Wednesday, December 19, 2012

UMNO/BN mestilah meninggalkan taktik dan ideologi politik ekstrimis dan empat jenis politik kebencian

Perpaduan, solidariti dan iltizam DAP serta penegasan semula konsep Malaysia Sederhana dari Kongres DAP ke-16 di Pulau Pinang telah menimbulkan ketakutan UMNO/BN dan bergema ke seluruh negara, mengejutkan UMNO/BN daripada lena, apabila mereka menyedari bahawa agenda untuk perlawanan kritikal dan genting dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal berlangsung dalam tempoh 100 hari lagi telah ditetapkan bagi menentukan buat pertama kalinya di dalam sejarah 55 tahun negara sama ada akan berlakunya perubahan kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Perkara itu mengejutkan pemimpin UMNO termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus memberikan reaksi mendakwa bahawa Barisan Nasional yang merupakan “Malaysia Sederhana” dan bukannya DAP.

Sekiranya Najib yakin bahawa UMNO/BN yang mewakili Malaysia Sederhana, dan memiliki sokongan luar biasa empat juta pengundi pertengahan di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 – tiga juta pengundi baru dan satu juta pengundi bertukar arah daripada PRU12 pada 2008 – Najib pasti telah membubarkan Parlimen dan PRU13 telah pun diadakan.

Tambahan lagi, Najib tidak perlu melalui kesengsaraan dilema “untuk melakukannya atau tidak” sepanjang dua tahun lalu bagi membuat keputusan tentang pembubaran Parlimen (kesengsaran yang masih beliau rasakan meskipun cuma tinggal empat bulan sebelum Parlimen terbubar dengan sendirinya pada 28 April 2013) dan rasa aib menjadi Perdana Menteri tanpa mandat daripada rakyat paling lama di Malaysia.

Perdana Menteri sebelumnya, Tun Abdullah juga terjaga daripada lena untuk menggambarkan Kongres DAP ke-16 sebagai fenomena tidak sihat kerana ia menunjukkan bahawa DAP dimonopoli oleh kaum tertentu.

Akan tetapi komen yang paling lucu adalah daripada Presiden Gerakan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang menggambarkan kegagalan orang Melayu memenangi pilihan ahli jawatankuasa tertinggi sebagai menyanggahi semangat 1Malaysia.

Abdullah dan Tsu Koon seperti telah lupa bahawa UMNO adalah parti eksklusif berteraskan kaum yang masih belum membuka pintunya buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum meskipun terdapat cadangan daripada pegasas UMNO Datuk Onn Jaffar 50 tahun lalu yang UMNO sepatutnya membuka keahlian kepada semua kaum.

Sudahkah Tsu Koon memberitahu Najib bahawa UMNO telah menyanggahi semangat dan dasar 1Malaysia dan sepatutnya membuka keahliannya untuk semua kaum?

Malah, beranikah Tsu Koon membangkitkan di Kabinet atau Majlis Tertinggi Barisan Nasional bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah contoh buruk kepada dasar 1Malaysia Najib memandangkan Muhyiddin telah menisytiharkan dirinya “Melayu dahulu kemudian barulah rakyat Malaysia”, dan cabaran ke atas dasar 1Malaysia Najib itu mesti ditangani dan diperbetulkan secapat mungkin?

DAP mengalu-alukan persaingan daripada Najib dan UMNO/BN untuk bersaing dengan DAP mendapatkan sokongan Malaysia Sederhana, tetapi sebelum mereka boleh menuntut sokongan Malaysia Sederhana, UMNO/BN mestilah meninggalkan taktik dan ideologi politik ekstrimis termasuklah Ketuanan Melayu dan empat jenis politik kebencian melibatkan kaum, agama, penipuan dan menakut-nakutkan.

Najib telah gagal sama sekali di dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO untuk mewakili Malaysia Sederhana, memandangkan ucapannya gagal pada tiga perkara utama:
  • Pertama, ia menonjolkan bahawa dasar 1Malaysia Najib tidak pernah disokong oleh Perhimpunan Agung UMNO sepanjang empat tahun lalu dan tiada perhimpunan agung UMNO yang pernah mengisytiharkan bahawa Ketuanan Rakyat Malaysia dan bukan Ketuanan Melayu adalah merupakan matlamat dan misi UMNO.
  • Kedua, kegagalan menunjukkan iltizam UMNO untuk menyokong pengisytiharannya menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia” dengan memeberikan jaminan bahawa UMNO akan memastikan peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat berjalan dengan aman sekiranya itulah pilihan pengundi dalam PRU13.
  • Ketiga, kegagalan untuk menyentuh tentang masalah rasuah, apabila masalah rasuah di bawah Najib jauh lebih buruk berbanding Perdana Menteri sebelumnya sama ada Tun Abdullah dan Tun Mahathir, dan bahawa kerajaan yang bersih dan tidak korup adalah salah satu rukun Malaysia Sederhana.
Adakah Najib bersedia untuk bersaing dengan DAP memikat hati dan minda Malaysia Sederhana, dengan menjauhkan diri dan mengecam pemimpin UMNO yang tidak bertanggungjawab menggunakan politik menakut-nakutkan tentang bakal berlakunya 13 Mei seperti yang dilakukan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil atau “huru-hara” seperti yang dilakukan Muyiddin?
Beranikah Najib cuba mendapatkan sokongan Kabinet juga pembuat keputusan di dalam UMNO/BN terhadap dasar 1Malaysia dan mengetepikan Ketuanan Melayu dan digantikan dengan Ketuanan Rakyat Malaysia?

Saya setuju bahawa kegagalan Kongres DAP ke-16 untuk menaikkan calon Melayu menyertai 20 kerusi JTP adalah satu halangan kepada perjuangan DAP untuk mewakili semua rakyat Malaysia.
Akan tetapi ini bukanlah kerana DAP anti-Melayu atau anti-Islam, memandangkan DAP sejak mula penubuhannya pada 47 tahun lalu pada 1966 beriltizam menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan kawasan.

Ini jelas dilihat pada sejarah DAP ketika pilihan raya umun pertama pada 1969 yang mana DAP meletakkan calon Melayu untuk kedua-dua kerusi parlimen dan dewan undangan negeri – dua calon Melayu berjaya menjadi ahli dewan undangan negeri di Perak dan Negeri Sembilan.

Selepas berdekad lamanya, DAP memegang teguh kepada iltizam berbilang kaum dan meletakkan calon-calon Melayu pada kedua-dua kerusi parlimen dan dewan undangan negeri dengan beberapa pemimpin Melayu berjaya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan Sdr. Ahmad Nor berjaya menjadi Ahli Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang.

Adalah menjadi tugas yang sukar untuk DAP sampai kepada orang Melayu dengan UMNO dan media perdananya terus berkempen meracun fikiran orang Melayu dan memburukkan DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

DAP tidak akan dan tidak pernah anti-Melayu atau anti-Islam.

Inilah sebabnya mengapa JTP DAP telah mengambil tindakan segera memasukkan dan melantik Senator Dr. Arrifin Omar sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Zairil Khir Johari sebagai Timbalan Setiausaha Publisiti.

Saya ingin bertanya parti Barisan Nasional yang mana mempunyai ahli Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban di dalam jawatankuasa pusatnya? Tiada, menunjukkan bahawa DAP lebih inklusif berbanding mana-mana 13 parti komponen Barisan Nasional termasuklah UMNO.

Kami akan terus mendekati orang Melayu juga komuniti lain, walaupun buat masa ini, politik solidariti, demokrasi dan keadilan rakyat Malaysia seperti yang diwakili DAP bukanlah keutamaan tertinggi orang Melayu berbanding politik kaum seperti yang diwakili UMNO dan politik keagamaan seperti yang diwakili PAS.

Sepanjang beberapa dekad, lebih ramai orang Melayu telah sedar bahawa apa yang UMNO telah propagandakan terhadap DAP, kononnya sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam adalah pembohongan dan penipuan.

Kesannya, DAP semakin mendapat sokongan orang Melayu bukan sahaja daripada orang Melayu biasa tetapi juga pengundi Melayu. Inilah yang menakutkan UMNO dan BN.
Kami akan terus memperbaiki diri kami dan belajar daripada kelemahan dan cabaran untuk memastikan DAP akan lebih cekap dan berjaya mewakili kepentingan semua rakyat Malaysia baik Melayu, Cina, India, Orang Asal, Kadazan atau Iban.

Inilah sebabnya mengapa DAP mencipta sejarah sebagai parti politik Pan-Malaysia pertama, dengan cawangan dan aktiviti politik bukan sahaja di semua negeri di Semenanjung Malaysia tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Kongres DAP ke-16 adalah testimoni iltizam DAP untuk melebarkan sayap, membangun dan berkembang sebagai sebuah parti rakyat Malaysia yang inklusif, mewakili semua rakyat Malaysia baik Melayu, Cina, India, Orang Asasl, Kadazan atau Iban; sama ada Muslim, penganut Buddha, Kristian, Hindu, Sikh atau Tao; dan sama ada di Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak untuk Malaysia Sederhana.

Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya di dalam kempen “Seratus Hari ke Putrajaya” dan membentuk kerajaan Persekutuan katakanlah dengan 125 kerusi parlimen (PKR 45, DAP 40 dan PAS 40), pentas telah disediakan supaya Malaysia Sederhana dapat terlaksana.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur

No comments: