KUALA TERENGGANU, 8 Sept (Bernama) -- MCA Terengganu tidak menggalakkan anggotanya untuk memberi sokongan atau menurunkan tandatangan kepada mana-mana pihak sebagai tanda sokongan sehinggalah mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan.
Pengerusinya, Toh Chin Yaw berkata Terengganu sebagai sebuah negeri yang tidak mempunyai anggota parti yang ramai, sokongan secara terbuka itu di sini akan hanya menimbulkan kesulitan kepada mereka.
"Jadi kami berharaplah, anggota parti di Terengganu tidak menyebelahi mana-mana pihak sehingga menjadikan keadaan anggota di sini menjadi tidak harmoni dan stabil," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan topeng muka bagi mencegah wabak Influenza A (H1N1) kepada orang ramai di sini pada Selasa.
Toh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri berkata beliau memberi kebebasan kepada anggotanya untuk membuat pilihan apabila EGM MCA diadakan nanti.
"Kami percaya semua perwakilan cukup matang dan mereka mampu membuat keputusan yang betul pada mesyuarat yang akan diadakan itu nanti," katanya.
MCA ketika ini sedang menunggu tarih untuk diadakan EGM, dengan keputusan untuk mengadakan hanya satu atau dua EGM masih belum dimuktamadkan; selepas pihak yang menyokong Timbalan Presiden yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata mereka mungkin akan meneruskan dengan EGM mereka sekiranya tidak berpuas hati dengan agenda EGM yang diusulkan oleh Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment