Ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) menyelar parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA sebagai biadap kerana penghinaan yang dilakukan ke atas PAS dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa perhimpunan agung MCA ke-59 baru-baru ini di ibu kota.
“Dia (Datuk Seri Chua Soi Lek) seorang pemimpin dan penguasa politik dalam kerajaan BN yang cukup tidak bertanggungjawab kerana cuba menyuntik sentimen kebencian dan menakutkan orang ramai.
“JAKIM dan perdana menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Razak harus bertanggungjawab, adakah ini bermakna Umno terlalu lemah hingga MCA berani membuat serang-serangan seperti ini?” kata ahli parlimen PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar kanan).
Kenyataan Dzulkefly tersebut dilontar bagi membidas kenyataan baru-baru ini oleh presiden MCA tersebut yang mengatakan negara yang mengamalkan hudud adalah negara yang paling korup dan juga negara yang mempunyai banyak jenayah dan mendakwa negara akan hilang 1.2 juta pekerjaan jika hudud dilaksanakan.
Ahli parlimen DAP, Anthony Loke (gambar kiri) turut sama bangun mencelah dalam sesi perbahasan dengan menyelar Chua sebagai seorang yang biadap ekoran kenyataannya menyokong naib pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie.
“Saya terkilan dengan Chua yang menyokong Heng dengan dakwaan PAS menggalakkan wanita bukan Islam dirogol.
“Saya merasakan kenyataan MCA ini yang paling biadap. Chua adalah seorang presiden yang paling biadap!” jelas Anthony.
Ekoran kenyataan tersebut, ahli parlimen BN Datuk Abdul Rahman Dahlan bangun mempertahankan kenyataan Chua semasa perhimpunan tersebut dan menerangkan kritikan dilakukan ke atas kerajaan yang memerintah dan bukannya kepada agama Islam.
Dalam perhimpunan baru-baru ini, Heng berkata PAS membenarkan wanita bukan Islam dirogol sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam yang kemudiaannya disokong oleh Chua.
Heng membuat kesimpulan itu berdasarkan video lama Nik Aziz yang didakwa menyebut demikian tentang wanita.
“Pakatan menipu kita untuk percaya bahawa hudud PAS tidak akan menjejaskan hak bukan Islam kerana (berdasarkan hujah Nik Aziz) tiada undang-undang untuk menghalang orang Islam daripada merogol bukan Islam.
“Jika kamu tonton klip Youtube, kamu tahu bahawa Nik Aziz berkata berkata, wanita patut tutup aurat, jika tidak mereka patut dirogol,” kata Heng.
Chua juga berkata, lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.
Dalam ucapannya di perhimpunan agung MCA ke-59 itu, Chua tidak menamakan mana-mana negara namun menggunakan dakwaan itu untuk menyerang PR.
No comments:
Post a Comment