Thursday, July 26, 2012

BERSIH 2.0: Bersih pertubuhan sah, kerajaan BN perlu mohon maaf

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kerajaan BN perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah mengharamkan BERSIH 2.0 dan melakukan tindakan ganas terhadap perhimpunan aman Julai tahun lalu, setelah terbukti sekarang bahawa BERSIH adalah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Rohana Yusof kelmarin telah memutuskan bahawa BERSIH 2.0 merupakan pertubuhan yang sah.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, telah tiba masanya kerajaan BN  menghentikan semua dendam dan tomahan tidak berasas yang mengatakan bahawa BERSIH mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

“Hishammuddin dan kerajaan BN perlu bertindak lebih rasional, matang dan demokratik serta dapat melibatkan diri secara positif dengan BERSIH dalam tuntutan am untuk memastikan Malaysia menikmati sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

“Tetapi, mampukah Datuk Seri Hishammuddin Hussein berani mewakili Barisan Nasional dalam satu perjanjian yang positif dan konstruktif bersama dengan BERSIH? Jika tidak, ia bererti negara ini memerlukan seorang Menteri Dalam Negeri yang baru yang mampu berdialog dengan BERSIH daripada bertempur dengan ancaman halimunan,” ujar beliau.

Beliau turut mengulas kenyataan bekas menteri Tan Sri Syed Hamid Albar yang disifatkannya tidak layak untuk memberi nasihat kepada Hishammuddin agar tidak perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

“(Syed Hamid) sendiri masih belum memohon maaf di atas insiden September 2008 di mana ketika itu menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri kerana menyalahgunakan kuasa menahan orang tidak bersalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Pada masa itu wartawan akhbar Sin Chew, Tan Hoon Cheng telah ditahan di bawah ISA semata-mata kerana satu berita yang ditulisnya, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok yang menjadi mangsa fitnah lidash rasmi UMNO, Utusan Malaysia, dan blogger Raja Petra Kamarudin.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berharap pihak polis tidak dijadikan alat oleh kerajaan BN untuk mengekalkan kuasa UMNO-BN dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Pihak polis perlu mengambil pendirian neutral dan tidak berbelah bagi dalam keputusan pilihan raya umum akan datang dengan mengambil kira keutamaan bidang kuasa dan fungsi asas pihak polis seperti mengurangkan kadar jenayah, membasmi rasuah dalam pasukan polis dan untuk mendukung dan melindungi hak-hak asasi manusia.

“Semua usaha baik itu sudahpun dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Dzaiddin 2005 bagi memperbaiki dan mengemaskinikan petadbiran dan tindakan adil pihak polis,” jelas beliau. – Roketkini.com

No comments: