Kementerian Pendidikan Malaysia harus membuat kajian semula mengenai
Sistem Pentaksiran Sekolah (PBS) yang sebenarnya tidak praktikal dan
amat membebankan guru-guru. Kementerian Pendidikan harus mengakui
kelemahan sistem PBS ini dan mengambil langkah-langkah postif untuk
mengubahnya.
Daripada jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat didapati kerajaan
tidak mempunyai hasrat untuk menyemak semula sistem ini. Pendekatan
kerajaan yang defensif ini akan merugikan negara jika tidak ditangani
dengan betul. Kerajaan harus menjalankan kaji selidik atau survey dengan
semua guru-guru yang terlibat dan mengetahui keberkesanan kaedah
pengajaran dan pembelajaran sistem PBS ini. Walau bagaimanapun, kerajaan
telah gagal untuk menjalankan kaji seledik ini.
Kerajaan tidak sepatutnya memperkenalkan satu sistem yang tidak
disukai oleh majoriti pelaksana dasar iaitu guru-guru itu sendiri.
Hampir semua guru merungut bahawa sistem PBS ini amat membebankan kerja
harian mereka. Sistem PBS ini nyata sekala tidak disukai oleh guru-guru
yang terlibat secara langsung dalam melaksanakanya. Ini akan menurunkan
moral dan motivasi guru-guru dalam tempoh jangka panjang. Justeru,
kualiti pendidikan negara akan turut terjejas jika guru-guru tidak
berpuas hati dengan sistem yang rumit dan amat menyusahkan ini.
Menteri Pendidikan berpendapat sistem PBS tidak membebankan
guru-guru jika mereka memahami konsep PBS dengan betul. Dikatakan bahawa
guru-guru kurang memahami tentang cara untuk melaksanakan pentaksiran
seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Menteri Pendidikan
juga menuduh bahawa guru-guru menghadapi kesukaran membina instrumen
pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan
kebiasaan untuk menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk
kertas dan pensel.
Ini adalah tidak benar kerana masalah ini bukan dihadapi oleh
segelintir guru-guru sahaja. Kalau kaji selidik dibuat dengan telus,
saya pasti sebahagian besar daripada guru-guru yang berpengalaman juga
tidak akan bersetuju dengan sistem PBS ini.
Guru-guru mengadu bahawa Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) adalah amat
sukar untuk diakses. Ini merupakan salah satu masalah yang amat
membebankan guru-guru. Sering kali mereka terpaksa mengakses SPPBS
pada larut malam atau awal pagi , sebagai contoh 3.00am atau 4.00am
untuk membuat kerja-kerja mengemaskini data. Ini menjadi satu tekanan
dan seterusnya boleh menjejaskan kesihatan mereka. Tambahan pula,
mereka terpaksa mengajar di sekolah pada keesokan hari. Sudah pasti ini
akan meruntuhkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Kementerian Pendidikan telah cuba mengatasi masalah ini dengan
menyediakan hosting khas yang berasingan bagi SPPBS serata menambahkan
20 buah server untuk mengurangkan kekesakan pengguna yang ramai. Tetapi
adakah ini telah mengurangkan kesulitan guru-guru ini? Sehingga hari ini
guru-guru masih mengadu bahawa SPPBS ini merupakan satu beban kepada
mereka. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil langkah yang
prihatin terhadap guru-guru yang merupakan anggota perkhidmatan awam
yang paling ramai di Malaysia.
No comments:
Post a Comment