Oleh kerana masih ada pemimpin politik UMNO dan BN serta
cybertroopers upahan mereka yang masih menyebarkan fitnah tentang DAP,
saya ingin menjelaskan bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang sah
yang terbuka kepada semua bangsa dan kaum. Jika DAP bertindak di luar
undang-undang atau melanggar Perlembagaan Persekutuan, tentu DAP sudah
lama diharamkan.
DAP adalah parti pelbagai kaum, sentiasa membuka pintu dan peluang
adil kepada orang Melayu. Yang menjadi masalah kepada DAP ialah UMNO dan
BN telah lama menggunakan media dan alat-alat kerajaan untuk
menyebarkan fitnah kononnya DAP adalah parti cauvinis Cina dan bersifat
perkauman.
Fitnah ini diulang-ulang sehingga ada orang keliru dan tidak sedar
bahawa UMNO lah yang menutup pintu kepada orang bukan Melayu
menyertainya, MCA pula tidak membenarkan orang bukan Cina menyertai dan
MIC tidak membuka pintu kepada orang Melayu atau Cina. Jadi BN yang
mengamalkan politik berasaskan kaum.
Namun, saya lega sekarang kerana semakin ramai orang Melayu sudah
sedar tentang fitnah UMNO dan BN yang disiarkan melalui media. Semakin
ramai orang Melayu tidak percayakan laporan oleh Utusan Malaysia, TV3,
Berita Harian dan lain-lain media yang dikawal ketat oleh UMNO dan BN.
Malah, semakin ramai orang Melayu, yang hadir ceramah Pakatan Rakyat,
yang melawat laman-laman web parti-parti komponen Pakatan Rakyat serta
portal berita internet yang lebih adil dan objektif telah sedar bahawa
DAP tidak berjuang kerana kaum atau agama.
DAP berjuang demi rakyat, demokrasi, keadilan sosial, kebebasan dan
peluang saksama tanpa mengira kaum atau agama. Malah DAP terus berusaha
lebih kuat untuk membantu semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu,
India, Kadazandusun, Iban, Bidayuh dan kaum-kaum Bumiputera lain.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1966, DAP mempunyai ramai pemimpin dan
calon daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu. Malah, DAP telah
meletakkan calon-calon Melayu dalam setiap pilihanraya umum yang telah
ditandinginya sejak tahun 1969.
Sebanyak 6 wakil rakyat Melayu daripada DAP telah memenangi kerusi
dewan undangan negeri serta parlimen, termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad
Nor. Berbanding dengan parti-parti komponen BN, jelas bahawa DAP yang
paling banyak meletakkan calon-calon Melayu sejak lebih 40 tahun lalu.
Malah, sehingga sebelum Parlimen dibubarkan pada 20 April lalu, DAP
adalah satu-satunya parti yang mempunyai wakil rakyat berketurunan India
yang terbanyak di kalangan semua parti di Malaysia. Kini DAP mempunyai
ramai calon Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Inilah bukti DAP parti
pelbagai kaum yang berjuang untuk kepentingan semua rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment