Saturday, June 23, 2012

Ganti rugi $80,000 untuk Guan Eng

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin memerintahkan Utusan Melayu Berhad (Utusan Melayu) membayar RM200,000 ($80,037) kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng, sebagai ganti rugi perkataan fitnah yang dilaporkan dalam akhbar syarikat itu pada 2008.

Pesuruhjaya Kehakiman, Cik Nurmala Salim, dalam penghakimannya memutuskan artikel "DEB: Guan Eng Tetap Berdegil" yang disiarkan Utusan Malaysia pada 15 Mac 2008 mengandungi perkataan fitnah iaitu 'menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB)' yang tidak disebut Encik Lim.

Beliau berkata, perkataan yang digunakan akhbar itu terlalu berat, tidak mempunyai maksud sama dengan perkataan 'bebas', boleh menyebabkan ketegangan kaum serta perbuatan tidak bertanggungjawab dalam konteks masyarakat majmuk.

"Oleh itu, mahkamah berpendapat artikel yang disiarkan itu bertujuan memfitnah dengan cuba menggambarkan plaintif seorang ahli politik berniat jahat dan mempunyai pendirian untuk menghapuskan DEB.

"Oleh itu, mahkamah menganugerahkan kepada plaintif ganti rugi RM200,000 dan kos berjumlah RM20,000," katanya.

Encik Lim, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), menyaman fitnah Utusan Melayu berhubung artikel itu dengan mendakwa ia mengandungi perkataan berunsur fitnah dan berniat jahat selain menafikan mengeluarkan perkataan berkenaan pada satu sidang akhbar.

Sementara itu, Encik Lim berkata beliau gembira kerana mahkamah memberikan keadilan bagi membetulkan fitnah yang digunakan untuk menyerangnya selama empat tahun ini.

"Ini kemenangan kali kedua saya ke atas Utusan (Melayu). Hari ini juga hari kemenangan kepada kebebasan akhbar yang berdasarkan dua syarat iaitu melaporkan berita benar dan memberi peluang menjawab tuduhan yang dilemparkan kepada kami," katanya. - Harian Metro.

No comments: