Wednesday, April 10, 2013

BN hairan bila orang FELDA terima baik calon DAP


BENTONG, 10 APR: Lebih 50 peratus pengundi Melayu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut dijangka mencetuskan perubahan bersejarah apabila mereka bersedia memberi sokongan kepada DAP dan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.

Calon DAP kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack berkata, hasil kajian DAP selama ini antara lain menyifatkan usaha keras DAP memperbetulkan persepsi orang Melayu kepada parti itu berjaya membuahkan hasil memberangsangkan.

“Kehadiran jentera pilihan raya DAP mendapat sambutan baik masyarakat Melayu termasuk di kawasan FELDA. Kita sudah berjaya menembusi kawasan kubu kuat UMNO-BN dan ini mencemaskan mereka,” ujar beliau ketika ditemui wartawan The Rocket hari ini.

Menurut beliau, jika dulu DAP begitu sukar memasuki kawasan FELDA, kini tidak lagi apabila mendapat kerjasama kuat daripada PAS Bentong.

“Setakat ini maklum balas penduduk FELDA adalah positif. Contohnya, di FELDA Kampung Sertik, DAP dan PR sudah dua kali menganjurkan ceramah di sana.

“Kami berjaya mendampingi masyarakat Melayu FELDA secara terus seperti di kawasan FELDA Membaga dan FELDA Kampung Sertik. Ini adalah satu fenomena positif untuk DAP,” kata beliau.
Pada masa sama, Wong Tack tidak menafikan masih ada sebilangan masyarakat Melayu yang segan dan takut menghadiri program atau ceramah anjuran PR.

“Mereka bimbang akan dipantau dan diugut pihak tertentu jika menghadiri program kita. Bagaimanapun kita tetap meneruskan program yang disusun seperti pengedaran risalah dan ceramah berkelompok,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini, DAP dan PR sedang berusaha keras untuk menyampaikan matlumat yang tepat kepada seramai mungkin pengundi di kawasan itu.

“Kita juga sedang dalam usaha kempen agar anak Bentong yang merantau untuk kembali mengundi pada hari pengundian 5 Mei ini.

Pada PRU-12 lalu, DAP hanya memperolehi 30 peratus undi masyarakat Melayu di DUN Bilut yang terletak dalam Parlimen Bentong.

Untuk keseluruhan Parlimen Bentong, Wong Tack meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 30 hingga 35 peratus undi masyarakat Melayu dan meletakkan sasaran undi masyarakat Cina sebanyak 75 hingga 80 peratus.

“Kita cuma perlu teruskan usaha mengikut perancangan dan berdasarkan pemerhatian dan mood masyarakat di sini, saya yakin Bentong mampu mencatatkan sejarah,” katanya.-Roketkini.com

No comments: