Thursday, September 5, 2013

Zairil kecewa Tanda Putera remehkan jasa Tun Razak

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang sudah menonton filem Tanda Putera sangat kecewa dengan kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang menuduh DAP menentang kerana logo parti itu jelas dipapar dalam babak rusuhan kaum dalam filem kontroversi 13 Mei 1969 itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak berpuas hati kerana filem itu tidak begitu banyak berpunca daripada hakikat cemuhan terhadap DAP walaupun logo parti DAP jelas dalam kebanyakan adegan rusuhan kaum, tetapi tidak berkait langsung antara DAP dan rusuhan itu.

“Ini adalah kerana saya menjangkakan penyelewengan realiti ini, sebagaimana DAP sentiasa dimangsakan dengan pelbagai tohmahan sejak kebelakangan ini, khususnya mengenai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Disember tahun lalu.

“Saya juga tidak terkejut dengan gambaran tidak adil dan berat sebelah terhadap masyarakat Cina sebagai pencetus utama rusuhan kaum. Itu juga telah dijangka, memandangkan filem ini dibiayai sepenuhnya oleh geran RM4.8 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC). Lagipun, perangkap perkauman dan provokasi adalah modal harian media arus perdana yang dikuasai Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, apa yang paling mengejut dan mengecewakan beliau adalah hakikat di sebalik jumlah wang yang dilaburkan sedangkan filem itu gagal dalam objektif utamanya menghormati dan memuliakan pencapaian sebenar Allahyarham Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, Perdana Menteri kedua yang juga dikenali sebagai Bapa Pembangunan adalah gelaran penghormatan yang mencerminkan usaha Tun Razak dalam memperjuangkan reformasi tanah besar-besaran yang dilaksanakan pada 1960-an dan awal 1970-an.

“Di bawah kepimpinan Allahyarham, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) dibentuk yang akhirnya membawa kepada pembangunan luar bandar yang pesat dan pembandaran besar-besaran orang Melayu. Melalui FELDA, Melayu luar bandar ditempatkan semula ke kawasan pembangunan baru dan dikurniakan tanah bagi membolehkan mereka membabitkan diri dalam pertanian moden. UDA pula ditugaskan untuk memudahcarakan migrasi Melayu ke bandar,” tambahnya.

Menurut Zairil, hasil daripada inisiatif itu, berjuta orang Melayu berjaya keluar daripada kemiskinan, manakala peluang pendidikan dan ekonomi dapat dicapai oleh orang Melayu luar bandar yang kemudiannya membentuk kelas menengah Melayu berdaya maju yang ada kini.

Katanya, ini semua adalah sumbangan terbesar Tun Razak kepada negara, malangnya, sesiapa yang menonton filem itu tidak akan dapat menghargai usaha terbabit, sebaliknya, penonton hanya akan mengetahui bahawa kalaulah tidak kerana Tun Razak, syarikat penerbangan Malaysia hari ini akan dikenali sebagai MAL, bukannya MAS.

Beliau berkata, selain daripada penyalahgunaan nyata berjuta ringgit dana awam untuk propaganda diri sendiri, beliau percaya tragedi terbesar filem itu adalah kegagalan untuk menyumbang nilai positif mengenai satu daripada pemimpin besar negara.-Roketkini.com

No comments: