Saturday, December 22, 2012

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak menjadi TPM kepada semua rakyat Malaysia dengan fitnah perkauman terhadap DAP

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dengan fitnah perkauman terhadap DAP semata-mata untuk mengelak kegagalan BN dalam isu loji nadir bumi Lynas, kamera AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) 1Malaysia, penurunan taraf pendidikan di Malaysia serta skandal wang haram RM871 bilion. Ini berikutan serangan berunsur fitnah beliau terhadap DAP sebagai parti yang cauvinis dan rasis, berdasarkan laporan fitnah laman web UMNO AntaraPos.com yang memetik Naib Pengerusi DAP baru Senator Dr Ariffin SM Omar sebagai berkata bahawa rasuah dalam perkhidmatan awam akan dibanteras jika ia tidak dimonopoli oleh satu kaum sahaja.

Ariffin telah pun menafikan dengan kuat kenyataan ini. Malah beliau tidak pernah membayangkan bahawa punca korupsi dalam perkhidmatan awam adalah kerana ia dimonopoli oleh orang Melayu. DAP akan bersetuju dengan Muhyiddin jika benar Ariffin telah membuat kenyataan yang bodoh itu. Tetapi, adalah Tan Sri Muhyiddin yang kelihatan bodoh kerana bergantung kepada fitnah yang difabrikasi UMNO.

Muhyiddin akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa-apa yang berlaku akibat fitnah bahaya yang berunsur perkauman ini. Muhyiddin mengutuk DAP sebagai parti rasis kerana Kongres DAP tidak memilih tetapi melantik 2 orang Melayu kepada badan tertinggi parti iaitu Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Bukankah ini hipokrasi dan dwi-standard apabila parti 100% rasis seperti UMNO dan MCA yang melarang kaum-kaum lain daripada keahlian dan tidak melantik atau memilih sesiapa pun yang bukan daripada kaum mereka? Tindakan untuk menjadikan DAP sebagai momok anti-Melayu, anti-Muslim dan kurang sifat kemalaysiaan adalah tidak berbeza daripada apa yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin yang ingin demokrasi dan menentukan nasib sendiri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak patut bermain dengan api dengan sengaja mencetuskan sentimen perkauman berdasarkan fitnah. Jelas, beliau terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalannya sebagai Menteri Pelajaran untuk menangani penurunan taraf pendidikan seperti yang dibuktikan oleh kedudukan Malaysia dalam laporan Trends in International Math and Science Study (TIMSS) 2011 yang merudum daripada tempat ke-20 kepada 26 dalam Matematik dan tempat ke-21 kepada 32 dalam Sains. Ini membuktikan hasil kajian Programme for International Student Assessment (PISA) 2009 bahawa taraf pelajar berumur 15 tahun di Malaysia adalah 3 tahun terkebelakang berbanding purata antarabangsa.

DAP Berani Mengadakan Pemilihan Parti 100 Hari Sebelum PRU, Tidak Seperti BN.
Tidak seperti DAP, semua parti komponen BN seperti UMNO, MCA, Gerakan dan MIC tidak berani mengadakan pemilihan parti sebelum PRU yang dijangka akan berlaku dalam masa 100 hari. Ini menunjukkan DAP mempraktikkan demokrasi dan boleh mengadakan pemilihan tanpa perpecahan dalaman kerana DAP komited kepada dasar awam yang memanfaatkan rakyat dan bukan kepentingan peribadi yang memanfaatkan kroni.

Kejayaan ini telah membuat UMNO terdesak seperti yang jelas kelihatan dengan kegagalan BN untuk memastikan pengesksportan keluar sisa toksik daripada loji nadir bumi Lynas, pemasangan kamera AES 1Malaysia di 831 lokasi yang memanfaatkan 2 syarikat yang mendapat kontrak tanpa tender terbuka, serta skandal wang “kotor atau haram” RM871 bilion.

Laporan terbaru badan pemerhati kewangan Global Financial Integrity (GFI) yang berpusat di Washington, telah mendapati bahawa RM197 bilion wang haram telah dialirkan keluar dari Malaysia pada tahun 2010 berbanding RM93 bilion pada tahun 2009, iaitu peningkatan 112%. Malaysia kini memegang rekod memalukan kerana menjadi negara kedua di dunia selepas China bagi aliran keluar wang haram.

GFI telah menyatakan bahawa anggaran wang haram mereka adalah “sangat konservatif”. Sementara Malaysia menduduki tangga No.2 di dunia pada tahun 2010, Malaysia merupakan No.3 di dunia sepanjang 10 tahun dari 2011–2010. Jumlah 10 tahun untuk Malaysia dianggarkan pada USD285 bilion (RM871.4 bilion), sementara China adalah USD2,740 bilion dan Mexico USD476 bilion.

Wang “kotor atau haram” RM871 bilion yang kehilangan adalah jumlah yang besar dan bersamaan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia untuk setahun. Namun tidak ada sesiapa yang bertanggungjawab dan tidak ada tindakan yang diambil untuk mendapatkan balik wang tersebut atau menghukum mereka yang terlibat. Muhyiddin tidak memberi jawapan, sebaliknya hanya menyerang dengan fitnah perkauman. Ini menunjukkan Muhyiddin tidak layak menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

No comments: