Monday, December 28, 2009

Jawatankuasa khas MCA bermesyuarat awal 2010

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Mesyuarat jawatankuasa khas MCA bagi mengadakan pemilihan semula parti itu dijangka hanya diadakan awal tahun depan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, mesyuarat terpaksa ditangguhkan kerana kebanyakan ahli jawatankuasa sedang bercuti.

"Kebanyakan anggotanya termasuk dua orang menteri sedang berada di luar negara.

"Lantaran itu, kita tidak dapat mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu berkenaan dengan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng sebelum ini enggan mendedahkan senarai Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu yang telah atau belum menghantar surat peletakan jawatan mereka pada Jumaat lalu iaitu tarikh akhir penyerahan surat tersebut.

Foon Meng berkata, beliau enggan berbuat demikian kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan dalam usaha menyelesaikan kemelut parti itu.

Pemilihan semula pucuk pimpinan MCA itu dilihat sebagai satu cara menyelesaikan kemelut dalaman parti tersebut yang semakin serius apabila Soi Lek dipecat sebagai Timbalan Presiden parti pada Ogos lalu.

Pada 15 Disember lalu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 12 lagi pemimpin parti telah menghantar surat peletakan jawatan mereka sebagai ahli CC kepada Foon Meng.

Bagaimanapun perlembagaan MCA menetapkan sekurang-kurangnya 21 daripada 30 ahli CC yang dipilih oleh perwakilan parti perlu meletakkan jawatan mereka bagi membolehkan pemilihan semula itu diadakan.

Antara yang telah menghantar surat bersama Tiong Lai ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Hou Kok Chung; Naib Presiden MCA, Tan Kok Hong dan anggota veteran CC, Datuk Wong Mook Leong.

Dalam pada itu, sebanyak lapan ahli CC lagi turut menghantar surat peletakan jawatan iaitu Lee Wee Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Menurut Soi Lek, Sekretariat MCA akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada media apabila tarikh mesyuarat jawatankuasa khas tersebut diputuskan.

No comments: