanraya umum di negara-negara ini tidak begitu memberangsangkan.

Justeru itu, saya berharap Abdul Rahman Dahlan berhenti memberi alasan yang tidak munasabah dalam soal ini. Semakin banyak beliau bertolak dalih, semakin ramai pengundi yang berasa BN kurang ikhlas dalam program transformasinya.
 
Lau Weng San Setiausaha Organisasi Negeri DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

Thursday, June 6, 2013

Mencapai kemenangan melalui kebebasan

DAP mencatatkan keputusan paling cemerlang dalam sejarah pilihan raya kita bagi Pilihan Raya Umum tahun 2013, dengan memenangi 38 daripada 51 kerusi Parlimen dan 95 daripada 103 kerusi negeri yang kita tandingi. (Dengan 12 kerusi yang sedia ada di Sarawak, DAP kini mempunyai 107 ahli Dewan Undangan Negeri). Kita merasa bangga DAP kini adalah parti yang benar-benar Malaysia kedua terbesar dengan wakil-wakil rakyat yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Kadazan.

Keputusan berani pemimpin DAP Sdr Lim Kit Siang untuk menanggung risiko besar dengan bertanding di kubu kuat BN di Gelang Patah berjaya menangkap imaginasi masyarakat di seluruh negara dan merupakan faktor utama dalam memacu kemenangan pilihan raya DAP, terutamanya di Johor.

DAP juga memenangi undi popular, dengan mencatatkan majoriti tertinggi lebih 50,000 oleh Sdri Teresa Kok serta membantu Pakatan Rakyat memenangi majoriti 2/3 di negeri-negeri kubu kuat kita di Pulau Pinang dan Selangor. Kita memenangi semua kerusi di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. Dari segi undi popular, tidak ada negeri yang menghampiri jumlah 68% seperti yang diperolehi Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, lonjakan peningkatan 8% berbanding pilihan raya umum 2008.

DAP menang dengan menwarkan kebebasan, harapan dan peluang; berbanding penipuan, ketakutan dan politik wang. DAP menunjukkan bahawa ia memiliki jentera terbaik, yang paling bersedia dari segi organisasi dan dapat memberikan respon yang pantas terhadap situasi yang berlaku setiap hari. Salah satu titik perubahan utama adalah tindakan melampau BN dalam menggunakan politik wang, ancaman kekerasan dan pembohongan untuk memenangi pilihan raya umum. Tindak balas pantas DAP dalam menganjurkan "Go Bald To Protest Money Politics" sebuah kempen yang sangat memberi kesan kepada pengundi atas pagar dan memusnahkan apa sahaja baki sokongan kepada BN. Ramai wanita di seluruh negara bersedih apabila mereka melihat isteri saya dan wanita DAP membotakkan kepala dan terus memasang azam untuk menghukum BN.

Ini adalah kemenangan untuk semua rakyat Malaysia, dengan kadar keluar mengundi bersejarah yang mencapai 84%, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu mengambil bahagian dalam proses untuk menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi yang tulen. Pakatan Rakyat memenangi undi popular sebanyak 51% berbanding dengan hanya 47% untuk BN. Margin kemenangan adalah lebih besar di Semenanjung Malaysia sebanyak 53% bagi Pakatan Rakyat berbanding 45% untuk BN. Pakatan Rakyat memenangi 55% undi popular di Perak, namun tetap hilang kuasa.
Kita mempunyai kerajaan minoriti BN di Putrajaya, Perdana Menteri minoriti BN dan Menteri Besar minoriti BN di Perak. Demokrasi tidak membenarkan minoriti memerintah majoriti.
Terdapat keperluan mendesak bagi reformasi pilihanraya bagi menghormati prinsip "satu orang, satu undi, satu nilai". Tiga langkah akan diambil :-
  1. Proses undang-undang untuk mencabar di mahkamah kerusi-kerusi yang dimenangi BN melalui penipuan, undi-membeli dan memanipulasi senarai pengundi melalui pengundi hantu dan Bangladeshi yang bukan warganegara;
  2. Proses politik untuk mendesak reformasi pilihanraya dalam dewan legislatif, kempen-kempen awam dan forum antarabangsa.
  3. Proses rakyat bagi menjalankan kempen gerakan rakyat, hanya jika perlu, untuk menuntut pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.
Kepimpinan Politik dan Legislatif
Mesyuarat CEC DAP yang diadakan pada 10 Mei 2013 di ibu pejabat kebangsaan parti, selain daripada mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung kerana dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah membuat keputusan berikut:
  1. Bahawa DAP akan menyokong pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Parlimen ke-13;
  2. Bahawa Sdr Lim Kit Siang dilantik semula sebagai Ketua Parlimen DAP;
  3. Pihak yang berikut wakil-wakil rakyat yang dilantik ke jawatan berikut di DUN masing-masing:
    • DUN Kedah: Sdr Teoh Boon Kok sebagai whip DAP;
    • DUN Perak: Sdr Ngeh Koo Ham sebagai whip DAP;
    • DUN Negeri Sembilan: Sdr Anthony Loke sebagai Ketua Pembangkang DUN, Sdr Cha Kee Chin sebagai whip;
    • DUN Melaka: Sdr Goh Leong San sebagai Ketua Pembangkang, Sdr Lim Jack Wong sebagai whip;
    • DUN Johor: Sdr Dr Boo Cheng Hau sebagai Ketua Pembangkang dan Sdr Tan Chen Choon sebagai whip;
    • DUN Pahang: Sdr Tengku Zulpuri sebagai Ketua Pembangkang dan Sdr Lee Chin Chen sebagai whip;
    • DUN Sabah: Sdr Dr Edwin Bosi sebagai whip;
    • DUN Sarawak: Sdr Wong Ho Leng dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang dan Sdr Chiu Chin Seng sebagai whip
  4. Bahawa Sdr Gobind Singh akan menubuhkan sebuah pasukan undang-undang untuk menguruskan pelbagai petisyen pilihan raya yang mungkin boleh difailkan oleh calon DAP.
Respon tidak rasional BN
Tindak balas tidak rasional BN dengan menggunakan perkauman dan ekstrimisme bagi mengalihkan perhatian daripada kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 sudah boleh dijangka. Begitu juga dengan penutupan pusat-pusat khidmat oleh Gerakan dan MCA serta keengganan mereka untuk memegang jawatan-jawatan kerajaan. Walau bagaimanapun "sandiwara" oleh Gerakan dan MCA ini mungkin akan berlangsung hanya setahun sebelum mereka menerima perlantikan semula kepada pelbagai jawatan kerajaan dikhaskan untuk MCA.

Dalam pada itu, ini adalah satu peluang keemasan untuk wakil-wakil rakyat yang baru dipilih untuk memperlihatkan kehadiran dengan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh BN di kubu kuat mereka. Atas sebab ini, parti meletakkan penekanan yang tinggi terhadap perkhidmatan kepada keperluan rakyat, bagi membolehkan DAP untuk membina organisasi DAP sebagai sebuah gerakan rakyat untuk rakyat.

Sebagai langkah pertama, semua wakil rakyat mesti menubuhkan pusat perkhidmatan mereka dan membuat pertemuan bagi menyelesaikan masalah pengundi di kawasan mereka. Lebih penting lagi adalah kerja berpasukan - satu pasukan perkhidmatan mesti ditubuhkan di setiap tempat mengundi. Hari-hari di mana hanya satu orang yang melakukan semua kerja sudah berakhir. Tiada pasukan bermakna tiada impian kejayaan bagi DAP. Interaksi yang kerap mesti dilakukan antara pasukan perkhidmatan, pihak awam dan jabatan-jabatan kerajaan.

DAP telah mengamanahkan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Sdr Tan Kok Wai untuk memantau dan melaksanakan langkah-langkah ini dengan kuasa penuh untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana wakil rakyat yang gagal untuk melaksanakannya. Sdr Tan akan dibantu oleh pemimpin CEC Sdri Teresa Kok, Sdr Anthony Loke, Sdr Tony Pua, Sdr Kulasegaran dan Sdr Vincent Wu. Sdri Teresa Kok akan memberi penekanan yang lebih kepada Sabah dan Sarawak.
DAP juga mencadangkan sebuah anjakan dari sekadar pusat-pusat perkhidmatan biasa untuk wakil-wakil rakyat kita dengan sebaliknya mewujudkan pusat-pusat komuniti.

Penekanan harus sentiasa diberi kepada usaha membina pasukan kita, memberi peluang kepada golongan muda dan belajar untuk berada dalam kerajaan. Kita ingin menggesa pemimpin-pemimpin di semua negeri untuk datang ke Pulau Pinang bagi membiasakan diri mereka dengan pengurusan kerajaan sebagai sebahagian daripada persediaan kita untuk mengambil alih Putrajaya dalam masa 5 tahun.

Ingatlah bahawa DAP menang dengan menawarkan kebebasan, harapan dan peluang untuk kemakmuran dan daya saing di Malaysia dengan melatih bakat kepimpinan baru, memodenkan infrastruktur, mewujudkan kepimpinan bersih dan urus tadbir yang baik.

Perjalanan ini adalah jauh dan sukar. Jagalah kesihatan anda. Kerja keras dan selamat maju jaya.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

Tuesday, June 4, 2013

Tuduhan “Red Beans Army’ dibiayai DAP terbukti bohong


KUALA LUMPUR, 4 JUN: Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan Star didakwa menyiarkan berita yang tidak berasas mengenai 3,000 tentera siber “Red Beans Army” kononnya dibiayai DAP, bukannya berdasarkan fakta dan kebenaran yang sepatutnya menjadi pegangan wartawan akhbar berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bagaimana mereka yang kononnya bergelar wartawan boleh bersekongkol mencipta penipuan mengenai 3,000 tentera siber “Red Beans Army” dibiayai DAP yang hanya wujud dalam imaginasi liar mereka.

Katanya, pembohongan mengenai Red Beans Army yang kononnya dibiayai DAP hanya sebahagian daripada jalan cerita yang lebih besar sejak Januari lalu untuk memburuk-burukkan DAP dengan pembohongan dan penipuan serta paling menyedihkan apabila terdapat bekas ahli dan pemimpin DAP yang bersedia untuk bertindak begitu hina dengan berbohong dan menipu untuk meneruskan agenda UMNO/BN.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, siasatan awal mendapati satu konspirasi yang dibiayai UMNO telah dilancarkan tiga bulan sebelum pembubaran Parlimen, 3 April lalu untuk memburuk-burukkan DAP, termasuk dongeng 3,000 tentera siber “Red Bean Army”.

“Mereka mendakwa DAP kononnya dengan bajet setinggi RM100 juta sehingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu membiayai tentera siber “Red Beans Army” bertujuan membunuh karakter pemimpin UMNO/BN di ruang siber.

“Penyebar utama pembohongan “Red Bean Army” adalah media cetak milik UMNO/BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star, baik sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13, pada 5 Mei lalu.

“Pembohongan dan penipuan mereka tidak menjejaskan DAP kerana tiada siapa yang mempercayai mereka – jika tidak sudah tentu DAP gagal memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU ke-13 lalu,” katanya.

Menurut Kit Siang bagi menjustifikasikan pelaburan UMNO/BN ke atas mereka, mereka yang ingkar terhadap DAP itu meneruskan kempen penipuan mereka terhadap pemimpin DAP.

Katanya, sehingga kini, kepimpinan DAP mengabaikan mereka kerana tidak releven dan sekiranya mereka terus dengan pembohongan dan penipuan terhadap pemimpin DAP, maka mereka hendaklah bersedia untuk didedahkan kedurjanaan mereka.-Roketkini.com