Monday, December 3, 2012

Jangan percaya fitnah, ini dia bukti kejayaan C.A.T Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 3 DIS: Hanya dalam tempoh lima tahun sahaja kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuktikan kejayaan memulihkan kecemerlangan dan maruah negeri setelah dibiarkan gawat oleh Barisan Nasional hampir 20 tahun sebelumnya.

Semua kejayaan ini tercapai melalui kesungguhan kerajaan negeri Pakatan pimpinan DAP yang komited dan tegas melaksanakan dasar cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, para pemimpin DAP bersama dengan rakan-rakan Pakatan telah menghadapi cabaran dengan kepimpinan tegas yang menghasilkan kejayaan untuk semua rakyat di negeri itu.

Kejayaan-kejayaan  CAT

Kejayaan-kejayaan urustadbir CAT yang telah diakui dan dilihat jelas di Pulau Pinang adalah:
1. Pulau Pinang telah menjadi negeri nombor satu dalam pelaburan di Malaysia buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010. Kejayaan itu diulang lagi pada tahun 2011, membuktikan bahawa kejayaan itu bukanlah hanya nasib tetapi hakikat. Pulau Pinang telah menyumbang 28% daripada jumlah pelaburan asing langsung Malaysia dalam dua tahun tersebut. Malah, 10 hari lalu Agilent Technologies telah mengumumkan pelaburan USD200 juta manakala B.Braun akan melabur RM1.75 bilion di Pulau Pinang.

2. Pulau Pinang kekal nombor satu dalam pelancongan perubatan dengan 60% jumlah kebangsaan. Pulau Pinang telah dipilih sebagai 8 pulau utama di dunia yang harus dilawat oleh Yahoo Travel. Festival Warisan George Town serta usaha untuk memelihara dan memulihara warisan telah menyuntik semangat baru kepada George Town. Lukisan-lukisan mural atas dinding rumah-rumah kedai lama kian mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sektor pelancongan telah berkembang dengan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dijangka mencecah 5 juta penumpang setahun menjelang tahun depan. Projek pembesaran dan naik taraf yang baru harus dimulakan sebaik selesai sahaja projek pengubahsuaian sekarang.

3. Lebihan bajet tahunan dan pengurangan hutang negeri sebanyak 95% telah diiktiraf dan dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara.

4. Pengamalan 6 langkah integriti dalam perang rasuah yang juga dipuji oleh Transparency International, iaitu pengisytiharan harta secara terbuka, pelaksanaan tender terbuka, melarang ahli-ahli keluarga daripada berurus niaga dengan kerajaan, melindungi peniup wisel yang tulen, menggugurkan pemimpin-pemimpin yang hidup mewah dan bersikap telus dalam sumbangan politik.

5. Peruntukan RM500 juta untuk Tabung Perumahan Mampu Milik Pulau Pinang untuk pembinaan 18,000 unit di serata negeri termasuk di bahagian pulau, iaitu jumlah paling besar oleh mana-mana kerajaan negeri. Untuk memastikan perumahan mampu milik yang berkualiti, HDB Singapura telah dilantik untuk memastikan perumahan setaraf Singapura akan disediakan di Pulau Pinang. 12,000 unit rumah mampu milik telah dibina dalam tempoh masa 5 tahun yang lepas, 4,000 unit oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan 8,000 unit oleh sektor swasta.

6. Membelanjakan wang RM100 juta untuk rakyat melalui program-program “emas” seperti warga emas, OKU, ibu tunggal, pelajar-pelajar IPTA, ibu bapa baru, kanak-kanak sekolah rendah dan menengah serta peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat, Cina dan Tamil.

7. Menjadi negeri pertama di Malaysia untuk membasmi miskin tegar pada tahun 2009 dan akan menjadi pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan sama sekali pada tahun 2013 melalui Agenda Ekonomi Saksama (AES). Oleh kerana garis kemiskinan adalah RM763 sebulan untuk setiap isi rumah, maka Pulau Pinang hanya boleh bebas miskin sekiranya setiap keluarga mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM770 sebulan. Untuk memastikan setiap keluarga mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan, kerajaan negeri akan menambah nilai setiap bulan. Dengan kata lain, jika sesebuah keluarga mempunyai pendapatan RM600 sebulan, kerajaan negeri akan tambah nilai RM170 setiap bulan – bukan setiap 5 tahun atau setiap 50 tahun.

8. Melaksanakan reformasi demokratik seperti penubuhan Sudut Pidato pertama di Malaysia, meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat serta Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang untuk memberi ruang untuk kebebasan bersuara, kebebasan maklumat serta undi ketiga untuk mengukuhkan demokrasi akar umbi.

9. Menghormati Islam sebagai agama Pulau Pinang dan juga kebebasan beragama dengan meningkatkan peruntukan, tanah dan juga menubuhkan Majlis Syura serta portfolio hal-ehwal agama bukan Islam. Tidak ada satu pun tokong, kuil atau surau yang dirobohkan melainkan satu kuil Hindu yang dirobohkan oleh Penang Port Sdn Bhd yang dimiliki kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, Tokong Kek Lok Si dan Kuil Air Terjun Murugan akhirnya telah dibuka di bawah pentadbiran kerajaan negeri PR.

10. Membelanjakan 55% lebih untuk pembangunan infrastruktur berbanding kerajaan lama dengan pembinaan jalan raya, gelanggang futsal, dewan orang ramai, mahkamah Syariah dan perparitan. Mencadangkan projek-projek infrastruktur besar seperti sambungan ketiga antara Gurney Drive dengan Butterworth serta pemulihan Komtar dan pusat pameran dan konvensyen baru di sPICE, PISA. Satu lagi pusat pameran dan konvensyen akan diumumkan minggu depan.

11. Pertama untuk mengamalkan inisiatif hijau seperti kempen tiada beg plastik percuma, pengharaman bekas polistirena, zon-zon bebas asap, menyediakan lebih taman awam dan laluan basikal, Hari Ahad Tanpa Kenderaan dan mencatat kadar kitar semula 26% pada tahun ini, di mana sasaran kebangsaan adalah 20% menjelang 2020.

12. Menjadikan George Town sebagai bandar paling sesuai didiami (mengikut ECA International) untuk kali pertama pada tahun 2011 dan sekali lagi pada tahun 2012.

Pakatan berjaya kerana sokongan rakyat

Guan Eng menghulur ribuan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang atas sokongan mereka selama lima tahun ini, dalam perjuangan bersejarah DAP untuk menubuhkan kerajaan yang bersih dan berjiwa rakyat di Pulau Pinang.

Katanya, DAP boleh berdiri teguh kerana telah membuktikan bahawa bukan sahaja ia boleh menjadi pembangkang yang baik, malah ia juga boleh menjadi kerajaan yang lebih baik.

“Apabila mengambil alih kuasa pada tahun 2008, ramai yang meragui keupayaan kita untuk mentadbir dek kerana kekurangan pengalaman serta kecekapan sebagai ahli-ahli politik yang kebanyakannya bekas ‘banduan’.

“Setelah lima tahun berkuasa, bukan sahaja keraguan itu sudah dibendung, malah terdapat kebimbangan bahawa kita tidak akan terus berkuasa di Pulau Pinang. Apakah yang berlaku dalam tempoh lima tahun ini yang telah mengakibatkan transformasi daripada pembangkang efektif kepada kerajaan yang lebih efektif?

“Saya berani kata bahawa ciri-ciri DAP yang bersih dan jujur, kesetiaan kepada prinsip dan rakyat serta semangat berpasukan yang erat di kalangan pemimpin DAP merupakan asas kepada kejayaan kita, seperti yang ditunjukkan dalam slogan urustadbir CAT,” katanya sewaktu merasmikan Konvensyen Tahunan DAP 2012 di sini semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kejayaan itu telah menunjukkan prestasi Pakatan yang lebih baik daripada BN walaupun tidak berpengalaman mentadbir negeri sebelum daripada itu.
Justeru, katanya, kejayaan Pakatan telah menjadi ancaman kepada UMNO dan BN, menyebabkan UMNO khususnya terus-menerus fitnah, ugutan dan politik sentimen perkauman dan ekstremis.

UMNO-BN berjiwa kroni, tak sayang rakyat

Guan Eng menjelaskan bahawa PRU akan datang akan menentukan nasib rakyat kerana UMNO akan menghapuskan semua “program emas” dan peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah serta memastikan reformasi demokratik dan langkah-langkah integriti akan diganti dengan rejim korup serta menindas.

“UMNO akan menggantikan kerajaan berjiwa rakyat dengan kerajaan berjiwa kroni.

“Lihat sahaja bagaimana projek RM43 juta Tanjung City Marina sudah terbengkalai serta kekhilafan projek RM250 juta pengubahsuaian dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Projek-projek ini menjadi peringatan bagaimana BN akan mentabir Pulau Pinang,” tambah beliau.
Beliau berpegang kepada prinsip bahawa DAP percaya pada sifat hakiki rakyat Pulau Pinang iaitu kejujuran membawa kejayaan, kerja keras akan membawa kesejahteraan, dan ibu bapa dan kerajaan harus melabur dalam masa depan untuk memastikan kejayaan anak-anak.

“Kejayaan Pulau Pinang bergantung kepada undang-undang – keluhuran undang-undang dan bukan keluhuran pemimpin,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat optimis dengan masa depan Pulau Pinang kerana pucuk pimpinan percaya dan yakin pada rakyat sendiri.

“Walau apa pun rintangan dan cabaran, kita percaya bahawa rakyat akan mencari penyelesaian selagi kerajaan merupakan kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

“Kita percaya pada Pulau Pinang kerana kita percaya bahawa kebaikan dan usaha rakyat Pulau Pinang – Melayu, Cina, India – akan mengatasi segalanya. Kerajaan negeri akan cuba sedaya upaya untuk mencerminkan sifat hakiki rakyat Pulau Pinang kerana kita percaya pada mu,” katanya. – Roketkini.com

No comments: