Saturday, January 30, 2010

MCA Sudah Hancur !

Tiada pemilihan semula dalam MCA

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pusat (CC) MCA hari ini memutuskan tidak akan mengadakan pemilihan parti baru bagi memilih pemimpin pusat buat masa ini.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek, berkata ia berikutan hanya 13 daripada 31 ahli CC yang dipilih, menghantar surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada setiausaha agung parti.

Beliau berkata, disebabkan jumlahnya tidak mencukupi untuk membolehkan pemilihan baru diadakan, sebagai mana yang ditetapkan oleh perlembagaan parti MCA, pemilihan tidak dapat dijalankan.

"Bagaimanapun ahli CC boleh pada bila-bila meletak jawatan, tanpa sekatan daripada mana-mana pihak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat CC selama empat jam di Wisma MCA di sini, hari ini.

Katanya, presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat dan naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak dapat bersama pada persidangan media petang ini kerana terpaksa beredar lebih awal disebabkan ada urusan lain.

Mesyuarat petang ini diadakan bagi merumuskan satu ketetapan sekiranya perlu diadakan pemilihan semula parti MCA. Bulan lalu, Liow bersama 12 ahli CC lain mendesak supaya diadakan pemilihan parti yang baru, dengan menghantar surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada setiausaha agung parti.

Kegagalan kumpulan Liow mendapatkan cukup ahli CC untuk meletak jawatan menghalang usahanya untuk mengadakan pemilihan baru pada awal Januari lalu, selepas tempoh dua minggu untuk menghantar surat peletakan jawatan berakhir pada hari sambutan Krismas tahun lalu.

Dr Chua berkata, bagi membolehkan pemilihan parti dilaksanakan, dua pertiga, atau 21 daripada 31 ahli CC yang dipilih, perlu meletak jawatan.

Katanya, semua 13 individu yang meletak jawatan itu masih ahli CC kerana surat peletakan jawatan mereka hanya akan berkuatkuasa apabila jumlah tandatangan mencukupi 21 ahli bagi membolehkan pemilihan parti diadakan.

Dr Chua seterusnya mengumumkan perlantikan bekas naib presiden, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn sebagai pengerusi lembaga disiplin yang baru dan veteran parti, Chan Tsu Yen sebagai timbalan.

Turut dilantik ialah Datuk Lim Si Cheng, Ivan Chen Kai Heng dan Lau Chih Siang, untuk menjadi ahli lembaga disiplin.

Kekosongan lembaga disiplin MCA berlaku berikutan peletakan jawatan lima ahlinya yang diketuai veteran parti, Ng Cheng Kiat pada November 2009.

Turut meletak jawatan ialah Datuk Jimmy Low Boon Hong, Datuk Ng Soon Por, Dr Lai Kuan Fook and Lau Chih Siang.

Mereka memutuskan untuk meletak jawatan selepas keputusan mereka untuk memecat Dr Chua dibatalkan perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa 10 Oktober lalu.

Dr Chua turut mengumumkan pelantikan Simon Lim Seng Chai sebagai setiausaha penyelaras kebangsaan yang baru dan Datuk Tee Siew Kiong sebagai timbalan.

Sambutan ulang tahun parti akan diadakan pada 6 Mac diikuti perhimpunan agung tahunan (AGM) 2009 yang tertangguh sebelum ini pada keesokan harinya, 7 Mac, dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita akan diadakan pada pagi 6 Mac.

Naib presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa sambutan ulang tahun MCA manakala setiausaha agung MCA, Datuk Wong Foon Meng dilantik pengerusi dalam menguruskan AGM parti. - Bernama

No comments: