Wednesday, February 6, 2013

Peruntukan tambahan RM120 juta bukti SYABAS gagal urus air di Selangor


SHAH ALAM, 4 FEB: Peruntukan tambahan RM120 kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan syarikat kroni UMNO/BN itu gagal menguruskan penyaluran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendakwa peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah dana “menyelamatkan” SYABAS itu kini berjumlah RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

“Peruntukan tambahan syarikat itu tiada kaitan dengan keperluan untuk penyaluran air daripada Projek Langat 2.

“Sebaliknya, ia bukti krisis itu disengajakan oleh SYABAS untuk menaik taraf loji rawatan, membina kapasiti air tambahan yang dirawat serta membaiki dan menggantikan paip lama dan pecah.

“Dengan peruntukan RM120 juta itu ia menunjukkan krisis itu dapat diatasi jika SYABAS melabur dana sendiri untuk usaha ini sejak awal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan tiada kewajipan untuk menyediakan geran atau pinjaman kepada SYABAS untuk menaiktaraf infrastruktur air.

Menurutnya, peruntukan RM120 juta kepada SYABAS itu bukan geran kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat di negeri itu tetapi satu skim untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.
Beliau seterusnya menyenaraikan dana yang didakwa disalurkan kerajaan BN untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.

“Pada Disember 2009, kerajaan memberi pinjaman mudah RM320.8 juta selama 20 tahun kepada SYABAS.

“Pada Oktober 2011, kerajaan BN sekali lagi memberi pinjaman RM110 juta selama 20 tahun kepada SYABAS untuk tujuan sama,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan BN sekali lagi menyelamatkan SYABAS dengan mengambil alih keseluruhan bon SYABAS sebanyak RM2.9 bilion yang tertunggak.

Tony Pua berkata, ini bermakna jumlah dana yang terkumpul setakat ini ialah RM3.41 bilion.

“Sehingga kini, Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin masih belum mendedahkan sama ada SYABAS sudah membayar bon penyelamat RM2.9 bilion oleh kerajaan Persekutuan itu,” katanya. – Roketkini.com

No comments: