Pada hari ini, tiga tahun lalu, pegawai MACC telah datang ke pejabat
kita. Mereka bawa kamu pergi, tanpa memberi peluang untuk kamu ucapkan
selamat tinggal. Tidak kami bayangkan, itu kali terakhir kami menatap
wajah kamu.
Hari ini, tiga tahun telah berlalu sejak perpisahan terakhir itu.
Dalam tiga tahun ini, kami telah jenuh mencari kebenaran di sebalik
kematian kamu. Kami lalui proses hiba bedah siasat dan inkues di
mahkamah. Kami bertabah melalui proses Suruhanjaya Siasatan DiRaja. Kami
menanti penuh seksa, namun semuanya sia-sia belaka. Akhirnya kami
terima laporan yang tidak sepenuhnya benar berkata-kata.
Laporan itu mengatakan kamu 'terdorong sehingga membunuh diri',
apalah mengarut dan dangkalnya kesimpulan itu. Kami tidak boleh menerima
konklusi menentang logika seperti itu. Kami masih ingat, sewaktu SPRM
membawa kamu pergi, kamu sedang sibuk bersiap-siap untuk perkahwinan
kamu.
Saya telah bersetuju untuk hadir majlis perkahwinan kamu itu.
Teman-teman kamu sudah siap sedia untuk menjadi 'adik beradik' pada
upacara menjemput pengantin perempuan. Semua orang riang gembira
memikirkan tentang kamu yang akan menjadi seorang suami dan ayah.
Tidak pula kami tahu, sejarah sedang bergurau dengan kami. Gurauan yang kejam dan menyakitkan.
Saya tidak boleh membayangkan penderaan mental dan emosi yang kamu
lalui pada saat-saat akhir kamu di dunia ini. Ia pastinya kesakitan yang
tidak mampu dilalui oleh sesiapapun. Di saat kamu memerlukan kami, kami
tidak dapat bersama kamu. Kamu lalui semuanya sendiri.
Perjalanan hidup kamu seharusnya tidak terhenti dengan sekelip
mata. Kamu ada pilihan. Kamu boleh memilih untuk bekerjasama dengan
perancangan SPRM. Memilih untuk berbuat begitu pastinya membunuh
demokrasi, tapi sekurang-kurangnya kamu akan menyelamatkan nayawa
sendiri.
Tetapi kamu memilih untuk tidak bersekongkol. Kamu gunakan jiwa
raga kamu sendiri untuk mempertahankan kebebasan dan demokrasi di negara
ini. Kerana pengorbanan kamu itu, kerajaan negeri Selangor tidak
digulingkan pihak lawannya. Kami hari ini menikmati hasil pentadbiran
yang baik. Tetapi keluarga kamu, isteri dan anak kamu, kawan-kawan kamu,
kehilangan kamu buat selama-lamanya.
Beng Hock, kami tidak akan melupakan pengorbanan kamu. Kami tidak
lupakan kenangan indah kita bersama. Telah menjadi satu rahmat bagi saya
untuk berpeluang bekerja dengan kamu. Saya amat berterima kasih untuk
segala yang telah kamu lakukan, dan saya rindukan hari-hari yang kita
habiskan merantau dan beruang untuk demokrasi.
Beng Hock, kami akan terus bekerja keras sehingga bertemu kebenaran
dan keadilan ditegakkan. Kami tidak akan undur sehingga kamu mendapat
keadilan daripada masyarakat dan negara ini.
Beng Hock, kami berjanji pengorbanan kamu tidak akan sia-sia. Kami
akan membina negara yang lebih baik. Negara di mana rakyatnya tidak
perlu takut kepada sebarang penganiayaan dan kehilangan nyawa. Negara
yang dapat kita semua banggakan. Negara di mana Er Jia dan kanak-kanak
lain akan membesar dengan gembira.
Beng Hock, hari ini saya bercakap bagi pihak seluruh rakyat
Malaysia yang mendambakan demokrasi dengan mengucapkan, terima kasih.
(dibaca oleh Ean Yong Hian Wah) pada hari Ahad, 15hb Julai 2012
No comments:
Post a Comment