Monday, September 9, 2013

Agenda perkauman UMNO/BN bakal binasakan Malaysia

Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt mengingatkan semua pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya berhenti memperjudikan keharmonian negara semata-mata akibat tamak dan pentingkan diri demi meraih populariti politik.

Ia berikutan keghairahan mereka memainkan satu demi satu isu perkauman sehingga menyebabkan rakyat pelbagai kaum negara ini berasa tidak selesa dan terus dibohongi.

“Adakah kita mahu hidup dalam keadaan syak wasangka dan benci? Adakah ini yang BN mahu?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun hanya selepas empat bulan pilihan raya berakhir dengan kemerosotan majoriti, BN tetap meneruskan propaganda perkauman jahat mereka dengan menayangkan filem Tanda Putera yang menelan belanja RM4.8 juta.

“Filem ini benar-benar menyeleweng daripada fakta sejarah sebenar dan tidak bertanggungjawab. Ia mampu menyebarkan kebencian antara kaum apa lagi DAP telah terang-terang diburukkan dalam filem ini,” ujar beliau.

Melahirkan rasa gusar dan kecewa, Stephen Wong berkata, walaupun Malaysia sudah mencecah 50 tahun 16 September ini dan mencapai kemerdekaan ke-56, penerusan agenda propaganda yang disokong kerajaan BN ini akhirnya memudaratkan hubungan antara kaum di Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia kita harus ingat. Agenda perkauman perlu kita hapuskan kerana Malaysia adalah negara milik kita semua dan menjadi satu kewajipan setiap warga mempertahankan keharmonian dan berpegang pada perlembagaan.

“Kita mahu, keharmonian, kemajmukan dan kepelbagaian yang kita ada hari ini tidak sekadar kosmetik,” ujar beliau.-Roketkini.com

No comments: