Kuala Terengganu - Usaha para cendekiawan, pejuang bahasa, golongan profesional, parti-parti politik, ibubapa dan semua pihak yang tidak bersetuju dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kini berada dikemuncaknya.
Himpunan 100,000 rakyat dalam Gerakan Memansuhkan PPSMI pada 7 Mac 2009 ini di Istana Negara perlu digembelingkan dengan padu agar rakyat disemua lapisan masyarakat bersatu.
Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing turut mengajak rakyat semua lapisan kaum, cendikiawan dan para ibubapa dapat hadir beramai-ramai membantah dasar PPSMI tersebut.
Katanya, DAP sejak dari awal pelaksanaan dasar itu lagi tidak bersetuju kerana boleh menjejaskan prestasi para pelajar.
“Kita (DAP) tidak setuju sejak dari awal lagi dan bantahan demi bantahan dibuat kepada pihak kerajaan langsung tidak ada ‘respon’ (tindak-balas).
“PPSMI boleh jejas prestasi pelajar dalam kedua-dua subjek (Sains dan Matematik) tetapi kerajaan degil dan teruskan dasar itu,” jelasnya kepada Harakah.
Menurutnya, tindakan GMP menganjurkan Himpunan 100,000 itu bagi menyatakan sokongan rakyat tidak bersetuju dengan dasar yang merugikan semua pihak.
Justeru itu, katanya kerajaan Barisan Nasional hanya boleh diajar dengan kuasa rakyat dan melalui bahasa undi dalam pilihan raya.
No comments:
Post a Comment