Saya berasa amat kesal membaca laporan berita tentang insiden
serangan ganas ke atas sekumpulan mahasiswa daripada Gerakan Mahasiswa
PRU-13 di Pekan, Pahang.
Dalam petikan media, wakil kumpulan mahasiswa tersebut, Ekhsan
Bukhari, telah berkata bahawa kejadian itu berlaku semasa mereka sedang
mengedar risalah, di mana “tiba-tiba kumpulan 100 samseng di kalangan
ahli-ahli Umno Bahagian Pekan mengepung kami. Ada yang kena sepak,
tampar, terajang. Mahasiswi pula kena tarik tudung.”
Budaya politik samseng ini amat keji dan memperlihatkan didikan dan
kapasiti minda yang dangkal, apatah lagi apabila ia berlaku di Pekan,
iaitu kawasan Parlimen Perdana Menteri sendiri. Tidakkah ini memalukan
Perdana Menteri, apabila siswa-siswi yang tidak bersalah telah disepak
terajang malah ada siswi yang dilaporkan ditarik tudungnya?
Sebagai Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak sepatutnya
bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak buahnya untuk berhujah dengan
akal. Sebaliknya, mereka hanya mampu menganiaya sekumpulan anak muda
dengan kekerasan.
DAP menghormati hak mahasiswa yang ingin menyertai proses demokrasi
secara langsung, serta hak mereka untuk menyuarakan sebarang bantahan
dan tuntutan melalui apa cara sekalipun selagi ia tidak melanggar
undang-undang. Lagipun, pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej
Universiti di Parlimen tahun lalu tambah mengabsahkan hak mahasiswa
untuk berpolitik.
Saya memandang budaya politik UMNO ini sebagai ketinggalan zaman dan
mewajarkan lagi kejatuhan mereka daripada persada politik tanah air.
Budaya politik samseng ini mesti ditolak, dan UMNO wajar mendidik
penyokong-penyokongnya untuk menghormati demokrasi dan berlawan politik
secara beradab. Cabaran politik harus disahut dengan hati dan dada yang
lapang dan bukan dengan keganasan.
Saya menyeru kepada Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak,
supaya memperbetulkan kesilapan anak-anak buahnya dan meminta maaf
kepada para mahasiswa yang telah dianiaya dengan keganasan yang
melampau.
No comments:
Post a Comment