Penyandang kerusi parlimen Puchong Gobind Singh Deo mencabar pemimpin
MIC dan calon BN untuk menyatakan pendirian ekoran tindakan parti
berkenaan menamakan naib presiden PERKASA Zulkifli Noordin sebagai
calonnya untuk kerusi parlimen Shah Alam.
Cabarannya itu timbul
ekoran tuntutan dari kumpulan NGO dan parti politik mewakili masyarakat
India yang masih tidak berpuas hati dengan permohonan maaf Zulkifli atas
satu kenyataan didakwa menghina penganut Hindu.
Menurut Gobind,
keputusan BN untuk menamakan Zulkifli sebagai calon itu merupakan satu
tamparan oleh Umno kepada MIC dan juga pemimpin India lain dalam parti
tersebut.
"Pemimpin MCA dan semua calon BN mesti membuat
pendirian. Adakah mereka menyokong pencalonan Zulkifli dan pilihan
perdana menteri untuk (kerusi) Shah Alam?," kata Gobind.
Kenyataannya
itu merujuk kepada kenyataan Zulkifli dalam satu video yang antara
lainnya menceritakan perbualan pemimpin PERKASA itu dengan seorang
penjual berhala Hindu di Kuala Lumpur yang kedainya baru dilanda banjir.
Perbualan itu antaranya memuatkan persoalan sekitar kenapa tuhan di kedai itu tidak menahan air daripada memasuki kedai itu.
Zulkifli memohon maaf atas kenyataan tersebut, yang menurutnya dibuat ketika beliau taksub dengan ideologi PAS.
Kumpulan NGO mewakili masyarakat India bagaimanapun tidak berpuas hati dengan kenyataan maaf itu.
Dalam
kenyataan hari ini, Gobind turut menimbulkan mengenai kemarahan
pemimpin MIC ke atas pensyarah Universiti Pertahanan Malaysia Ridhuan
Tee Abdullah sebelum ini, atas satu tulisan yang turut mengguris
perasaan masyarakat India.
Malah, pemimpin MIC Vell Paari juga
sebelum ini mengancam untuk berkempen untuk Pakatan Rakyat sekiranya
tiada tindakan dikenakan ke atas Ridhuan.
Tulisan Ridhuan, yang disiarkan Sinar Harian
pada pertengahan Februari lalu, antara lainnya mempersoalkan perayaan
Thaipusam dan pembinaan rumah ibadat bukan Islam selepas pilihan raya
umum ke-12.
"Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak.
"Kenderaan
diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah
tidak ada warna lain lagi di negara ini," kata Ridhuan dalam tulisan
berkenaan.
Akhbar Sinar Harian terpaksa memohon maaf atas penyiaran tulisan berkenaan, namun ia tetap dipertahankan PERKASA yang berpendapat Ridhuan tidak perlu meminta maaf.
Sehubungan
itu, menurut Gobind, tindakan Najib menamakan Zulkifli sebagai 'calon
transformasi' di Shah Alam merupakan tindakan yang tidak mempedulikan
perasaan masyarakat India.
"MIC perlu menyatakan pendirian atas
perkara yang amat serius ini. Mereka tidak boleh bercakap
berdentam-dentum, dan kemudian meminta rakyat Malaysia menyokong BN.
"Jika
MIC terus berdiam diri, yang mana mereka mungkin berbuat demikian
kerana tiada keberanian untuk berdepan dengan Umno bagi mempertahankan
masyarakat India, maka Vell Paari mesti melakukan sepertimana yang
diancamnya sebelum ini, iaitu keluar dari MCA dan menggesa orang India
agar tidak menyokong BN dalam pilihan raya kali ini," katanya.-Mkini
No comments:
Post a Comment