Monday, January 4, 2010

Isu Kalimah Islam: Akhbar Cina berwaspada

Isu kalimah Islam semakin hangat, lebih-lebih lagi apabila ditonjolkan pada muka surat depan media cetak bahasa Melayu untuk beberapa hari berturut-turut. Malah, tulisan sama ada dalam bentuk laporan, analisa mahupun komen lebih cenderung untuk berpaksikan perspektif "muslim perlu bersatu untuk membantah penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam".

Berbanding dengan media cetak bahasa Melayu, akhbar Cina nyata lebih "berwaspada" dalam isu ini. Walaupun rata-ratanya memberi ruang liputan kepada laporan aktiviti membantah penggunaan kalimah Allah, namun kebanyakan akhbar Cina mengelakkan diri untuk memberi komen terhadap isu ini.

Menurut seorang pengamal media dalam akhbar Cina, walaupun tiada arahan dari Kementerian Dalam Negeri setakat ini, namun pihaknya lebih berhati-hati, memandangkan kontroversi karikatur Nabi sebelum ini pernah mengakibatkan salah satu akhbar Cina, Guan Ming Daily digantung untuk dua minggu.

Hormati penghakiman mahkamah

China Press pada 4 Januari 2010 menyiarkan hujah Perdana Menteri, Najib Abdul Razak di muka surat depannya, menggesa supaya muslim bertenang, di samping memetik hujah Presiden UMNO ini yang berbunyi, "Saya tidak menggalakkan agar ketidakpuasan dilepaskan melalui aktiviti demonstrasi."

Walau bagaimanapun, ketika mengulas isu utama ini dalam ruang lidah pengarang di muka surat A10, China Press menganggap usaha gagasan "1Malaysia" yang mula menampakkan hasilnya dijejaskan sedikit sebanyak kerana perkembangan isu ini.

Lidah pengarang ini menerima kenyataan bahawa agama sebagai isu yang sensitif dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan budaya. Menurutnya, tentangan keras daripada masyarakat Melayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menunjukkan jurang yang lebar antara etnik setelah 53 tahun merdeka.

Lidah pengarang China Press menekankan bahawa Malaysia adalah negara rule of law, maka sesiapa yang menyerahkan kesnya untuk dikendalikan oleh mahkamah, harus menghormati dan mematuhi penghakiman mahkamah. Seandainya tidak berpuas hati, mereka perlu merayu mengikut saluran yang diperuntukkan undang-undang.

Malah, China Press menyetujui bahawa mereka yang tidak berpuas hati boleh menyerah memorandum kepada pihak yang berkenaan untuk menyampaikan pandangan, menggesa agar pihak berkenaan mengambil prihatin terhadap isu tersebut. "Namun, kami tidak menggalakkan rakyat menggunakan cara yang radikal, misalnya demonstrasi jalanan yang mungkin mencetuskan kecelaruan dan mengganggu hidupan harian rakyat jelata."

Lidah pengarang ini berharap agar rakyat melihat isu ini secara rasional, dan tidak menghasut antara satu sama lain secara sengaja, sebaliknya menggunakan sikap yang lebih tamadun untuk menganut, menyebar dan mewarisi agama masing-masing. Tulisan ini menyimpulkan bahawa semua agama mendukung kedamaian dan keharmonian, maka penganutnya yang bertaqwa harus menjadikan masyarakat lebih aman, dan bukannya menunjukkan ketaatan dengan keganasan.

Negara Islam yang konservatif?

Sin Chew Daily pula, menyiarkan laporannya dalam isu ini di muka surat 5, pada 4 Januari. Berita PM Najib yang mengesahkan bahawa kerajaan akan merayu dalam kes ini dijadikan sebagai berita utama, sementara reaksi ahli Parlimen Shah Alam PAS, Khalid Samad terhadap ahli parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mencabarnya untuk keluar parti juga ditonjolkan.

Walau bagaimanapun, komen terhadap isu ini hanya terselit dalam satu artikel kolum oleh Lim Sue Goan, penolong editor Sin Chew Daily. Dalam artikel yang berjudul "Permulaan tahun baru yang mengecewakan", beliau mempersoalkan tindakan mereka yang tidak menghormati mahkamah, malah masih berdemonstrasi walaupun kerajaan telah mengambil keputusan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah.

"Ini menyampaikan satu mesej kepada masyarakat global, seolah-olah Malaysia adalah sebuah negara Islam yang konservatif," tulisnya, yang terkilan dengan pelbagai isu yang berlaku pada permulaan tahun 2010.

Demontrasi di merata tempat

Nanyang Siang Pau pula, menyiarkan bantahan umat Islam di merata tempat pada muka surat A3, 4 Januari. Malah, akhbar ini menyiarkan gambar demonstrasi di Pulau Pinang, Melaka dan Pekan, kawasan parlimen PM Najib. Di bawah muka surat A3, Nanyang Siang Pau menyiarkan berita "serang-menyerang" antara Khalid Samad dengan Zulkifli Noordin yang bercanggah pendapat dalam isu ini.

Oriental Daily pada hari ini menjadikan "PM nasihat umat Islam bertenang" sebagai tajuk di muka surat depannya, sementara menyiarkan berita isu ini di muka surat A3 dan A4. Malah, di bawah muka surat A3, Oriental Daily melaporkan cara bagaimana Utusan Malaysia melaporkan isu ini pada 3 Januari 2010.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 4 Januari 2010, berkisar pada isu penggunaan kalimah Allah. - Merdeka Review

No comments: