Thursday, August 15, 2013

Jenayah musuh negara dan harus diperangi

Saya sempat merenung beberapa rencana dan kenyataan media yang ditulis saya ketika saya mula menceburi bidang politik pada tahun 2005. Terkejut saya apabila saya mendapat tulisan-tulisan saya pada masa itu masih lagi relevan pada masa sekarang.

Maksudnya ialah selepas lebih kurang lapan tahun, dua Perdana Menteri dan barangkali dua hingga tiga Pilihanraya Umum (PRU), keadaan pada tahun 2005 tidak banyak bertambah baik pada masa sekarang.

Malahan sekiranya pemimpin-pemimpin politik dan media ingin menulis atau membuat liputan terhadap masalah jenayah di Malaysia, tiada banyak poin baru yang boleh dibangkitkan.

Cuma satu fenomena baru yang agak menarik ialah masalah jenayah semakin mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia. Saya masih ingat pada tahun 2005, masalah ini lebih diberi perhatian oleh media Bahasa Cina dan kaum Cina dan ianya lebih relevan untuk penduduk-penduduk di bandar-bandar besar Lembah Klang dan Johor Bahru.

Kini, masyarakat India dan Melayu juga sangat prihatin terhadap masalah jenayah dan saya kira ini ialah perkembangan yang baik. Perkara ini tidak mungkin berlaku jikalau beberapa kes jenayah berprofil tinggi tidak berlaku. Antaranya ialah pembunuhan pengasas Arab Malaysian Bank (AmBank), Hussain Ahmad Najadi pada 29 Julai 2013 yang ditembak mati di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, rumah Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Jalan Setiabistari, Bukit Damansara dipecah masuk tiga pencuri pada 29 Jun 2013. Malahan sebelum ini, pernah juga dilaporkan tentang banyak kes pecah rumah yang berlaku di rumah-rumah Menteri, pemimpin-pemimpin dan saudara-masa pemimpin UMNO sebelum ini.

Kes terbaru yang mengejutkan kita ialah pistol seorang anggota polis dirompak di Shah Alam beberapa hari yang lalu. keyakinan orang ramai terhadap keupayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menjada keselamatan orang ramai semakin terhakis dengan laporan-laporan negatif seperti ini. Betul kata Khairy Jamaluddin, masalah jenayah di Malaysia bukan semata-mata persepsi, tetapi satu isu yang sebenar.

Ramai penduduk di Malaysia telah mula mendirikan komuniti berpagar dan berpengawal (Gated and Guarded Community) di tempat mereka. Tren ini bermula di Lembah Klang pada pertengahan tahun 2000-an dan kemudiannya bertumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara. Adakah cara ini berkesan mengurangkan kadar jenayah? Pada pendapat saya, ianya tidak berkesan.

Terdapat dua sebab mengapa saya berpendapat sedemikian. Sebab pertama ialah walaupun komuniti berpagar dan berpengawal mampu mengurangkan kes pecah masuk dan rompak di sesebuah komuniti, ianya tidak membantu mengurangkan kadar jenayah keseluruhannya. Contohnya, anda barangkali berasa selamat di rumah anda yang terletak di dalam komuniti berpagar dan berpengawal, tetapi apabila anda melangkah keluar dari rumah anda untuk membeli-belah di kedai, pasar atau menjamu selera di restoran yang berdekatan, anda terdedah kepada risiko jenayah yang lebih tinggi.

Komuniti berpagar dan berpengawal dalam situasi ini hanya “menghalau” penjenayah keluar daripada kawasan yang telah dipagarkan tetapi ianya tidak menghapuskan kegiatan jenayah sama sekali.

Kedua, skim ini memerlukan kerjasama daripada penduduk-penduduk. Dalam keadaan di mana kes jenayah dan pecah rumah masih boleh berlaku di dalam sesebuah komuniti berpagar dan berpengawal, ianya mampu mengikis keyakinan dan keberkesanan penduduk terhadap skim ini dan seterusnya menjejaskan penyertaan penduduk.

Ketiga, cara merompak penjenayah semakin ganas. Kalau pada masa dahulu mereka menggunakan senjata ringan seperti pisau. Kini mereka menggunakan parang, kapak malahan pistol untuk merompak. Kalau pada masa dahulu mereka datang bermotosikal, kini mereka datang bergeng-geng dalam kereta. Pengawal-pengawal keselamatan biasa memang tidak dapat menangkis mereka. Pernah berlaku dalam kawasan saya di mana pengawal-pengawal keselamatan terpaksa melarikan diri apabila dikasari oleh perompak-perompak ini.

Jadi, bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah ini? Jawapannya masih berada di tangan PDRM. Kita telah membongkarkan kepincangan dalam pengurusan sumber manusia pasukan PDRM tidak lama yang lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengatakan bahawa daripada 112,583 anggota polis hanya 10,150 anggota sahaja yang memerangi jenayah iaitu hanya sembilan peratus. Di beberapa bandar di Lembah Klang, nisbah anggota polis kepada penduduk mencecah 1:500, jauh lebih tinggi daripada piawai antarabangsa iaitu 1:250.

Dua cadangan utama untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan menubuhkan pasukan polis bantuan dan menghantar lebih ramai anggota polis, seperti Pasukan Gerak Am (PGA), Cawangan Khas dan sebagainya untuk memerangi jenayah.

Respons Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tentang kedua-dua cadangan ini agak menghampakan. Beliau hanya membenarkan penubuhan pasukan polis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menjaga premis MBPJ sahaja. Ini menyimpang jauh daripada tujuan asal menubuhkan pasukan polis bantuan MBPJ yang asal, iaitu untuk membantu meronda kawasan-kawasan jenayah.

Dalam isu kekurangan anggota PDRM, Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bersikap lebih defensif, di mana mereka menyalahkan pemansuhan Emergency Ordinance di mana penjenayah-penjenayah dibebaskan dan menyebabkan kes pembunuhan meningkat.

Sindrom penafian (Denial Syndrome) ini telah menyebabkan masalah kekurangan anggota polis untuk menangani kes-kes jenayah terus tidak diendah. Saya kira masanya sudah sampai agar kerajaan persekutuan dan PDRM untuk bersikap think outside the box dan kreatif untuk memerangi jenayah.
Ya, ini ialah satu peperangan menentang jenayah dan segala tindakan yang harus dan boleh dilakukan untuk mengurangkan jenayah harus dilaksanakan segera. Janganlah ianya digagalkan oleh birokrasi-birokrasi remeh ciptaan manusia sendiri.

Lau Weng San
Setiausaha Organisasi Negeri DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

Wednesday, August 7, 2013

Biro Undang-undang DAP perlu meneliti lebih 200 laporan Utusan yang menyerang DAP

Biro Undang-undang DAP yang diketuai oleh Ahli Parlimen DAP untuk Puchong Gobind Singh Deo perlu meneliti lebih 200 laporan dan rencana dalam Utusan Malaysia yang menyerang DAP sejak Januari lalu untuk mengemukakan beberapa saman terhadap akhbar Umno itu.

Dalam laporan dan rencana yang diterbitkannya, Utusan Malaysia telah berulang-kali menyebarkan pembohongan dan kepalsuan tentang DAP dan pimpinan DAP, terutamanya berkenaan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semasa Kongres Kebangsaan DAP bulan Disember lalu, tanpa mempedulikan prinsip-prinsip asas kewartawanan yang berkaitan dengan etika, kejujuran dan kebenaran.

Serangan yang diarahkan oleh “war room” Umno/BN dengan tujuan memburuk-burukkan dan memusnahkan DAP ini mencapai kemuncaknya pada bulan April, sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke-13, dan walaupun rentaknya menjadi perlahan selepas pilihanraya umum Mei lalu, momentumnya meningkat kembali pada bulan Jun dan Julai, sehinggalah Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

Walaupun Pendaftar Pertubuhan tidak mengemukakan sebarang alasan kepada DAP mengapa ia mahu pemilihan semula CEC diadakan, dua tuduhan palsu telah ditonjolkan dalam Utusan sejak enam bulan lalu untuk menghalalkan tindakan RoS:
  1. Bahawa 753 perwakilan DAP tidak diberikan notis tentang Kongres DAP dan dinafikan hak untuk memilih CEC baru.
  2. Bahawa Kongres DAP Disember lalu telah disertai oleh 547 perwakilan hantu yang sebahagian besarnya dari Pulau Pinang dan mengundi dalam kongres berkenaan
Arahan RoS untuk mengadakan pemilihan semula CEC itu boleh difahami jika salah satu dari dua dakwaan itu adalah benar. Tetapi kedua-duanya adalah pembohongan yang nyata.

Ketua Pengarah RoS Datuk Abdul Rahman Othman secara terbuka telah menyebut pada awal tahun ini bahawa beliau hanya boleh mengarahkan supaya pemilihan semula CEC diadakan jika ada “bukti kukuh” tentang percanggahan dalam proses pemilihan.

Tuduhan liar “753” dan “547” itu terbukti sebagai pembohongan, maka apa “bukti kukuh” yang Pendaftar Pertubuhan miliki untuk menghalalkan arahannya supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah

Tuesday, August 6, 2013

Sistem PBS membebankan guru-guru

Kementerian Pendidikan Malaysia harus membuat kajian semula mengenai Sistem Pentaksiran Sekolah (PBS) yang sebenarnya tidak praktikal dan amat membebankan guru-guru. Kementerian Pendidikan harus mengakui kelemahan sistem PBS ini dan mengambil langkah-langkah postif untuk mengubahnya.

Daripada jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat didapati kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk menyemak semula sistem ini. Pendekatan kerajaan yang defensif ini akan merugikan negara jika tidak ditangani dengan betul. Kerajaan harus menjalankan kaji selidik atau survey dengan semua guru-guru yang terlibat dan mengetahui keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran sistem PBS ini. Walau bagaimanapun, kerajaan telah gagal untuk menjalankan kaji seledik ini.

Kerajaan tidak sepatutnya memperkenalkan satu sistem yang tidak disukai oleh majoriti pelaksana dasar iaitu guru-guru itu sendiri. Hampir semua guru merungut bahawa sistem PBS ini amat membebankan kerja harian mereka. Sistem PBS ini nyata sekala tidak disukai oleh guru-guru yang terlibat secara langsung dalam melaksanakanya. Ini akan menurunkan moral dan motivasi guru-guru dalam tempoh jangka panjang. Justeru, kualiti pendidikan negara akan turut terjejas jika guru-guru tidak berpuas hati dengan sistem yang rumit dan amat menyusahkan ini.

Menteri Pendidikan berpendapat sistem PBS tidak membebankan guru-guru jika mereka memahami konsep PBS dengan betul. Dikatakan bahawa guru-guru kurang memahami tentang cara untuk melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Menteri Pendidikan juga menuduh bahawa guru-guru menghadapi kesukaran membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan untuk menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.

Ini adalah tidak benar kerana masalah ini bukan dihadapi oleh segelintir guru-guru sahaja. Kalau kaji selidik dibuat dengan telus, saya pasti sebahagian besar daripada guru-guru yang berpengalaman juga tidak akan bersetuju dengan sistem PBS ini.

Guru-guru mengadu bahawa Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) adalah amat sukar untuk diakses. Ini merupakan salah satu masalah yang amat membebankan guru-guru. Sering kali mereka terpaksa mengakses SPPBS pada larut malam atau awal pagi , sebagai contoh 3.00am atau 4.00am untuk membuat kerja-kerja mengemaskini data. Ini menjadi satu tekanan dan seterusnya boleh menjejaskan kesihatan mereka. Tambahan pula, mereka terpaksa mengajar di sekolah pada keesokan hari. Sudah pasti ini akan meruntuhkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Kementerian Pendidikan telah cuba mengatasi masalah ini dengan menyediakan hosting khas yang berasingan bagi SPPBS serata menambahkan 20 buah server untuk mengurangkan kekesakan pengguna yang ramai. Tetapi adakah ini telah mengurangkan kesulitan guru-guru ini? Sehingga hari ini guru-guru masih mengadu bahawa SPPBS ini merupakan satu beban kepada mereka. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil langkah yang prihatin terhadap guru-guru yang merupakan anggota perkhidmatan awam yang paling ramai di Malaysia.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah

Sunday, August 4, 2013

Apabila pembohongan menjadi kebenaran........

Kewartawanan Malaysia dalam negara Umno/BN mencapai “kemuncak” baru di peringkat antarabangsa apabila pembohongan menjadi kebenaran dan khayalan menjadi dikemukakan sebagai kenyataan.

Akhbar Harian milik Umno, Utusan Malaysia, menjadi contoh bagi “transformasi” kewartawanan Malaysia kelmarin apabila ruangan komentar rasminya, “Bisik-Bisik”, yang ditulis oleh Awang Selamat, iaitu nama samaran bagi pusat perang saraf Umno-Utusan, telah melancarkan satu lagi serangan terhadap DAP yang telah meminta Pendaftar Pertubuhan menyatakan sebab mengapa ia memutuskan untuk mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti.

Kata Awang Selamat: "Awang teringat desakan orang politik termasuk bekas orang DAP sendiri yang mahukan DAP mengadakan semula pemilihan CEC ekoran dakwaam berlaku penyelewengan dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan."

Pembohongan tentang 547 perwakilan hantu di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu, dengan dakwaan lebih mengarut bahawa semua 547 perwakilan hantu itu datang dari Pulau Pinang, adalah salah satu kepalsuan paling jelek pernah direka oleh wartawan-wartawan yang menjadi soldadu perang saraf Umno/BN. Mereka tidak memerlukan walau pun secebis bukti. Para propagandis Umno/BN ini berharap kepalsuan itu boleh diterima oleh rakyat Malaysia dengan cara menerapkan doktrin Goebble, menteri propaganda Nazi, yang menyatakan bahawa jika pembohongan diulang seribu kali, ia akan menjadi satu fakta.

DAP dan rakyat Malaysia berhak untuk tahu sama ada pembohongan tentang “547 perwakilan hantu DAP” di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu adalah salah satu sebab mengapa Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan arahan kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC dan, jika bukan, apakah sebab RoS mengeluarkan arahan sedemikian.

DAP bersedia mengadakan semula pemilihan CEC jika Ketua Pengarah RoS boleh memberikan sebab yang munasabah dan bukannya berasaskan pembohongan dan kepalsuan yang direka oleh Skuad Perang Saraf Goebbel Umno/BN, terutama oleh cawangannya di Utusan Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah