JIKA
perkembangan media Melayu mutakhir ini diperhatikan, sifat-sifat
kewarasan, keberkecualian dan kesusilaan sudah jelas tidak wujud.
Sentimen perkauman bagai menjadi kelumrahan media Melayu
zaman sekarang, baik di kaca mata televisyen atau dalam media cetakan.
Nyata trend yang sempit ini sedang diterajui oleh media kawalan UMNO,
khususnya Kumpulan Utusan Melayu.
Sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Utusan Malaysia
dengan tidak segannya telah mempersoalkan “Apa lagi Cina mahu?” melalui
tajuk berita utama, manakala tabloid Kosmo! yang dimiliki kumpulan yang
sama telah meluahkan muka depan yang tidak kurang provokatifnya, yakni,
“Pengundi Cina bersikap talam dua muka”.
Seperti biasa, fitnah diterbit sebagai fakta dan tohmahan
menjadi bahan ulasan para pengarang. Pengundi kaum Cina dipersalahkan
atas kemerosotan keputusan pilihan raya Barisan Nasional (BN), meskipun
hujahnya tidak logik ― bagaimanakah mungkin golongan yang merangkumi
lebih kurang satu suku populasi negara boleh memberi 51 peratus undi
popular (53 peratus di Semenanjung) kepada Pakatan Rakyat?
Jelas, kemenangan undi popular Pakatan Rakyat membuktikan
bahawa gabungan parti terbabit telah menerima sokongan yang padu
daripada segenap masyarakat Malaysia ― namun hakikat ini langsung
diabaikan oleh media kawalan UMNO yang tidak ingin menerima kenyataan.
Agenda perkauman kemudian diteruskan dengan seruan Awang
Selamat, iaitu suara hati lembaga pengarang Utusan, untuk memboikot
syarikat penerbangan Air Asia ekoran kritikan seorang pegawai kanannya,
Azran Osman-Rani, yang mencemuh akhbar Utusan kerana bersifat rasis.
Dan jika itu tidak mencukupi, Utusan kemudiannya menyiarkan
kenyataan Perkasa yang menyelar Azran sebagai “bongkak” dan “lupa
diri”, serta “mengingatkan” Azran agar tidak sesekali “menyentuh” Utusan
Malaysia kerana akhbar itu merupakan satu-satunya wadah yang
mempertahankan hak orang Melayu di negara ini, seolah-olah segala
kejayaan Azran adalah hasil daripada jasa akhbar berkenaan.
Aduhai, malangnya nasib bangsa sehingga perisai perkauman
terpaksa menjadi pelindung kepada umat Melayu. Agaknya, tanpa
“perlindungan” daripada wira bangsa seperti Utusan dan Perkasa, tidak
mungkin Melayu dapat berjaya atas usaha gigih sendiri ― inilah
sebenarnya sikap yang memperlekeh dan merendahkan martabat bangsa!
Keadaan ini bukan sahaja sangat mendukacitakan, tetapi amat
memalukan, khususnya apabila Utusan Malaysia pernah pada suatu ketika
dahulu menjadi tonggak dan peneraju kepada suara masyarakat Melayu yang
bebas.
Mungkin ramai yang telah lupa peristiwa 1961 apabila
pekerja Utusan, termasuk tokoh kewartawanan seperti Said Zahari (yang
ketika itu Ketua Pengarang), Usman Awang (kini Sasterawan Negara), serta
barisan penulis dan wartawan seperti Abu Zaki Fadzil, Awam-il Sarkam,
Salleh Yusof, Tajuddin Kahar, Zailani Sulaiman, Rosdin Yaakub dan
lain-lain telah melancarkan kempen mogok.
Tujuan mogok tersebut adalah untuk membantah
pengambilalihan Utusan oleh UMNO yang tidak senang dengan sikap akhbar
itu yang kritikal terhadap pemerintah dan pro kepada masyarakat
terbanyak.
Akhirnya, 50 tahun kemudian, kekhuatiran Said Zahari, Usman
Awang dan para pekerja Utusan pada zaman 60-an yang mahukan Utusan
kekal bebas daripada campur tangan politik, sudah pun menjadi kenyataan.
Malah, Said Zahari dan Usman Awang tidak mungkin dapat bayangkan betapa
corotnya kualiti kewartawanan akhbar yang pernah menjadi perjuangan
mereka.
Akibatnya, Utusan sudah hilang wibawa di mata orang Melayu,
khasnya golongan kelas menengah seperti Azran yang sudah lelah dengan
politik perkauman dan fitnah. Jika tidak kerana langganan kerajaan
melalui jabatan, agensi dan anak syarikatnya, Utusan tidak mungkin mampu
bernyawa, apatah lagi apabila ia seringkali didapati bersalah oleh
mahkamah dan dipaksa membayar ganti rugi kepada mangsa fitnahnya (Lim
Guan Eng dua kali, Karpal Singh, Khalid Samad, Azan Ismail sebagai
contoh yang terbaru).
Hakikatnya, Utusan yang dahulu menjuarai suara masyarakat
terbanyak sudah menjadi alat politik parti konservatif kanan yang
ketandusan ilham dan gagal merangkumi gagasan politik baru yang
berteraskan idea. Yang paling malangnya, “usaha murni” Utusan serta puak
haluan kanan ini sebenarnya tidak memajukan, malah memperbodohkan
bangsa sendiri.
Pada saya, keadaan Utusan Malaysia pada hari ini adalah
tragedi yang sangat besar kepada warisan akhbar Melayu. Jalan keluar
daripada kemelut ini hanya satu ― media massa di negara kita harus
dibebaskan.
Pengalaman di negara lain yang telah beralih daripada media
terkongkong kepada media yang bebas menunjukkan bahawa akhbar yang
berpendirian sempit dan berhaluan ekstrim seperti Utusan Malaysia tidak
dapat bersaing dan akhirnya akan berhadapan dengan dua pilihan: tukar
pendirian atau tutup kedai. Yang berjaya adalah mereka yang mampu
memenuhi kehendak pasaran untuk kewartawanan yang lebih objektif.
Jika warisan akhbar Melayu hendak diselamatkan dan kewibawaan dikembalikan, jalannya adalah melalui pembebasan media. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment