KUALA
LUMPUR, 4 JUN: Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan
Star didakwa menyiarkan berita yang tidak berasas mengenai 3,000 tentera
siber “Red Beans Army” kononnya dibiayai DAP, bukannya berdasarkan
fakta dan kebenaran yang sepatutnya menjadi pegangan wartawan akhbar
berkenaan.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bagaimana mereka
yang kononnya bergelar wartawan boleh bersekongkol mencipta penipuan
mengenai 3,000 tentera siber “Red Beans Army” dibiayai DAP yang hanya
wujud dalam imaginasi liar mereka.
Katanya, pembohongan mengenai Red Beans Army yang kononnya
dibiayai DAP hanya sebahagian daripada jalan cerita yang lebih besar
sejak Januari lalu untuk memburuk-burukkan DAP dengan pembohongan dan
penipuan serta paling menyedihkan apabila terdapat bekas ahli dan
pemimpin DAP yang bersedia untuk bertindak begitu hina dengan berbohong
dan menipu untuk meneruskan agenda UMNO/BN.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata,
siasatan awal mendapati satu konspirasi yang dibiayai UMNO telah
dilancarkan tiga bulan sebelum pembubaran Parlimen, 3 April lalu untuk
memburuk-burukkan DAP, termasuk dongeng 3,000 tentera siber “Red Bean
Army”.
“Mereka mendakwa DAP kononnya dengan bajet setinggi RM100
juta sehingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu membiayai tentera
siber “Red Beans Army” bertujuan membunuh karakter pemimpin UMNO/BN di
ruang siber.
“Penyebar utama pembohongan “Red Bean Army” adalah media
cetak milik UMNO/BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita
Harian dan The Star, baik sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13,
pada 5 Mei lalu.
“Pembohongan dan penipuan mereka tidak menjejaskan DAP
kerana tiada siapa yang mempercayai mereka – jika tidak sudah tentu DAP
gagal memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri
pada PRU ke-13 lalu,” katanya.
Menurut Kit Siang bagi menjustifikasikan pelaburan UMNO/BN
ke atas mereka, mereka yang ingkar terhadap DAP itu meneruskan kempen
penipuan mereka terhadap pemimpin DAP.
Katanya, sehingga kini, kepimpinan DAP mengabaikan mereka kerana tidak releven dan sekiranya mereka terus dengan pembohongan dan penipuan terhadap pemimpin DAP, maka mereka hendaklah bersedia untuk didedahkan kedurjanaan mereka.-Roketkini.com
No comments:
Post a Comment