Monday, July 23, 2012

Cawangan Sudah Menyusup Dalam Umno!

DAP mengecam BN kerana menggunakan Cawangan Khas polis sebagai alat politik untuk melemahkan keyakinan awam terhadap PR supaya membantu kemenangan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang. Ketua penolong pengarah E2(M) dalam Bahagian ancaman ekstremis sosial Cawangan Khas Mohd Sofian Md Makinuddin telah dilaporkan pada hari Khamis oleh agensi berita negara Bernama sebagai berkata bahawa terdapat elemen JI yang cuba menyusup masuk PAS sementara elemen komunis cuba menyusup ke dalam DAP.

DAP tidak mempunyai pengetahuan tentang penyusupan komunis dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan elemen komunis. Dengan memilih untuk membuat pengumuman awam tanpa terlebih dahulu memaklumkan pucuk pimpinan DAP, Mohd Sofian dan Cawangan Khas berkelakuan tidak profesional dan tidak bertanggungjawab. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan oportunis politik oleh Cawangan Khas untuk membuat serangan tidak berasas ke atas DAP tanpa menunjukkan bukti.

Adakah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berani untuk mengarahkan Cawangan Khas untuk menunjukkan bukti kepada rakyat bagaimana komunis telah menyusup ke dalam DAP? Jika Hishamuddin gagal melakukan demikian, maka sebenarnya Cawangan Khas yang sudah disusup oleh UMNO! Taktik terdesak ini tidak berbeza daripada UMNO yang mempersoalkan kesetiaan DAP terhadap Malaysia walaupun tiada pemimpin DAP yang telah mendapatkan status Penduduk Tetap Australia seperti seorang Menteri MCA.

Kenapakah Cawangan Khas polis masih lagi ingin melawan komunis sedangkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor dan bukan PR yang telah menandatangani perjanjian keamanan dengan Parti Komunis Malaya pada 2 Disember 1989? Jika Cawangan Khas ingin sangat melawan komunis, mereka patut berasa malu kerana gagal melaksanakan tugas dengan mengambil tindakan terhadap Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Bukankah sepatutnya Khairy Jamaluddin ditangkap dan didakwa kerana ingin memulihkan komunisme dengan menubuhkan sekretariat tetap pada 12 Oktober 2009 yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Pemuda Komunis China (CYL)? Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin telah berkata bahawa sekretariat tetap itu akan membolehkan program-program dua hala yang berterusan untuk mengeratkan hubungan antara dua entiti tersebut.

Berbanding dengan dakwaan susupan komunis ke dalam DAP, sekretariat tetap antara CYL dan Pemauda UMNO adalah hubungan langsung yang dilakukan secara disedari dengan persetujuan penuh Khairy Jamaluddin. Pegawai atasan Cawangan Khas seperti Mohd Sofian harus letak jawatan kerana gagal bertindak terhadap Khairy dan Pemuda UMNO yang menjalin hubungan langsung dengan CYL tetapi sebaliknya memilih untuk mencari bayang-bayang komunis yang tidak wujud dalam DAP.

Malah apabila para pemimpin DAP ditahan tanpa bicara di bawah ISA, tiada satu pun yang didakwa dengan hubungan komunis. Cawangan Khas juga tidak menentang penjalinan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia bukan sahaja dengan China tetapi juga dengan rejim-rejim Marxis seperti Cuba. Adalah jelas bahawa cubaan untuk mengaitkan DAP dengan komunis ini adalah satu muslihat politik pilihan raya untuk menakutkan orang Melayu untuk menyokong UMNO dan BN.

Kempen memburuk-burukkan oleh Cawangan Khas terhadap DAP ini adalah sebahagian daripada taktik 3D UMNO iaitu denial (penafian hubungan komunis mereka sendiri), dirty tactics (taktik kotor untuk menakut-nakutkan pengundi) dan deception (penipuan untuk menghubungkan PR dengan puak pelampau dan komunis). Taktik terdesak ini tidak lagi berguna kerana rakyat tidak mahu hidup dalam kegelapan. Rakyat ingin hidup dalam pencerahan dengan martabat keinsanan, integriti, kebebasan maklumat, kebenaran, keadilan dan demokrasi.

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng in Kuala Lumpur pada hari Ahad, 22hb Julai 2012

No comments: